13 April 2008

Mereka Bertanya Anda Tentang Keganasan

Oleh: Al 'Allamah al Muhaddith Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari al Hasani.


Sebenarnya bukan isu keganasan yang mencemarkan wajah kaum Muslimin apatah lagi wajah Islam di sisi negara-negara asing sebagaimana yang didakwa oleh golongan yang tidak mengerti hakikat kebenaran. Namun sebenarnya yang mencemarkan wajah mereka pada pandangan dunia di timur mahupun di barat serta menjatuhkan kedudukan mereka bahkan menyebabkan negara-negara ini memandang hina kepada mereka dan tidak mengiktiraf mereka sebagai umat yang perlu wujud adalah kerana cara hidup mereka yang telah terkeluar daripada landasan kemanusiaan apatah lagi landasan Islam serta jauhnya mereka daripada kebiasaan sosial yang disepakati di dunia ini. Kemunduran, kejatuhan dan kemerosotan dalam cara hidup yang tidak bersesuaian dengan cara hidup yang sepatutnya dilalui oleh seorang insan adalah punca mengapa negara-negara asing memandang kaum Muslimin dengan pandangan yang hina, jelik dan tidak peduli sehingga mereka tidak berminat untuk melayani kaum Muslimin dengan cara yang sepatutnya kerana umat Islam pada pandangan mereka telah terkeluar daripada landasan kemanusiaan sebenar. Cara hidup inilah yang menjadikan negara-negara asing memandang umat Islam dengan pandangan sepertimana hari ini. Pandangan yang jauh daripada kemuliaan. Bukannya keganasan yang menjadi sebab sebagaimana yang didakwa oleh golongan yang tidak berpandangan jauh. Ini adalah kerana setiap negara pasti wujudnya penentangan bersenjata yang dilakukan oleh golongan tertentu bertujuan untuk mencapai matlamat mereka. Di Eropah sendiri, wujudnya organisasi Ketenteraan Republik Irish (Irish Republican Army @ IRA) yang bertindak melakukan keganasan sehingga memeningkan kerajaan Britain. Begitu juga di Sepanyol, setiap hari pasti adanya tindakan keganasan yang dicetuskan oleh gerakan ETA (Euskadi 'ta Askatasuna/ Basque Homeland & Freedom) sebagaimana yang kita sedia maklum. Di Perancis pula, kedapatan sebahagian gerakan berhaluan kiri yang melancarkan tindakan keganasan dari semasa ke semasa hanya untuk merealisasikan matlamat mereka. Sama juga di Rusia. Namun begitu, tidak ada pula yang mengatakan bahawa tindakan keganasan yang dilakukan golongan ini mencemarkan kemuliaan negara mereka dan agama anutan mereka yang mengajar supaya berlemah lembut serta tidak bertindak ganas terhadap orang lain sehingga mereka sendiri menyebut perkataan Jesus yang termaktub di dalam Bible: Jika seseorang menampar pipi kanan anda, maka hulurkan pipi kiri anda pula (untuk ditampar)!


Semua tindakan keganasan yang dilakukan oleh golongan-golongan ini tidak pula menjadikan mereka dipanggil pengganas kerana golongan ini dianggap menuntut hak mereka. Sebab itu, negara-negara ini mengajak mereka untuk diadakan rundingan. Justeru, bukan keganasan yang menyebabkan negara-negara asing memandang hina dunia Islam bahkan punca sebenar ialah tingkahlaku umat Islam sendiri dan kemunduran mereka dalam semua perkara. Dari sudut pentadbiran, anda akan dapati keadaan kacau bilau menguasainya sehingga ke peringkat akar umbi dari setiap sudut. Dalam dan luarnya gelap. Siapa yang masuk ke dalamnya bagaikan hilang dan yang keluar daripadanya bagaikan dilahirkan semula. Anda akan dapati pentadbiran dunia Islam tidak memiliki sekelumit hubungan dengan penduduk mereka dalam urusan kebajikan dan kemaslahatan lebih-lebih lagi golongan yang lemah dan memerlukan. Ini berbeza sama sekali dengan tindakan yang dilakukan oleh negara-negara asing tersebut yang mengambil berat kebajikan rakyat mereka sedangkan keprihatinan ini adalah antara faktor ketamadunan sesebuah umat.


Dunia Islam kini ditadbir oleh mereka yang tiada autoriti dan pengalaman tentang tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan terhadap umat Islam sendiri. Kerana itu, anda akan mendapati situasi dunia Islam bergerak dari teruk ke arah yang lebih teruk lagi dan dari kerosakan menuju kerosakan yang lebih besar lagi. Sementara itu, negara-negara asing memerhatikan sahaja keadaan ini sambil terus melancarkan serangan sehinggakan terdapat dua rakyat Holand yang telah memeluk Islam kemudian mereka datang ke Morocco berkata, "Alhamdulillah. Nasib baik kami memeluk Islam sebelum melawat Morocco. Kalaulah kami datang ke Morocco sebelum memeluk Islam, pasti kami takkan memeluk Islam!"


Inilah pandangan rakyat Eropah yang memerhatikan situasi dunia Islam. Tambahan lagi mereka memandang umat Islam kini dalam kesengsaraan, kemiskinan, kesempitan hidup dan pengangguran. Baik yang muda mahupun yang tua. Ditambah pula dengan pembaziran harta yang dilakukan oleh bangsa mereka sendiri sehingga memaksa golongan muda berhijrah ke Eropah untuk mencari peluang pekerjaan. Lebih teruk bagi kita di Morocco ini apabila golongan muda sanggup menaiki sampan yang benar-benar boleh mengancam nyawa mereka hanya kerana ingin mencari secebis roti! Sedangkan pihak pentadbiran di sini (Morocco) pula sibuk memikirkan bagaimana hendak membelanjakan wang yang berjuta hanya untuk menyambut perayaan dan hiburan. Ini tidak terjadi di negara mereka. Kalau ada, pasti berlaku kiamat hanya kerana membiarkan rakyat mereka mati kelemasan di lautan disebabkan sesuap makanan. Dunia Islam tidak menilai bencana ini sedangkan mereka melihat perkara ini sebagai isu yang besar dan kita pula melihatnya kecil saja. Inilah juga yang mendorong negara-negara asing memandang hina dunia Islam kerana pada pandangan mereka umat Islam telah terkeluar daripada martabat kemanusiaan dan berpindah kepada martabat kehaiwanan! Demokrasi di negara-negara Islam hanya tercatat di atas kertas saja, adapun pelaksanaannya adalah mustahil. Sedangkan neraca kemuliaan di sisi negara-negara asing ialah berjalan menurut demokrasi untuk menjaga hak asasi kemanusiaan. Jika demokrasi tiada, maka hilanglah segala perkara yang berkaitan dengan kemuliaan seseorang. Oleh itu, saya berpandangan jika kita ingin mempertahankan seseorang dan mengangkat martabatnya di mata negara-negara lain, maka kita perlu memberitahu mereka bahawa umat Islam hari ini tidak memiliki akhlak Islam dan kerana itu mereka tidak mempunyai hubungan dengan Islam. Maka jangan anda memandang Islam sama seperti pandangan anda terhadap umat Islam kerana Islam berlepas diri daripada mereka (umat Islam) sebagaimana serigala yang berlepas diri daripada tuduhan menumpahkan darah Sayyiduna Yusuf 'alaihissalam.


(Akhbar al Khadhra' al Jadidah, bil. 101, Khamis 29 Disember 1994)



Sumber: http://www.alghomari.com/al_makalate/ar14.html

Tiada ulasan: