01 Jun 2009

Syair Nasihat

Menerusi entri kali ini, saya memaparkan terjemahan syair nasihat yang bertajuk حكمة وموعظة (Hikmah & Nasihat) berserta sedikit huraian ringkas. Cuma jika diperhatikan dari sudut susunan wazan[1] syair ini, ia kelihatan tidak seimbang bagi sesiapa yang pernah mempelajari ilmu 'Arudh[2]. Apapun yang penting ialah isi kandungannya. Semoga mendapat manfaat bersama.


عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ إِنْ كُنْتَ غَا فِلاً يَأْتِيكَ بِالأَرْزَاقِ مِنْ حَيْثُ لاَ تَدْرِى


Bertaqwalah kepada Allah jika kau leka;

Pasti Dia memberimu rezeki tanpa disangka. [1]


فَكَيْفَ تَخَافُ الْفَقْرَ واللهُ رَازِقٌ فَقَدْ رَزَقَ الطَّيْرَ وَالْحُوتَ فِى الْبَحْرِ


Kenapa takutkan kefakiran sedangkan Allah pemberi kurniaan;

Dia telah memberi rezeki buat burung dan ikan di lautan. [2]


وَمَنْ ظَنَّ أَنَّ الرِّزْقَ يَأْتِي بِقُوَّةٍ مَا أَكَلَ الْعُصْفُورُ شَيْئًا مَعَ النَّسْرِ


Siapa menyangka rezeki itu datang melalui kekuatan;

Pasti si pipit takkan dapat bersama helang mencicipi makanan. [3]


تَزُولُ عَنِ الدُّنْيَا وَإِنَّكَ لاَ تَدْرِى إِذَا جَنَّ عَلَيْكَ اللَّيْلُ هَلْ تَعِيْشُ إِلَى الْفَجْرِ


Kau akan berlalu dari dunia ini dan kau tidak mengetahui;

Bila malam tiba, adakah kau hidup tika fajar menyingsing nanti. [4]


فَكَمْ مِنْ صَحِيحٍ مَاتَ مِنْ غَيْرِ عِلَّةٍ وَكَمْ مِنْ سَقِيمٍ عَاشَ حِينًا مِنَ الدَّهْرِ


Berapa ramai yang sihat mati tanpa sakit menderita;

Berapa ramai yang sakit hidup semakin lama. [5]


وَكَمْ مِنْ فَتًى أَمْسَى وَأَصْبَحَ ضَاحِكًا وَأَكْفَانُهُ فِى الْغَيْبِ تُنْسَجُ وَهْوَ لاَ يَدْرِى


Berapa ramai pemuda bergelak ketawa siang dan malam;

Tanpa dia sedari bahawa kain kafannya sedang disulam. [6]


فَمَنْ عَاشَ أَلْفًا وَ أَلْفَيْنِ فَلاَ بُدَّ مِنْ يَومٍ يَسِيرُ إِلَى الْقَبْرِ


Siapa yang hidup seribu atau dua ribu tahun lamanya;

Suatu hari nanti dia pasti menuju ke pusara jua. [7]


Ditulis oleh: al Haj Muhammad Farhat.[3]


Huraian:


[1] Firman Allah Ta'ala:


وَمَن يَتَّقِ اللهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ


Mafhumnya: Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti Allah akan menyediakan jalan keluar buatnya (dari sebarang masalah yang menimpa). Serta mengurniakan rezeki kepadanya dari sumber yang tidak disangka. [al Talaq: 2-3]


[2] Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :


لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُوْنَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ, لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا


Mafhumnya: Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, pasti Dia akan memberi rezeki kepada kamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung. Burung itu keluar pada waktu pagi dengan perut yang kempis, namun pulang petang dengan perut yang berisi.[4]


[3] Jika rezeki itu diperolehi dengan kekuatan tenaga atau dengan erti kata lain siapa yang kuat sahaja boleh hidup sedangkan yang lemah tidak akan hidup sama sekali, maka sudah pasti burung pipit tidak mampu makan bersama-sama helang kerana dengan kekuatan yang ada, helang mampu membolot semua makanan yang ada jika dibandingkan dengan si pipit. Namun realitinya kita melihat burung pipit tetap mampu mencicipi makanan walaupun bersama kewujudan helang. Maha Suci Allah yang telah menetapkan rezeki buat makhluk-makhluk ciptaan-Nya tanpa berlakunya ketidak seimbangan.


[4] Kamu pasti akan meninggalkan dunia ini walaupun kamu tidak ingin meninggalkannya kerana kamu hanya dibenarkan menginap sebentar cuma di dunia ini. Mengapa kamu masih leka sedangkan kamu sendiri tidak pasti bahawa kamu masih hidup bila hari esok menjelma. Oleh itu, bersiap sedialah dengan bekalan amalan.


[5] Sememangnya menjadi realiti bahawa bukan semua yang sihat itu akan hidup lebih lama berbanding orang yang ditimpa sakit menderita. Berapa ramai yang melawat orang yang sakit, ternyata pelawat mati dahulu sebelum yang dilawat.


[6] Jangan menyangka usia muda hanya untuk bersuka ria. Bila sudah tua, baru hendak beramal. Berapa ramai pemuda yang sedang bersuka ria melakukan maksiat, sedangkan ketika itu kain kafannya sedang disediakan. Belum tentu lagi dia sempat hidup sebelum mencecah usia dewasa.


[7] Anda ingin hidup selama-lamanya pun tidak akan tercapai juga. Kerana setiap yang

bernyawa, pasti akan dijemput jua kembali kepada-Nya. Firman Allah Ta'ala:


كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوتِ وَنَبلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ


Mafhumnya: Setiap nyawa pasti merasai mati. Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Kepada Kami jualah kamu akan kembali. [al Anbiya': 35]


Bibliografi huraian:

- Al Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, terbitan Yayasan Restu, cetakan kedua (2006).

- Kasyful Khofa' wa Muzilul Ilbas, juzu' 2, Syeikh Ismail bin Muhammad al 'Ajluni al Jarohi, tahqiq Dr. Abdul Hamid Handawi, cetakan pertama 142o H (2000 M), terbitan al Maktabah al 'Asriyyah, Soida-Beirut.

- Mizan al Zahab fi Sina'ah Syi'ir al 'Arab, al 'Allamah Sayyid Ahmad al Hasyimi, tahqiq Prof. Dr. Husni Abdul Jalil Yusuf, cetakan pertama 1418 H (1997 M), terbitan Maktabah al Adab, Kaherah.

- Qatrul Ghoithiyyah fi 'Ilmi al Sufiyyah 'ala al Syari'ah al Muhammadiyyah, al 'Allamah Husain Nasir bin Muhammad Toyyib al Mas'udi al Banjari, dikeluarkan semula oleh Muhammad Fuad Kamaludin al Maliki, cetakan pertama 1427 H (2006 M), terbitan Sofa Production.



[1] Wazan syair ialah timbangan yang diguna pakai untuk mengatur rentak syair Arab.

[2] Ilmu 'Arudh ialah suatu seni ilmu untuk mengenali kesahihan atau kecacatan sesebuah wazan syair Arab.

[3] Nama ini tertulis di dalam naskhah yang ada dalam simpanan saya. Saya tidak mengenali beliau. Yang pasti beliau ialah rakyat Mesir.

[4] Hadith no. 2091, Kasyful Khofa'. Imam al 'Ajluni berkata: Hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad dan al Toyalisi di dalam musnad mereka. Begitu juga Ibnu Majah meriwayatkannya daripada 'Umar رضى الله عنه secara marfu'. Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al Hakim menghukumkan hadith ini sebagai sohih manakala al Tirmizi menghukumkannya sebagai hasan.

1 ulasan:

hana syakira berkata...

salam....
terima kasih atas entry yg bermanfaat....
cuma, sy nk minta encik share tentang isi kasyful khofa' tentang hadis "kami baru pulang dari jihad kecil ke jihad yang besar"