15 Jun 2009

Isra' Mi'raj: Di Sebalik Butir Kalimah Ayat Pertama Surah al Isra'



سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِير

Maha Suci (Allah) yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada waktu malam dari Masjid al Haram (Makkah) ke Masjid al Aqso (Bait al Maqdis) yang Kami berkati sekitarnya untuk Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kekuasaan & kebijaksanaan) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al Isra': 1]

سُبْحَان

: Kalimah yang membawa maksud penyucian. Ertinya menyucikan Allah Ta'ala daripada sebarang kekurangan. Allah Ta'ala memulakan ayat ini dengan kalimah 'سبحان' sebagai isyarat bahawa peristiwa Isra' & Mi'raj adalah peristiwa ajaib. Peristiwa ajaib ini hanya mampu dilakukan oleh Dia yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan walaupun gagal ditafsir oleh akal pemikiran yang dibatasi kelemahan dan kekurangan. Ia juga mengajar kita bahawa kalimah 'سبحان الله' elok diungkapkan ketika melihat atau mendengar berita mengenai peristiwa yang ajaib sebagai lambang kekaguman.

أَسْرَى : Memperjalankan. Ini membawa erti bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bukan berjalan dengan kudrat Baginda pada malam bersejarah itu kerana perjalanan yang hanya memakan tempoh separuh malam itu tidak mungkin boleh dilakukan dengan kemampuan Baginda bahkan Baginda digerakkan oleh kuasa lain yang mampu menjadikan perjalanan berbulan-bulan hanya menjadi separuh malam. Kuasa itu adalah kuasa Allah Ta'ala!

بِعَبْدِهِ : Hamba-Nya; iaitu Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Ini adalah gelaran kehormat buat Baginda yang membuktikan bahawa Baginda telah mencapai tahap 'Ubudiyyah (perhambaan) yang sempurna dan tertinggi. Menjadi hamba Allah adalah suatu kebanggaan buat seluruh orang beriman. Inilah yang sering kita ulangi dalam sembahyang:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Hanya kepada Engkau kami memperhambakan diri dan hanya daripada Engkau kami memohon pertolongan. [al Fatihah: 5]

Seorang penyair bermadah:

وَمِمَّا زَادَنِي شَرَفًا وَتِيْهًا # وَكِدْتُ بِأُخْمُصِىِّ أَطَأُ الثُّرَيَّا

Antara perkara yang menambah kemuliaan dan kebanggaanku;
Hingga hampir aku menjejak Kejora dengan kakiku.

دُخُوْلِي تَحْتَ قَوْلِكَ يَا عِبَادِي # وَأَنْ صَيَّرْتَ أَحْمَدَ لِي نَبِيًّا

Bila aku termasuk dalam panggilan-Mu, "Wahai para hamba-Ku";
Dan Kau jadikan pula Ahmad sebagai Nabiku.

Kemudian, Allah Ta'ala menyandarkan kalimah 'hamba' kepada-Nya dengan menyebut "hamba-Nya" untuk menunjukkan bahawa Baginda berada di dalam kesempurnaan kawalan dan perhatian Allah Ta'ala.[1]

Kalimah ini juga dijadikan dalil oleh para ulama' bahawa peristiwa Isra' & Mi'raj berlaku dengan jasad dan roh Baginda bukannya di dalam mimpi.[2]

لَيْلاً : Pada waktu malam. Ini menunjukkan peristiwa ini berlaku pada waktu malam. Kemudian kalimah ini di'nakirah'kan bagi menunjukkan singkatnya tempoh malam tersebut.[3] Ertinya peristiwa Isra' Mi'raj berlaku pada waktu malam dalam tempoh yang sangat singkat. Jika timbul pertanyaan: Kenapa peristiwa ini berlaku pada waktu malam? Kenapa tidak berlaku pada waktu siang agar boleh dilihat oleh kaum musyrikin sehingga mereka tidak boleh mendustakan Baginda?

Jawapannya: Berlakunya peristiwa ini pada waktu malam lebih mendalam kesannya bagi menunjukkan keajaiban peristiwa ini di samping menguji keutuhan iman kaum Muslimin ketika itu bahkan sebenarnya sama saja jika peristiwa ini berlaku pada waktu siang sekalipun, kaum musyrikin tetap mendustakan Baginda dan menyatakan bahawa ia adalah sebahagian sihir sepertimana yang pernah mereka katakan ketika melihat mukjizat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .

بَارَكْنَا حَوْلَهُ : Kami berkati sekitarnya. Kawasan sekitar Bait al Maqdis itu diberkati oleh Allah Ta'ala dengan tumbuhnya pepohonan dan mengalirnya sungai sebagaimana yang disebutkan oleh golongan mufassirin.[4] Allah Ta'ala membahasakan Diri-Nya dengan kata ganti diri 'Kami' bagi menunjukkan betapa hebatnya keberkatan yang dilimpahkan ke atas Bait al Maqdis dan kawasan sekitarnya.

لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا : Untuk Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kekuasaan & kebijaksanaan) Kami. Inilah hikmah yang ingin dizahirkan oleh Allah Ta'ala apabila Dia memperjalankan Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pada malam tersebut supaya apabila Baginda melihat tanda-tanda itu, maka hati Baginda menjadi tenang dan bertambah yakin terhadap kekuasaan dan kehebatan Allah Ta'ala. Di saat ini, Baginda telah mencapai martabat 'Ainul Yaqin'.[5] Sama seperti Sayyiduna Ibrahim صلى الله عليه وآله وسلم yang telah mencapai martabat 'al Yaqin' setelah melihat tanda-tanda kekuasaan Allah Ta'ala. Firman Allah Ta'ala ketika menceritakan tentang Nabi Ibrahim عليه الصلاة والسلام :

وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ

Dan demikianlah Kami perlihatkan kerajaan langit dan bumi kepada Ibrahim supaya dia menjadi sebahagian daripada golongan orang-orang yang yakin (terhadap kekuasaan Kami). [al An'aam: 75]

إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْر : Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Yang masyhurnya, kata ganti diri 'هو' (Dia) kembali kepada Allah Ta'ala sepertimana yang saya terjemahkan di sini. Ertinya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat segala tindak-tanduk Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pada malam itu. Ada yang mengatakan bahawa kata ganti diri ini kembali kepada Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Ertinya Baginda mendengar segala bunyi yang wujud dalam peristiwa itu tanpa terlindung dan melihat segala perkara tanpa terserong. Allah Ta'ala berfirman:

مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى

Penglihatan (Rasulullah) tidak berpaling (daripada melihat dengan tepat) dan tidak pula melampaui batas. [al Najm: 17]

والله أعلم بالصواب وإليه المرجع والمآب

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.

Bibliografi:
[1] Al Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, cetakan tahun 2006, terbitan Yayasan Restu.
[2] Tafsir al Jalalain, Syeikh Jalaluddin al Mahalli & Syeikh Jalaluddin al Suyuti, cetakan kedua 1995 M (1415 H), terbitan Darul Jiil, Beirut.
[3] Hasyiah al Sowi 'ala Tafsir al Jalalain, al 'Allamah Syeikh Ahmad bin Muhammad al Sowi al Maliki, tahqiq Syeikh Toha Abdur Rauf Sa'ad, terbitan Maktabah al Thaqofah al Diniyyah, Kaherah.
[4] Rowai'ul Bayan Tafsir Ayatil Ahkam minal Quran, juzu' kedua, Syeikh Muhammad 'Ali al Sobuni, cetakan pertama 1999 M (1420 H), terbitan Dar al Sobuni.



[1] Rowai'ul Bayan Tafsir Ayat al Ahkam minal Quran, m/s: 431.
[2] Hasyiah al Sowi, juzu' kedua, m/s: 560.
[3] Tafsir al Jalalain, m/s: 282.
[4] Hasyiah al Sowi, juzu' kedua, m/s: 561.
[5] Yaqin itu ada tiga peringkat: 'Ilmul Yaqin, Haqqul Yaqin & 'Ainul Yaqin. 'Ainul Yaqin lebih tinggi kerana ia adalah keyakinan yang dicapai setelah melihat sesuatu perkara itu dengan mata kepala.

Tiada ulasan: