03 Jun 2009

Risalah Usul Toriqat Syazuliyyah


Oleh: Imam Ahmad Zarruq al Fasi al Maghribi
Transliterasi & Komentar: Humair

Berkata Sayyid Ahmad Zarruq[1] رضى الله عنه :

Usul toriqat kami ada lima perkara:-

[1] Bertaqwa kepada Allah Ta'ala ketika bersendirian mahupun terang-terangan.
[2] Mengikut sunnah dalam perkataan dan perbuatan.
[3] Berpaling daripada makhluk ketika menerima dan menolak bencana.
[4] Redha terhadap pemberian Allah Ta'ala baik sedikit atau banyak.
[5] Kembali kepada Allah Ta'ala ketika suka dan duka.


{1} Taqwa itu direalisasikan melalui sifat wara' dan istiqomah.
{2} Sunnah itu direalisasikan dengan sikap teliti dan berakhlak mulia.
{3} Berpaling daripada makhluk itu dibuktikan dengan sifat sabar dan tawakal.
{4} Redha terhadap pemberian Allah Ta'ala itu ditonjolkan dengan sifat qona'ah dan berserah diri.
{5} Kembali kepada Allah Ta'ala itu diperlihatkan melalui syukur ketika suka dan pasrah ketika duka.

Usul kepada semua perkara tersebut ada lima juga:-

[1] Berhemah tinggi.
[2] Memelihara kehormatan.
[3] Khidmat yang baik.
[4] Keazaman yang terlaksana.
[5] Mengagungkan nikmat.

{1} Siapa yang berhemah tinggi, maka tinggilah martabatnya.
{2} Siapa yang menjaga kehormatan Allah, maka Allah akan memelihara kehormatannya.
{3} Siapa yang baik khidmatnya, layaklah dia mendapat kemuliaan.
{4} Siapa yang melaksanakan azamnya, kekallah petunjuk buatnya.
{5} Siapa yang memandang nikmat Allah dengan pengagungan, dia akan mensyukurinya. Siapa yang mensyukurinya, bererti dia layak mendapat tambahan nikmat daripada Allah sebagaimana yang Dia janjikan.

Usul bermu'amalah itu ada lima perkara juga:-

[1] Menuntut ilmu dengan tujuan untuk melaksanakan perintah Allah Ta'ala.
[2] Bersahabat dengan para masyaikh dan para ikhwan dengan tujuan untuk meneliti akhlak mereka.
[3] Meninggalkan rukhsah dan sebarang takwilan bertujuan untuk memelihara agama.
[4] Mengatur waktu dengan wirid-wirid bertujuan untuk menghadirkan hati.
[5] Mentohmah diri dalam semua perkara dengan tujuan untuk keluar daripada hawa nafsu dan selamat daripada kebinasaan dan kesilapan.

{1} Penyakit yang menimpa ketika menuntut ilmu ialah bersahabat dengan golongan ahdath baik dari segi umur, pemikiran mahupun agama dari kalangan orang yang tidak merujuk sebarang dasar mahupun kaedah.
{2} Penyakit yang datang ketika bersahabat dengan para masyaikh dan ikhwan ialah mudah terpedaya dan berlebih-lebihan.
{3} Penyakit yang menyerang ketika berusaha meninggalkan rukhsah dan takwilan ialah mudah merasa kasihan terhadap diri sendiri.
{4} Penyakit yang menimpa ketika sedang mengatur waktu dengan wirid ialah terlalu banyak mencari kelebihan-kelebihan amalan yang ada.
{5} Penyakit yang menyerang ketika sibuk mentohmah diri ialah mudah merasa seronok dengan kebaikan dan istiqomahnya.

Sedangkan Allah Ta'ala berfirman:

وَإِنْ تَعْدِلْ كُلَّ الْعَدْلِ لاَ يُؤْخَذْ مِنْهَا

Mafhumnya: Jika dia ingin menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. [al An'aam: 70]

Berkata Yang Mulia putera kepada Yang Mulia, Yusuf bin Ya'aqub صلوات الله وسلامه عليهما :

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّؤِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّي

Mafhumnya: Saya tidak berani mengaku diri ini suci kerana nafsu itu sering menyuruh melakukan keburukan kecuali nafsu (orang) yang dirahmati Tuhan saya.[2] [Yusuf: 53]

Usul yang menjadi penawar penyakit jiwa itu ada lima:-

[1] Mengurangkan makan.
[2] Sentiasa pasrah kepada Allah Ta'ala ketika ditimpa apa jua perkara.
[3] Melarikan diri dari tempat-tempat yang ditakuti berlakunya maksiat.
[4] Sentiasa beristighfar dan berselawat ketika bersendirian mahupun ketika bersama orang ramai.
[5] Bersahabat dengan orang yang menunjukkan kita kepada Allah Ta'ala atau memimpin kita melakukan perintah Allah. Orang sebegini payah dicari.

Syeikh Abul Hasan al Syazuli رضى الله عنه pernah berkata:

Kekasih[3] saya berpesan kepada saya, "Jangan kamu melangkahkan kaki kecuali ke tempat yang kamu harapkan pahala Allah padanya. Jangan kamu duduk kecuali di tempat yang kebiasaannya aman daripada maksiat. Jangan berkawan kecuali dengan orang yang membantu kamu mentaati Allah. Jangan memilih teman buat diri sendiri kecuali orang yang menambahkan keyakinan kamu kepada Allah dan golongan sebegini sedikit sekali wujudnya." Atau yang semakna dengannya.[4]

Beliau berkata lagi:

Sesiapa yang menunjukkan anda kepada dunia, bererti dia telah menipu anda. Sesiapa yang menunjukkan anda kepada amal, bererti dia telah memayahkan anda. Sesiapa yang menunjukkan anda kepada Allah, bererti dia telah menasihati anda.

Beliau berkata lagi:

Jadikan taqwa itu sebagai negaramu. Selagi mana anda tidak redha dengan keaiban, tidak berterusan melakukan dosa dan tidak gugur perasaan takut kepada Allah Ta'ala dari hatimu, maka keseronokan jiwa tidak akan memudaratkanmu.

Saya (Imam Zarruq) menyatakan: Tiga perkara[5] inilah yang menjadi punca segala penyakit hati dan bala bencana.

Saya melihat golongan sufi di zaman ini telah ditimpa dengan lima perkara:-

[1] Mengutamakan kejahilan berbanding ilmu pengetahuan.
[2] Mudah terpedaya dengan setiap pujukan.
[3] Seringkali mengambil mudah semua urusan hidup.
[4] Selalu bermegah-megah dengan toriqat yang dilalui.
[5] Terlalu tergopoh-gapah menuntut futuh[6] tanpa mengikut syaratnya.

Lalu mereka ditimpa dengan lima bencana pula:-

[1] Mengutamakan perkara bida'ah berbanding sunnah.
[2] Mengikut golongan batil berbanding golongan yang benar.
[3] Beramal menurut hawa nafsu dalam setiap perkara atau sebahagian besarnya.
[4] Menuntut perkara-perkara karut berbanding perkara-perkara yang realiti.
[5] Suka menzahirkan dakwaan-dakwaan palsu berbanding perkara sebenar.

Lantas mereka muncul dengan membawa lima perkara:-

[1] Sering merasa waswas ketika beribadah.
[2] Sering berlebih-lebihan dengan kebiasaan yang ada dan sama'.[7]
[3] Selalu berkumpul pada waktu-waktu umum.
[4] Selalu menarik perhatian orang lain sedaya mungkin.
[5] Bergaul dengan pencinta dunia begitu juga wanita dan kanak-kanak.

Mereka tertipu dengan tingkah laku sebahagian sufi dalam hal ini lalu mereka pun menyebut-nyebut hal ehwal golongan tersebut. Sedangkan jika mereka meneliti dengan sebaik-baiknya, pasti mereka akan menyedari bahawa sebab musabab itu adalah rukhsah buat golongan yang lemah sahaja. Ia hanya digunakan mengikut kadar keperluan tanpa sebarang tambahan. Tidak ada orang yang berlebih-lebihan menggunakannya melainkan pasti semakin jauh daripada Allah Ta'ala. Sama' itu adalah rukhsah buat sang maghlub[8] atau kerehatan jiwa buat wali yang kamil. Ia menjadi persinggahan di atas hamparan Allah Ta'ala jika kena syaratnya daripada ahlinya pada tempatnya dan dengan adabnya. Waswas itu pula adalah suatu bida'ah yang berpunca daripada kejahilan terhadap sunnah atau kebingungan pada akal fikiran. Berusaha untuk menarik perhatian makhluk membawa erti berpaling daripada Allah Ta'ala lebih-lebih lagi si qari pengampu, si bongkak yang leka dan sufi yang jahil! Bersahabat dengan golongan ahdath pula adalah kegelapan dan keaiban pada dunia dan agama. Bergandingan dengan mereka adalah bencana yang sangat besar akibatnya.

Syeikh Abu Madyan رضى الله عنه berkata:

Al Hadath ialah orang yang tidak sesuai pada cara anda walaupun dia berusia 90 tahun.

Saya (Imam Zarruq) menyatakan: Al Hadath itu ialah orang yang tidak tetap keadaannya. Dia menerima apa saja yang dilemparkan kepadanya dan menelannya bulat-bulat. Anda akan temui kebanyakannya pada pengikut-pengikut toriqat[9] dan para peserta majlis-majlis zikir[10], maka awas dengan mereka sedaya upaya anda.

Setiap orang yang mendakwa bahawa dia bersama dengan Allah Ta'ala dalam suatu hal, kemudian zahir daripadanya salah satu daripada lima perkara berikut, maka dia adalah pendusta besar atau orang yang ditarik ilmunya:-

[1] Membiarkan anggota badan melakukan maksiat kepada Allah Ta'ala.
[2] Berpura-pura mentaati Allah Ta'ala.
[3] Bersikap tamak terhadap apa yang ada pada makhluk Allah.
[4] Mencaci para wali Allah.
[5] Tidak menghormati kaum Muslimin dengan cara yang diperintahkan oleh Allah.

Orang yang begini sifatnya, jarang sekali mati di dalam Islam.

Syarat-syarat seorang syeikh yang layak mentarbiah murid ada lima:-

[1] Zauq yang jelas.
[2] Ilmu yang benar.
[3] Berhemah tinggi.
[4] Memiliki sikap yang diredhai.
[5] Punyai mata hati yang tajam.

Sesiapa yang memiliki lima sifat ini, maka dia tidak layak menjadi syeikh:-

[1] Jahil tentang agama.
[2] Suka menjatuhkan maruah kaum Muslimin.
[3] Suka masuk campur urusan yang tiada kena mengena dengannya.
[4] Suka mengikut hawa nafsu dalam setiap perkara.
[5] Buruk akhlak tanpa memperdulikan nasihat orang lain.

Adab-adab seorang murid bersama syeikh & para ikhwan ada lima:-

{1} Menurut perintahnya walaupun zahirnya kelihatan bercanggah.
{2} Menjauhkan diri daripada larangannya walaupun boleh menyebabkan nyawa melayang.
{3} Menjaga kehormatannya baik ketika keberadaannya mahupun ketika ketiadaannya. Begitu juga ketika dia masih hidup ataupun telah meninggal dunia.
{4} Melaksanakan hak-haknya sekadar kemampuan tanpa berlakunya kecuaian.
{5} Mengenepikan pemikiran, ilmu dan pangkatnya kecuali yang bersesuaian dengan pandangan syeikh serta memadailah dengan sikap adil dan nasihat yang baik ketika berinteraksi bersama para ikhwan.

Jika syeikh itu bukan bertaraf mursyid atau kekurangan kriteria daripada 5 kriteria yang telah disebutkan sebelum ini, maka si murid perlu berpegang pada sifat yang ada padanya di samping berinteraksi bersamanya seperti interaksi para ikhwan.

Selesai sudah usul ini diiringi dengan pujian terhadap Allah di atas kurniaan taufiq-Nya.

Berkata Sayyid Ahmad Zarruq رحمه الله :

Anda hendaklah mengulangkaji usul ini sekali atau dua kali sehari. Paling tidak pun, setiap Juma'at sehingga makna-maknanya terpahat kukuh di jiwa anda lalu anda berusaha melaksanakan tuntutannya. Apa yang terkandung di dalam usul ini sudah mencukupi daripada segala kitab dan pesanan. Ada yang menyatakan, "Golongan sufi itu haram sampai kepada Allah jika mereka mengabaikan usul."
Sesiapa yang meneliti apa yang kami ungkapkan, dia akan menyedari hakikat tersebut. Setelah itu, hendaklah dia berterusan memberi perhatian terhadapnya dengan tujuan untuk mengambil peringatan. Semoga Allah mengurniakan taufiq kepada anda.

Bibliografi:

{1} Al Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, cetakan kedua 2006, cetakan Yayasan Restu.
{2} Mu'jam Kalimat al Quran al Karim, susunan Muhammad 'Adnan Salim & Muhammad Wahbi Sulaiman, cetakan kedua 1419 H (1998 M), terbitan Darul Fikr al Mu'asir, Beirut-Lebanon.
{3} Ithaful Akhyar bi Asohhil 'Aqoidi wal Azkar, al Imam Maulana Sayyid Muhammad Kholil al Khotib al Hasani, cetakan pertama Mac 2006, terbitan Jam'iyyah Sya'ir al Rasul, Tanta, MESIR.
{4} Syarh al Nazm al Asna Li Asmaillahil Husna, Sayyidi Muhammad Kholil al Khotib al Hasani, cetakan pertama 2006, terbitan Jam'iyyah Sya'ir al Rasul, Tanta, MESIR.



[1] Sayyid Ahmad bin Ahmad bin 'Isa al Burnusi al Fasi. Lahir pada 22 Muharram 846 H di Fez, Morocco dan wafat pada tahun 899 H di Tarablas Barat.
[2] Zahirnya ini bukanlah ucapan Nabi Yusuf عليه السلام tetapi ucapan isteri al Aziz. Ianya boleh diperhatikan menerusi susunan ayat yang terkandung di dalam surah Yusuf bermula daripada ayat 52.
[3] Yang dimaksudkan dengan kekasih di sini ialah guru beliau Sayyid Abdus Salam bin Masyisy.
[4] Yang semakna dengan kalam Sayyid Abul Hasan al Syazuli. Ini menunjukkan bahawa Imam Zarruq hanya menukilkan kalam Sayyid al Syazuli dari segi makna bukannya dengan lafaz.
[5] Iaitu redha dengan keaiban jiwa, berterusan melakukan dosa dan tidak takut dengan Allah Ta'ala.
[6] Pembukaan waridat serta fuyudhot.
[7] Sama' ialah mendengar muzik.
[8] Yang kalah dengan ahwalnya lalu karam bersama-sama Allah Ta'ala.
[9] Ertinya pengikut toriqat yang hanya ikut-ikutan tanpa memahami dasar tariqat secara jelas.
[10] Yang hanya ikut-ikutan juga atau yang tidak ikhlas ketika mengikuti sesebuah majlis zikir.

Tiada ulasan: