14 Jun 2009

Isra' Mi'raj: Tiada Yang Mustahil Di Sisi Allah


Firman Allah Ta'ala:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِير

Mafhumnya: Maha Suci (Allah) yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) di waktu malam dari Masjid al Haram (Makkah) ke Masjid al Aqso (Bait al Maqdis) yang Kami berkati sekitarnya untuk Kami perlihatkan sebahagian tanda-tanda (kekuasaan dan kebijaksanaan) Kami kepadanya. Sesungguhnya Dia[1] Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al Isra': 1]

Ketika Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم memberitahu bahawa Baginda telah melalui perjalanan dari Makkah ke Bait al Maqdis kemudian naik ke langit hanya dalam tempoh sebahagian malam, kaum musyrikin ketika itu mendustakan Baginda bahkan ada di kalangan umat Islam yang lemah imannya murtad. Para sahabat kesemuanya membenarkan Baginda terutamanya Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq رضى الله عنه . Mengapa terjadinya pendustaan? Kerana apa yang diceritakan oleh Baginda berada di luar batasan pemikiran yang logik. Logikkah bertolak dari Makkah dan sampai ke Bait al Maqdis hanya dalam tempoh separuh malam? Sedangkan pada zaman tersebut, perjalanan pergi balik sahaja telah memakan masa sebulan. Logikkah naik ke langit juga dalam tempoh tak sampai satu malam? Sedangkan pada masa itu, belum timbul sebarang dakwaan pun bahawa ada yang pernah mencecah langit dunia. Dengan pelbagai lagi peristiwa pelik yang diceritakan oleh Baginda sepanjang perjalanan ajaib itu.


Jika kita fikir-fikir kembali dengan logik akal yang terbatas ini, memang kita akan menafikan semua itu. Memang kita pun akan turut berfikir seperti apa yang kaum musyrikin fikirkan. Kerana mereka berfikir dengan akal dan hati yang kosong daripada iman. Sebab itu, mereka mudah mendustakan cerita Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bahkan mereka telah mendustakan Baginda sebelum itu lagi. Para sahabat pula menerima cerita Baginda dengan akal dan hati yang dipenuhi iman. Didokong pula fakta bahawa Baginda tidak pernah berbohong. Kerana itu kita melihat Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq رضى الله عنه dengan tegas berkata, "Kalaulah Baginda menceritakan lebih daripada itu pun, saya tetap akan mempercayai Baginda!"

Allah! Iman yang ajaib! Inilah titik pemisah antara kita dengan kaum yang kafir. Mereka ada akal dan hati dan kita pun turut dikurniakan akal dan hati. Cuma bezanya, akal dan hati kita dihiasi dengan iman sehingga membuatkan kita menerima segala apa yang datang dari Allah & Rasulullah صلى الله عليه وسلم walaupun pada zahirnya kelihatan bercanggah dengan pemikiran logik. Peristiwa Isra' Mi'raj mengajar kita bahawa bukan semua perkara boleh diukur dengan akal pemikiran yang terbatas. Ada perkara yang perlu diukur dan ditimbang serta dinilai dengan iman. Islam bukan agama yang menafikan peranan akal bahkan Islam sering menggalakkan penganutnya supaya menggunakan akal untuk memikirkan rahsia kejadian alam ini. Cuma penggunaan akal itu perlu diiringi dengan iman. Tiada yang mustahil di sisi Allah Ta'ala. Sedangkan kadangkala kita melihat pelbagai perkara yang pelik. Golongan yang hanya berpandukan akal semata-mata pasti tiada jawapan untuk mengungkapkan setiap kepelikan yang berlaku sedangkan kita yang punya iman sudah memiliki jawapan: Tiada yang mustahil di sisi Allah. Dia berkuasa mengubah apa telah Dia tetapkan kerana segala-galanya berada di bawah kekuasaan-Nya. Dia mampu menjadikan perjalanan sebulan menjadi separuh malam. Dia mampu menjadikan waktu malam semakin panjang dalam keadaan kita merasakan ianya pendek sedangkan dalam waktu tersebut, pelbagai peristiwa telah berlaku.

Peristiwa Isra' Mi'raj menyedarkan kita bahawa kita hanya makhluk yang lemah. Sebijak manapun kita, akal pemikiran kita masih terbatas. Kita tidak sempurna. Kesempurnaan hanya milik Allah Ta'ala. Semua tanda-tanda yang ditunjukkan Allah Ta'ala kepada kita adalah untuk mengajak kita supaya merenung dan berfikir sejenak tentang keterbatasan diri kita jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah yang meliputi segala sesuatu. Bila direnung sedalam-dalamnya, maka jawapannya tetap satu: Tiada yang mustahil di sisi Allah Ta'ala.

Oleh itu, sempena sambutan Isra' Mi'raj yang bakal menjelma, mari kita bermuhasabah kembali sejauh mana keimanan dan keyakinan terhadap Allah telah kita kukuhkan lebih-lebih lagi dalam era yang menyaksikan bahawa segala perkara hanya dinilai dengan pancaindera dan akal semata-semata. Kita dituntut untuk berjalan mengikut sunnah alam, namun jangan lupa bahawa di sebalik sunnah alam tersebut, ada yang mengatur dan mengubahnya mengikut kehendak-Nya. Akhir kalam, teguhkan iman dalam meniti hari-hari mendatang yang semakin sukar.

Humair غفر الله له ولوالديه
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.

Bibliografi:

- Hasyiah al Sowi 'ala Tafsir al Jalalain, juzu kedua, al 'Allamah Syeikh Ahmad bin Muhammad al Sowi al Maliki, tahqiq Syeikh Toha Abdur Rauf Sa'ad, terbitan Maktabah al Thaqofah al Diniyyah, Kaherah, MESIR.



[1] Para ulama' berselisih pendapat mengenai kata ganti diri (هو), adakah ia kembali kepada Allah atau kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ? Jika ia kembali kepada Allah Ta'ala, maka maksudnya jelas. Jika ia kembali kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , maka maksudnya ialah Baginda mendengar dengan jelas segala perbicaraan yang terjadi sepanjang perjalanan Isra' Mi'raj sebagaimana Baginda mendengar bunyi geseran Qolam ketika Baginda hampir sampai ke Sidratul Muntaha. Baginda juga melihat dengan terang segala peristiwa yang dipamerkan di hadapan Baginda sebagaimana Baginda melihat rupa sebenar malaikat Jibril عليه السلام . Namun yang masyhurnya, ia kembali kepada Allah Ta'ala. Sila rujuk Hasyiah al Sowi 'ala Tafsir al Jalalain, tafsir ayat pertama surah al Isra'.

Tiada ulasan: