14 Jun 2009

Tentang Zuriat Sayyidah Zainab binti Sayyiduna 'Ali bin Abi Tolib


PENGENALAN.

Ini adalah salah sebuah risalah karangan al Hafiz Jalaluddin al Suyuti رضى الله عنه yang saya petik daripada kitab beliau yang berjudul al Hawi Lil Fatawi. Risalah ini membicarakan beberapa masalah yang bersangkut paut dengan keturunan Sayyidah Zainab عليها السلام , cucu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Saya sengaja menterjemahkan risalah ini kerana kebiasaannya kita hanya membicarakan secara khusus mengenai keturunan Imam al Hasan al Sibt & Imam al Husain al Syahid عليهما السلام . Jadi apa salahnya kita mengenali pula keturunan Sayyidah Zainab عليها السلام yang merupakan adik perempuan kepada Imam al Hasan & Imam al Husain عليهما السلام . Keturunan Sayyidah Zainab masih lagi wujud sebenarnya. Cuma kewujudan zuriat yang mulia ini tidaklah sepopular wujudnya zuriat Imam al Hasan & Imam al Husain. Sepanjang pengetahuan saya, zuriat ini masih wujud di Mesir dan juga di Morocco. Di antara ulama' yang berketurunan Sayyidah Zainab ialah Sayyid Muhammad al Bahi رضى الله عنه , yang pusaranya berada di Tanta, Mesir berhampiran dengan Masjid Sayyid Ahmad al Badawi رضى الله عنه . Begitu juga Sayyid Muhammad al Hasan al Hajwi رحمه الله , salah seorang ulama' Morocco. Oleh itu, risalah ini menjadi pilihan untuk ditransliterasikan apatah lagi saya dapati al Hafiz al Suyuti adalah satu-satunya ulama' yang membicarakan masalah ini secara khusus. Risalah ini beliau namakan اَلْعُجَاجَةُ الزَّرْنَبِيَّة فِى السُّلاَلَةِ الزَّيْنَبِيَّة .


TEKS RISALAH.

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله وسلام على عباده الذين اصطفى[1]

Masalah:-

'Ali bin Abi Tolib رضى الله عنه dikurniakan seramai 21 putera dan 18 puteri berdasarkan perselisihan pendapat mengenai bilangan ini. Putera-putera beliau yang memiliki zuriat hanyalah lima orang. Ibnu Sa'ad menerusi kitab al Tobaqat berkata:

Keturunan 'Ali wujud melalui lima putera beliau; al Hasan, al Husain, Muhammad bin al Hanafiah, al 'Abbas bin al Kilabiah dan 'Umar bin al Taghlabiah.[2]

Masalah:-

Fatimah al Zahra' رضى الله عنها dikurniakan lima cahaya mata:

[1] Al Hasan,
[2] Al Husain,
[3] Muhsin,
[4] Ummu Kalthum,
[5] Zainab.

Adapun Muhsin, beliau meninggal dunia ketika kecil.

Manakala al Hasan & al Husain memiliki zuriat yang ramai dan baik-baik belaka.

Ummu Kalthum pula dinikahi oleh 'Umar bin al Khottob رضى الله عنه lalu melahirkan Zaid & Ruqoyyah. Selepas kewafatan 'Umar, beliau dikahwini pula oleh sepupunya[3] 'Aun bin Ja'afar bin Abi Tolib. Selepas kematian 'Aun, beliau dikahwini pula oleh adik 'Aun yang bernama Muhammad. Apabila Muhammad meninggal dunia, beliau berkahwin pula dengan adik Muhammad yang bernama 'Abdullah bin Ja'afar. Dalam tempoh perkahwinan ini[4], Ummu Kalthum pun meninggal dunia. Beliau tidak memiliki sebarang cahaya mata hasil daripada perkahwinan dengan ketiga-tiga adik beradik tersebut ('Aun, Muhammad & 'Abdullah).

Zainab pula berkahwin dengan sepupunya 'Abdullah bin Ja'afar[5] lalu melahirkan 'Ali, 'Aun al Akbar, 'Abbas, Muhammad dan Ummu Kalthum.

Masalah:-

Keturunan Zainab hasil perkahwinan beliau dengan 'Abdullah bin Ja'afar masih wujud dengan banyaknya. Oleh itu, kami akan membicarakan mengenai mereka daripada 10 aspek:

Pertama:-

Mereka adalah keluarga Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan ahli bait Baginda berdasarkan ijma' kerana keluarga Baginda itu ialah golongan mukmin daripada Bani Hasyim dan Bani al Muttolib. Muslim dan al Nasaie meriwayatkan daripada Zaid bin Arqam bahawasanya beliau berkata:

"Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم berkhutbah dengan bersabda:

أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِى أَهْلِ بَيْتِي

Mafhumnya: Saya memperingatkan kamu dengan Allah pada (hak) ahli bait saya.

Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.

Lalu Zaid bin Arqam ditanya[6]: Siapakah ahli bait Baginda?

Beliau menjawab: Ahli bait Baginda adalah golongan yang haram menerima sedekah selepas kewafatan Baginda.

Beliau ditanya lagi: Siapakah mereka itu?

Beliau menjawab: Keluarga 'Ali, keluarga 'Aqil, keluarga Ja'afar dan keluarga 'Abbas."[7]

Kedua:-

Mereka adalah zuriat Baginda berdasarkan ijma'. Aspek ini lebih khusus berbanding aspek sebelumnya. Al Baghowi berkata di dalam kitab al Tahzib:

Cucu-cucu seorang lelaki yang merupakan anak-anak kepada anak perempuannya tidak dinasabkan kepadanya[8] walaupun mereka dikira sebagai zuriatnya yang mana jika dia mewasiatkan sesuatu untuk cucu-cucunya yang merupakan anak-anak kepada anak lelakinya, maka cucu-cucunya daripada anak perempuannya turut layak menerima wasiat tersebut.

Ketiga:-

Adakah mereka turut berkongsi bersama-sama keturunan al Hasan dan al Husain dalam nasab kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ?

Jawapannya: Tidak. Aspek ini lebih khusus daripada aspek sebelumnya. Para fuqaha' membezakan di antara golongan yang dipanggil zuriat kepada seseorang dengan golongan yang dinasabkan kepadanya. Oleh itu mereka menyatakan:

"Jika seseorang berkata, "Saya mewakafkan harta ini buat zuriat saya." Maka zuriatnya daripada anak perempuannya termasuk dalam wakaf ini.

Namun jika dia mengatakan, "Saya mewakafkan harta ini buat mereka yang dinasabkan kepada saya daripada anak-anak saya." Maka zuriatnya daripada anak perempuannya tidak termasuk dalam wakaf ini."

Para fuqaha' juga menyebut bahawa di antara khususiat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم ialah anak-anak kepada puteri-puteri Baginda dinasabkan kepada Baginda. Tetapi mereka tidak pula mengatakan bahawa anak-anak kepada anak-anak perempuan daripada puteri-puteri Baginda dinasabkan kepada Baginda. Ertinya khususiat tersebut hanya untuk tingkatan pertama sahaja. Oleh itu, anak-anak Fatimah yang empat (al Hasan, al Husain, Ummu Kalthum & Zainab) dinasabkan kepada Baginda. Anak-anak al Hasan dan al Husain dinasabkan kepada mereka berdua, lalu mereka turut dinasabkan kepada Baginda. Manakala anak-anak Ummu Kalthum dinasabkan kepada ayah mereka 'Umar. Begitu juga anak-anak Zainab dinasabkan kepada ayah mereka 'Abdullah bukannya dinasabkan kepada ibu mereka lalu kepada ayahandanya صلى الله عليه وآله وسلم kerana mereka adalah anak-anak kepada Zainab yang merupakan puteri kepada puteri Baginda. Maka urusan mereka ini sememangnya mengikut kaedah syara' bahawa seorang anak itu mengikut nasab bapanya bukan nasab ibunya. Cuma anak-anak Fatimah sahaja yang terkeluar daripada kaedah ini berdasarkan khususiat yang tersebut dalam hadith dan ia hanya terbatas kepada zuriat al Hasan dan al Husain.

Al Hakim meriwayatkan dalam al Mustadrak daripada Jabir bahawasanya beliau berkata:

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

لِكُلِّ بَنِي أُمٍّ عَصَبَةٌ إِلاَّ ابْنَيْ فَاطِمَةَ أَنَا وَلِيُّهُمَا وَعَصَبَتُهُمَا

Mafhumnya: Setiap anak (bagi) seorang ibu, ada pertaliannya (masing-masing) kecuali kedua-dua anak Fatimah. Sayalah wali dan tali pertalian mereka.[9]

Abu Ya'la meriwayatkan dalam musnad beliau daripada Fatimah رضى الله عنها bahawasanya beliau berkata:

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

لِكُلِّ بَنِي أُمٍّ عَصَبَةٌ إِلاَّ ابْنَيْ فَاطِمَةَ أَنَا وَلِيُّهُمَا وَعَصَبَتُهُمَا

Mafhumnya: Setiap anak (bagi) seorang ibu, ada pertaliannya (masing-masing) kecuali kedua-dua anak Fatimah. Sayalah wali dan tali pertalian mereka.[10]

Cuba lihat kepada lafaz hadith tersebut! Bagaimana Baginda mengkhususkan nasab dan pertalian hanya kepada al Hasan dan al Husain tanpa melibatkan kedua adik perempuan mereka (Ummu Kalthum & Zainab) kerana anak-anak kepada adik perempuan mereka ini hanya dinasabkan kepada bapa masing-masing. Oleh kerana itu, golongan salaf dan khalaf telah menerima pakai adat bahawa anak seorang syarifah tidak akan dipanggil syarif.[11] Kalaulah khususiat tersebut berbentuk umum buat anak-anak kepada anak-anak perempuan Baginda sehingga kebawah, pastilah anak setiap syarifah akan menjadi syarif yang diharamkan sedekah ke atas mereka walaupun ayahnya bukan seorang syarif sebagaimana yang dimaklumi. Oleh kerana itu, Baginda صلى الله عليه وآله وسلم menetapkan hukum sedemikian hanya buat Fatimah berbanding anak-anak perempuan Baginda yang lain. Ini adalah kerana kakak beliau, Zainab binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak melahirkan seorang pun anak lelaki sehingga boleh mencapai kedudukan seperti al Hasan dan al Husain dalam khususiat tersebut. Beliau hanya melahirkan seorang anak perempuan iaitu Umamah binti Abil 'Aasi bin al Rabi'. Maka Baginda صلى الله عليه وآله وسلم tidak meletakkan hukum buat Umamah dengan hukum yang sama sedangkan beliau hidup bersama-sama Baginda. Ini menunjukkan bahawa anak-anak Umamah tidak dinasabkan kepada beliau kerana beliau adalah anak perempuan kepada anak perempuan Baginda. Adapun beliau sendiri (Umamah) dinasabkan kepada Baginda berdasarkan (khususiat) bahawa anak-anak kepada anak-anak perempuan Baginda dinasabkan kepada Baginda. Kalaulah Zainab binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mempunyai anak lelaki, pastilah hukumnya sama seperti hukum al Hasan dan al Husain iaitu anaknya dinasabkan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Inilah huraian terhadap masalah ini kerana terdapat segolongan ulama' zaman ini yang membicarakan perkara ini tanpa berlandaskan ilmu dan secara hentam kromo.

Aspek keempat:-

Adakah mereka boleh dipanggil Asyraf[12]?

Jawapannya: Pada permulaannya, gelaran Asyraf digunapakai oleh setiap individu daripada Ahli Bait sama ada Hasani[13], Husaini[14] dan 'Alawi[15] yang merupakan zuriat Muhammad bin al Hanafiah dan selain beliau daripada anak-anak 'Ali bin Abi Tolib. Begitu juga Ja'afari[16], 'Aqili[17] dan 'Abbasi[18]. Oleh itu, anda akan dapati al Hafiz al Zahabi menyebut demikian dalam kitab Tarikh beliau berkenaan biografi individu-individu tertentu dengan berkata, "Syarif al 'Abbasi, Syarif al 'Aqili, Syarif al Ja'afari, Syarif al Zainabi."

Apabila para khalifah dinasti Fatimiyyah memerintah Mesir, mereka telah membataskan penggunaan gelaran Syarif hanya untuk zuriat al Hasan dan al Husain sahaja. Maka adat ini berterusan di Mesir sehingga sekarang.

Al Hafiz Ibnu Hajar menyebut dalam kitab al Alqob:

Di Baghdad, Syarif adalah gelaran bagi setiap 'Abbasi. Di Mesir pula, ia adalah gelaran bagi setiap 'Alawi.

Tidak syak lagi bahawa istilah lama lebih utama iaitu menggunapakai gelaran Syarif bagi setiap 'Alawi, Ja'afari, 'Aqili dan 'Abbasi sebagaimana yang dilakukan oleh al Zahabi dan sepertimana yang diisyaratkan oleh al Mawardi yang merupakan daripada kalangan ashab kami[19]. Juga al Qodhi Abu Ya'la bin al Farra' daripada Hanabilah. Kedua-duanya menyebutkan perkara ini dalam kitab al Ahkam al Sultoniyyah. Begitu juga sepertimana yang disebut oleh Ibnu Malik dalam al Alfiyyah:

........... # وَآلِهِ الْمُسْتَكْمِلِيْنَ الشُرَفَاءْ

Mafhumnya: ………. # dan juga ahli keluarganya yang sempurna dan mulia[20].

Maka tidak diragui lagi bahawa zuriat Zainab turut digelar Asyraf. Seringkali al Zahabi menggunapakai gelaran ini dalam kebanyakan biografi dengan menyebut, "Syarif al Zainabi."

Dikatakan: Mengikut istilah penduduk Mesir, gelaran Syarif ada beberapa jenis. Ada yang umum buat semua Ahli Bait dan ada yang khusus buat zuriat maka golongan Zainabiyyah termasuk dalam jenis ini. Kemudian ada yang lebih khusus lagi iaitu syarif nasab yang terbatas buat zuriat al Hasan dan al Husain.

Aspek kelima:-

Sedekah itu diharamkan ke atas mereka berdasarkan ijma' kerana Bani Ja'afar adalah daripada kalangan al Aal (الآل)[21].

Keenam:-

Mereka layak mendapat bahagian rampasan perang daripada kalangan kaum kerabat (ذوي القربى) berdasarkan ijma'.

Ketujuh:-

Mereka layak menggunakan harta wakaf Birkat al Habasy berdasarkan ijma' kerana Birkat al Habasy tidak diwakafkan buat zuriat al Hasan dan al Husain sahaja bahkan ianya dibahagi dua:

[1] Separuh pertama buat golongan al Asyraf iaitu zuriat al Hasan dan al Husain.
[2] Separuh kedua pula buat golongan al Tolibiyyun iaitu daripada zuriat 'Ali bin Abi Tolib melalui Muhammad bin al Hanafiah dan adik beradiknya yang lain, zuriat Ja'afar bin Abi Tolib dan zuriat 'Aqil bin Abi Tolib.

Berdasarkan ketetapan ini, wakaf tersebut sabit ke atas Qodhi al Qodho' Badruddin Yusuf al Sanjawi pada 12 Rabi'ul Akhir tahun 640. Kemudian ia sabit pula ke atas Syeikhul Islam 'Izzuddin bin 'Abdus Salam pada 19 Rabi'ul Akhir pada tahun yang sama. Setelah itu, sabit pula ke atas Qodhi al Qudhoh Badruddin bin Juma'ah. Perkara ini disebut oleh Ibnu al Mutawwaj dalam kitab beliau Iqozul Mutaammil.

Kelapan:-

Adakah mereka perlu memakai lambang hijau?

Jawapannya: Lambang ini tidak ada sumbernya daripada syara' dan sunnah begitu juga tidak wujud pada zaman permulaan. Perkara ini baru sahaja bermula pada tahun 773 dengan perintah al Malik al Asyraf Sya'ban bin Husain. Perkara ini dibicarakan oleh segolongan penyair sehingga terlalu panjang untuk disebutkan di sini. Antaranya kata-kata Abu 'Abdullah bin Jabir al Andalusi al 'Ama (الأعمى) pengarang huraian matan al Alfiyyah yang terkenal dengan judul al 'Ama wal Basir:

جَعَلُوْا لِأَبْنَاءِ الرَّسُولِ عَلاَمَةً # إِنَّ الْعَلاَمَةَ شَأْنُ مَنْ لَمْ يَشْتَهِرِ

Mereka menjadikan anak-anak Rasulullah memiliki tanda;
Tanda itu hanya milik orang yang tak dikenali sesiapa.

نُورُ النُّبُوَّةِ فِى وَسِيْمِ وُجُوهِهِمْ # يُغْنِى الشَّرِيفُ عَنِ الطِرَازِ الأَخْضَرِ

Cahaya Kenabian (terpancar jelas) di wajah mereka;
Membuatkan Syarif itu tak perlukan pakaian hijaunya.

Berkata pula Sasterawan Syamsuddin Muhammad bin Ibrahim al Dimasyqi:

أَطْرَافُ تِيْجَانٍ أَتَتْ مِنْ سُنْدُسٍ # خُضْرٍ بِأَعْلاَمٍ عَلَى الأَشْرَافِ

Hujung mahkota[22] diperbuat dari tenunan sutera;
Hijau sebagai tanda buat golongan mulia.

وَالأَشْرَفُ السُّلْطَانُ خَصَّصَهُمُ بِهَا # شَرَفًا لِيُعْرِفَهُمْ مِنَ الأَطْرَافِ

Sultan al Asyraf yang mengkhususkan mereka dengannya;
Sebagai kemuliaan agar mereka dikenali dari hujungnya.

Jika seorang faqih ditanya mengenainya, maka dia hanya perlu menjawab: Lambang ini bukanlah suatu bida'ah tetapi ianya harus sahaja. Tidak menjadi halangan bagi seorang Syarif atau sesiapa saja selainnya untuk memakainya dan tidak pula perlu diarahkan seorang Syarif atau selainnya memakainya. Larangan terhadap mana-mana orang sekalipun daripada memakainya bukanlah perkara syara' kerana manusia itu dikenali melalui susur galur keturunan mereka yang sabit. Memakai lambang itu bukanlah perkara yang ada dalam syara' sehingga boleh dituruti dari sudut harus atau haram. Paling kurang pun dalam masalah ini ialah lambang itu diwujudkan bagi membezakan mereka (golongan Asyraf) dengan orang lain. Maka harus sahaja untuk dikhususkan buat golongan yang memiliki nasab kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم iaitu zuriat al Hasan dan al Husain. Begitu juga harus untuk dikenakan secara umum buat semua zuriat Baginda walaupun tidak dinasabkan kepada Baginda seperti golongan al Zainabiyyah. Harus juga diumumkan lagi penggunaannya buat semua Ahli Bait seperti golongan 'Alawiyyah yang selebihnya, Ja'afariyyah dan 'Aqiliyyah. Semua itu harus belaka dari segi syara'. Ada yang menggunakan isti'nas[23] daripada firman Allah Ta'ala yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ

Mafhumnya: Wahai Nabi! Perintahkan isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman supaya melabuhkan jilbab mereka (bagi menutup seluruh tubuh mereka). Cara yang demikian itu lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu.. [al Ahzab: 59]

Sebahagian ulama' menjadikan ayat ini sebagai dalil untuk mengkhususkan para ulama' dengan pakaian tertentu seperti memanjangkan lengan jubah dan memakai serban secara bulatan tanpa ekor juga sebagainya agar mereka dikenali serta sebagai penghormatan buat ilmu. Ini adalah cara yang baik. والله أعلم

Kesembilan:-

Adakah mereka termasuk dalam wasiat buat golongan Asyraf?

Dan kesepuluh:-

Adakah mereka juga termasuk dalam wakaf buat golongan Asyraf?

Jawapannya: Sekiranya terdapat dalam kata-kata pewasiat dan pewakaf ungkapan yang menunjukkan bahawa mereka termasuk atau terkeluar daripadanya, maka ia perlu dituruti. Jika tiada, maka kaedah Fiqh menyatakan bahawa wasiat dan wakaf itu dilaksanakan mengikut 'uruf sesebuah negara. 'Uruf di Mesir sejak era dinasti khilafah Fatimiyyah sehingga sekarang ialah Syarif itu merupakan gelaran khusus buat Hasani dan Husaini, maka mereka (Zainabi) tidak termasuk dalam wasiat dan wakaf menurut 'uruf ini. Cuma saya pernah menyatakan sebelum ini bahawa mereka termasuk dalam wakaf Birkat al Habasy kerana pewakafnya telah menyebutkan bahawa ianya diwakafkan secara separuh buat golongan Asyraf dan separuh lagi buat golongan al Tolibiyyin.
Bibliografi:
[1] Al Quran Mushaf Malaysia Dan Terjemahan, cetakan kedua 2006, terbitan Yayasan Restu.
[2] Sohih Muslim, al Imam al Hafiz Muslim bin al Hajjaj al Naisaburi, tahqiq Syeikh Kholil Makmun Syiha, cetakan pertama 2005 M / 1426 H, terbitan Darul Ma'rifah, Beirut-Lebanon.
[3] Musnad Abi Ya'la, al Imam Abu Ya'la Ahmad bin 'Ali bin al Muthanna al Mausili, tahqiq Syeikh Kholil Makmun Syiha, cetakan pertama 2005 M / 1426 H, terbitan Darul Ma'rifah, Beirut-Lebanon.
[4] Al Mustadrak 'ala al Sohihain, juzu' ketiga, al Hafiz Abu 'Abdillah Muhammad bin 'Abdullah al Naisaburi al Hakim, tahqiq Dr. Mahmud Matrohi, cetakan tahun 2002 M / 1422 H, terbitan Darul Fikr.
[5] Al Tobaqot al Kubro, juzu' kedua, Muhammad bin Sa'ad, komentar Suhail Kayyali, cetakan pertama 1994 M / 1414 H, terbitan Darul Fikr.
[6] Syarh Ibni 'Aqil 'ala Alfiyyah Ibni Malik, Qodhi al Qudhoh Baha'uddin Abdullah bin 'Abdullah bin 'Abdur Rahman bin 'Abdullah bin 'Aqil al Hasyimi al 'Aqili, tahqiq Syeikh Muhammad Muhyiddin 'Abdul Hamid, cetakan kedua 1999 M / 1420 H, terbitan Maktabah Dar al Turath.



[1] Muqoddimah ini sering digunapakai oleh al Hafiz al Suyuti dalam kebanyakan risalah dan karya beliau. Ia dipetik daripada firman Allah Ta'ala dalam surah al Naml ayat 59.
[2] Al Tobaqot al Kubro, juzu' kedua, halaman 55.
[3] Ertinya sepupu Ummu Kalthum bukan sepupu 'Umar.
[4] Iaitu perkahwinan beliau dengan 'Abdullah bin Ja'afar.
[5] Yang juga merupakan suami kakak beliau Ummu Kalthum. Yang pasti, Zainab berkahwin dengan beliau selepas kewafatan kakaknya.
[6] Orang yang bertanya ini ialah Husoin bin Sabrah.
[7] Sohih Muslim, kitab Fadhoil al Sohabah, hadith no: 6175_2408/36.
[8] Bahkan dinasabkan kepada suami anak perempuannya dan nenek moyang suaminya.
[9] Al Mustadrak, kitab Ma'rifah al Sohabah, hadith no: 4831. Al Hafiz al Hakim berkata: "Hadith ini adalah sohih isnadnya tetapi tidak diriwayatkan oleh mereka berdua (al Bukhori & Muslim)." Al Hafiz al Zahabi memberi komentar: "Hadith ini tidak sohih kerana Yahya (iaitu Yahya bin al 'Ala, salah seorang perawi hadith ini) menurut ungkapan Ahmad (bin Hambal): "Dia mencipta hadith palsu." Manakala al Qosim (iaitu al Qosim bin Abi Syaibah, perawi hadith ini juga) pula adalah matruk (tidak diterima hadith yang diriwayatkan olehnya).
[10] Musnad Abi Ya'la, musnad Fatimah عليها السلام , hadith no: 6735/3.
[11] Atau kalau menurut ungkapan kita, seorang syarifah jika berkahwin dengan selain sayyid lalu mendapat anak, maka anak tersebut tidak dipanggil sayyid atau syarifah.
[12] Asyraf adalah plural (jama') kepada syarif. Kalau mengikut 'uruf kita, adakah mereka boleh dipanggil Sayyid sebagaimana zuriat Imam al Hasan & Imam al Husain عليهما السلام dipanggil Sayyid?
[13] Berketurunan Imam al Hasan عليه السلام
[14] Berketurunan Imam al Husain عليه السلام
[15] Berketurunan Imam 'Ali bin Abi Tolib كرم الله وجهه وعليه سلامه
[16] Berketurunan Sayyiduna Ja'afar bin Abi Tolib عليه السلام
[17] Berketurunan Sayyiduna 'Aqil bin Abi Tolib عليه السلام
[18] Berketurunan Sayyiduna al 'Abbas bin Abdul Muttolib عليه السلام
[19] Ertinya ashab Syafi'iyyah.
[20] Syarah Ibni 'Aqil 'ala Alfiyyah Ibni Malik, halaman 7.
[21] Ahli keluarga Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sebagaimana yang tersebut dalam hadith Sayyiduna Zaid bin al Arqom رضى الله عنه
[22] Mahkota yang dimaksudkan di sini ialah serban.
[23] Isti'nas bererti menyesuaikan ayat dengan perkara yang ada kaitan rapat dengan ayat atau dengan ungkapan lain mengambil faedah yang ada daripada ayat lalu menyesuaikannya dengan perkara lain yang ada kaitan untuk dikeluarkan hukum. Sebagai contoh, ayat ini adalah berkenaan perintah melabuhkan pakaian buat para isteri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , puteri-puteri Baginda dan wanita mukminah supaya mereka dikenali sebagai wanita yang baik. Maka para ulama' menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa para ulama' boleh mengenakan pakaian khusus supaya mereka dikenali sebagai ulama' juga sebagai penghormatan buat ilmu. Ayat ini dijadikan dalil kerana wujud kesesuaian dan kaitan rapat antaranya dengan topik pakaian ulama'. Maka ia dinamakan isti'nas. والله أعلم

Tiada ulasan: