15 April 2008

Mutiara Ilham Sayyid Abdul Aziz al Ghumari (3)

Oleh: Al 'Allamah al Sufi Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari.


Permasalahan:


Firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua mengeluarkan hukuman mengenai tanaman yang dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kami menjadi pemerhati terhadap hukuman (yang mereka keluarkan). Maka Kami mengurniakan kepada Nabi Sulaiman kefahaman yang lebih tepat mengenai masalah itu..[1]


Kesimpulan ayat ini ialah:


1) Kesalahan yang berlaku dalam ijtihad adalah perkara yang tidak mengapa.

2) Kesalahan itu boleh terjadi daripada Nabi tetapi ia diberi perhatian oleh Allah Ta'ala.[2] Pendapat ini dinyatakan oleh beberapa ulama'.

3) Mujtahid itu adalah terpuji walaupun dia tersalah dalam ijtihadnya.

4) Hakim (mujtahid) perlu menarik kembali hukumannya apabila dia mendapati hukumannya itu mengandungi kesilapan. Ini berbeza dengan pendapat yang menyatakan bahawa ijtihad seseorang mujtahid itu tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad mujtahid yang lain walaupun ijtihad tersebut mengandungi kesilapan.

5) Perlu sentiasa kembali kepada kebenaran walaupun ianya lahir daripada kanak-kanak dan walaupun ianya zahir daripada anak seorang hakim (mujtahid).

6) Kadangkala seorang anak boleh menjadi lebih hebat daripada ayahnya dan ianya tidak dianggap boleh mengurangkan martabat si ayah apatah lagi dikira sebagai penderhakaan kepadanya.

7) Kanak-kanak boleh mengeluarkan hukuman ketika kewujudan orang yang lebih tua daripadanya walaupun mereka berdua setanding dalam keilmuan.

8) Para Nabi 'alaihimussalam itu memiliki kelebihan masing-masing dalam keilmuan dan hikmah kebijaksanaan sebagaimana firman Allah Ta'ala mafhumnya: Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian mereka ke atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu).[3]

9) Para Nabi 'alaihimussalam itu turut berijtihad.


Sumber: http://www.alghomari.com/bohot-wa-aamal/bouhoute_aamale10.html



[1] Surah al Anbiya', ayat 78 & 79.

[2] Maksud kesalahan di sini ialah kesalahan dalam ijtihad seseorang Nabi. Bukan kesalahan yang menyebabkan dosa kerana para Nabi itu adalah maksum. Adapun kesalahan ketika berijtihad, maka ianya tidak mengapa.

[3] Surah al Baqarah, ayat 253.

Tiada ulasan: