Oleh: Al 'Allamah al Sufi Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari.
Permasalahan:
Kebanyakan ulama' tafsir telah membicarakan mengenai huruf-huruf hijaiyyah yang terletak pada permulaan surah-surah tertentu. Setiap individu daripada mereka memberikan pendapat mengenainya berdasarkan apa yang zahir menurut ijtihad masing-masing. Namun begitu, ternyata pendapat mereka lebih menjurus ke arah berlebih-lebihan dalam tafsiran huruf-huruf tersebut. Ini adalah kerana mereka telah menceburkan diri dalam perbincangan mengenai perkara yang hanya diketahui rahsianya oleh Allah Ta'ala bahkan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sendiri tidak diizinkan oleh Allah Ta'ala untuk menjelaskannya. Kerana itu Imam al Sya'bi dan beberapa ulama' lain berkata: Alif Lam Mim dan semua huruf hijaiyyah yang terdapat pada permulaan surah-surah tertentu merupakan sebahagian daripada mutasyabihat yang hanya diketahui oleh Allah Ta'ala sahaja. Huruf-huruf ini merupakan rahsia al Quran. Kita beriman dengan zahirnya dan menyerahkan ilmu mengenainya kepada Allah Ta'ala.
Imam al Baghawi menukilkan daripada Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq radhiyallahu 'anhu bahawasanya beliau berkata: Setiap kitab memiliki rahsianya yang tersendiri. Maka rahsia Allah yang tersimpan di dalam al Quran adalah permulaan surah-surah tertentu (yang mengandungi huruf-huruf hijaiyyah).[1]
Saya (Sayyid Abdul Aziz) menyatakan: Ini adalah kata putus mengenai tafsiran huruf-huruf hijaiyyah ini dan inilah pendapat yang perlu kita pegang. Selain daripada pendapat ini, maka ia hanyalah bebanan dan berlebih-lebihan dalam pemahaman yang kosong daripada sebarang dalil. Jika Allah Ta'ala ingin menzahirkan rahsia huruf-huruf hijaiyyah ini kepada hamba-hamba-Nya, pastilah perkara ini akan dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Tetapi tiada suatu kenyataan pun yang menjelaskan mengenai perkara ini, maka kita menjadi yakin bahawa ia adalah sebahagian daripada perkara yang hanya diketahui oleh Allah Ta'ala sahaja dan Dia tidak menghendaki perkara ini diketahui oleh sesiapa pun. Antara dalil paling nyata yang menyokong pandangan ini ialah Allah Ta'ala telah mengalihkan keinginan para sahabat daripada bertanya mengenainya sedangkan mereka merupakan golongan yang bersungguh-sungguh bertanya untuk mendapatkan penjelasan tentang sekecil-kecil perkara yang terdapat di dalam al Quran. Apabila Allah Ta'ala menghendaki supaya rahsia-Nya kekal tersimpan rapi, maka Dia mengalihkan keinginan para sahabat daripada bertanya mengenai huruf-huruf hijaiyyah ini. Tidak terdapat pun sebuah hadith yang menyebut bahawa seseorang sahabat bertanya mengenainya. Jika ada, maka ia adalah hadith maudhu' (palsu). Oleh itu, sila ambil perhatian.
Sumber: http://www.alghomari.com/bohot-wa-aamal/bouhoute_aamale10.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan