18 Jun 2009

Sempena Hari Keluarga 09


RISALAH SEMPENA HARI KELUARGA 09 (3)
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Bertemu lagi dalam risalah ketiga sempena Hari Keluarga 09 yang bakal menjelang hanya beberapa hari saja lagi. Semoga terus tabah dan bersungguh-sungguh dalam menggembleng usaha menjayakan program yang telah kita rancang bersama ini.

Seseorang (dirahsiakan namanya) menimbulkan persoalan yang berbunyi; Apa erti kawan?


Persoalan ini menarik minat saya untuk menjawabnya walaupun saya yakin jawapannya terlalu banyak untuk dipilih kerana ia adalah soalan yang memiliki jawapan yang pelbagai. Cuma saya melihat, dasar utama persahabatan/kawan itu adalah iman. Daripada dasar ini, bercabang pula keikhlasan dan kejujuran. Daripada dua sifat utama ini, lahir beberapa lagi sifat mulia yang mencantikkan lagi hubungan persahabatan.

Saya bukanlah orang yang terbaik untuk menjawab soalan ringkas ini walaupun saya telah kemukakan muqoddimah buat jawapan ini. Muqoddimah ini saya temui melalui penelitian terhadap sirah. Jika kita membaca sirah, kita akan temui kisah indah persaudaraan di antara golongan Muhajirin dan Ansor. Ada tiga aspek penting dalam hubungan persaudaraan dan persahabatan ini yang pada pandangan saya boleh menjawab soalan yang ditimbulkan ini.

PERTAMA: Mereka dihimpunkan oleh iman. Mereka bersaudara dan bersahabat atas dasar iman. Mereka datang dari pelbagai suku bangsa dan sebelum itu mereka pernah melalui siri-siri pergolakan yang menyaksikan tercetusnya peperangan demi peperangan yang berdarah. Namun bila Islam datang, lantas mereka terus berdamai dan berkasih sayang seolah-olah mereka tidak pernah bermusuh. Realiti ini dirakamkan oleh Allah Ta'ala menerusi firman-Nya yang berbunyi:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (١٠٣)

Berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai. Ingatlah nikmat Allah buat kamu ketika kamu dahulunya saling bermusuhan lalu Dia menjinakkan di antara hati-hati kamu lantas kamu menjadi saling bersaudara dengan nikmat-Nya. Kamu dahulu telah berada di tepi tebing neraka (dengan sebab kekufuran kamu) lalu Dia menyelamatkan kamu daripadanya (dengan memberi hidayah kepada kamu). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk. [Ali 'Imran: 103]

Kesimpulannya; Iman adalah dasar utama persahabatan dan persaudaraan.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (١٠)

Sesungguhnya orang-orang beriman sahaja yang saling bersaudara maka perbaikilah (hubungan) di antara dua saudara kamu (yang berselisih faham), bertaqwalah kepada Allah agar kamu memperoleh rahmat. [al Hujurat: 10]

KEDUA: Apabila iman menjadi dasar persaudaraan dan persahabatan, lalu tumbuh pula cabang keikhlasan yang mendorong seorang sahabat sanggup berkorban demi sahabatnya yang lain. Contoh pengorbanan itu boleh dilihat dengan jelas melalui hubungan persahabatan di antara Muhajirin dan Ansor sehingga dirakam oleh Allah Ta'ala menerusi firman-Nya yang berbunyi:

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالإيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (٩)
Dan orang-orang (Ansor) yang mendiami kota (Madinah) serta beriman sebelum mereka menyayangi orang-orang yang berhijrah ke (negeri) mereka dan tidak ada di dalam hati mereka perasaan iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan kepada golongan Muhajirin itu. Mereka juga mengutamakan (golongan Muhajirin) melebihi diri mereka sendiri walaupun mereka berada dalam keadaan terdesak (sangat memerlukan). (Ingatlah) sesiapa yang dipelihara daripada bersikap bakhil, maka merekalah golongan yang berjaya. [al Hasyr: 9]

KETIGA: Daripada keikhlasan, maka lahirlah kejujuran yang mengundang kesetiaan dalam hubungan persahabatan. Sepanjang pembacaan kita terhadap sejarah para sahabat, pernahkah kita melihat mereka mengkhianati persahabatan yang mereka bina selama ini?! Demi Allah! Tak pernah sama sekali! Oleh kerana itu, mereka adalah generasi terbaik dalam segenap aspek. Mereka telah menunjukkan kepada kita erti persahabatan yang sejati.

Jika tiga perkara ini dapat kita hayati, maka kita akan memahami erti persahabatan. Persoalannya, mengapa kita tidak mulakan dengan diri kita sendiri untuk mencapai hakikat persahabatan sejati? Kita hanya inginkan sahabat sejati, namun mengapa kita tidak berusaha untuk menjadi sahabat sejati? Mulakan dengan diri, kelak kita akan bertemu sahabat sejati, insya Allah.

Selamat menyambut Hari Keluarga 09.

Humair غفر الله له ولوالديه
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.

Tiada ulasan: