15 April 2008

Mutiara Ilham Sayyid Abdul Aziz al Ghumari (2)

Oleh: Al 'Allamah al Sufi Sayyid Abdul Aziz al Ghumari.


Permasalahan:

Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:


Daripada perkara dunia kamu, saya menyukai wangi-wangian dan wanita. Penyejuk mata saya pula dijadikan di dalam sembahyang.[1]


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyebut sembahyang selepas wangi-wangian dan wanita untuk memberitahu kita bahawa cara Baginda menyukai perkara keduniaan tidak sama seperti cara kita menyukainya. Kita mencintai dunia dan segala isinya serta beranggapan bahawa memiliki dunia itu akan menjadi penyejuk mata kita sehingga memalingkan kita daripada agama dan ibadah sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Kerana itu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


Saya tidak takut jika kefakiran menimpa kamu tetapi yang saya takut ialah kamu dikuasai keinginan berlumba-lumba mengumpul harta.[2]


Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya (harta, anak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk ke dalam kubur.[3]


Allah Ta'ala berfirman lagi ketika menceritakan tentang bangsa Qarun:


Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang inginkan kesenangan dunia, "Alangkah baiknya kalau kita memiliki kekayaan seperti Qarun. Sesungguhnya dia seorang yang bernasib baik." Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di kalangan mereka), "Janganlah kamu berkata demikian! Pahala daripada Allah itu lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh."[4]


Allah menceritakan bahawa disebabkan kekayaan Qarun, maka bangsanya berkata: "Sesungguhnya dia seorang yang bernasib baik." Ini semua menunjukkan kepada kita bahawa mereka berpandangan dengan memiliki kekayaan dan dunia ini, maka ia boleh menjadi penyejuk mata dan kegembiraan. Sikap ini bukan sahaja dimiliki oleh mereka bahkan dimiliki oleh setiap orang sebagaimana firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Serta kamu cintakan harta secara tamak haloba.[5]


Ertinya cinta kamu terhadap harta telah menguasai perasaan kamu sehingga tiada ruang di hati kamu untuk mencintai perkara yang lain.


Justeru, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyukai perkara keduniaan berupa wangi-wangian dan wanita tetapi bukan dengan cara yang sedemikian rupa. Baginda menyukai perkara-perkara ini menurut cara yang dihalalkan oleh Allah Ta'ala tanpa perasaan Baginda dikuasai oleh dunia sebagaimana yang kita alami. Bahkan penyejuk mata Baginda dijadikan pada perkara yang mendekatkan diri Baginda kepada Allah Ta'ala iaitu sembahyang. Cinta Baginda kepada perkara keduniaan hanya berbentuk zahir sahaja tanpa tetap di hati dan perasaan Baginda tidak dapat dikuasai oleh perkara-perkara ini. Lagipun Baginda tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada keduniaan. Kerana itu Baginda menyebut: Daripada perkara dunia kamu. Disebabkan wangi-wangian dan wanita adalah perkara keduniaan, maka Baginda menjelaskan kepada kita bahawa hati Baginda tidak terpaut padanya berbeza dengan keadaan kita. Bahkan hati Baginda hanya tertumpu kepada ibadah kerana di situ adanya penyejuk mata Baginda.


Setelah itu, saya (Sayyid Abdul Aziz) mendapati al Hafiz al Suyuti rahimahullah menyebut di dalam kitab al Hawi ketika beliau membicarakan hadith ini:


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengungkapkan perkara agama dengan ungkapan yang lebih mendalam berbanding dengan ungkapan Baginda terhadap perkara keduniaan. Baginda menyebut perkara dunia dengan ungkapan 'suka' sedangkan dalam perkara agama, Baginda menyatakan, "Penyejuk mata saya pula dijadikan di dalam sembahyang." Kerana 'penyejuk mata' itu lebih besar maknanya berbanding 'suka' sebagaimana yang kita sedia maklum.[6]

Sumber: http://www.alghomari.com/bohot-wa-aamal/bouhoute_aamale10.html



[1] Kasyful Khafa', al 'Ajluni, hadith no. 1089, hal. 391, jilid pertama, terbitan al Maktabah al 'Asriyyah, Beirut.

[2] At Targhib wat Tarhib, al Hafiz al Munziri, hal. 181, jilid empat, terbitan Dar al Rayyan lit Turath, tahun 1987 (1407).

[3] Surah al Takathur, ayat 1 & 2.

[4] Surah al Qasas, ayat 79 & 80.

[5] Surah al Fajr, ayat 20.

[6] Al Hawi lil Fatawi, al Hafiz Jalaluddin al Suyuti, kitab Nikah, hal. 424, jilid pertama, terbitan Darul Fikr, Beirut.

Tiada ulasan: