29 Jun 2008

Di Antara Adab Para Nabi

Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Mereka (para Nabi) itu adalah golongan yang diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah petunjuk mereka (wahai Muhammad)..
[al An'am: 90]


Pangkat Kenabian dan Kerasulan adalah pangkat yang tertinggi di sisi Allah Ta'ala. Dikurniakan buat insan-insan pilihan yang telah mencapai tingkatan kesempurnaan. Mereka dididik secara langsung oleh Allah Ta'ala. Lantas kerana itu, mereka memiliki kesempurnaan yang melayakkan mereka untuk dijadikan contoh tauladan terbaik buat umat manusia. Di antara kesempurnaan yang mereka miliki adalah kesempurnaan adab. Para Nabi 'alaihimussalam adalah golongan yang paling beradab dengan Allah Ta'ala. Adab-adab mereka dirakamkan oleh Allah Ta'ala di dalam kitab-Nya untuk dijadikan tauladan.


Di sini saya senaraikan tiga contoh adab yang ditunjukkan oleh tiga Rasul yang mulia iaitu Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, Nabi Ibrahim al Khalil 'alaihissalam dan Nabi Isa Ruhullah 'alaihissalam. Ketiga-tiga mereka adalah Rasul Ulul 'Azmi. Selawat dan salam Allah buat mereka selama-lamanya.


1) Adab Nabi kita, Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.


Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Seringkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) selalu menengadahkan wajah-mu ke langit, maka Kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkan wajah-mu ke arah Masjid al Haram..
[al Baqarah: 144]


Ketika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah menetap di Madinah al Munawwarah selepas hijrah, Baginda bersembahyang dengan menghadap ke arah Masjid al Aqsa selama 16 bulan. Menurut riwayat lain selama 17 bulan. Melihat tindakan ini, golongan Yahudi mempersenda-sendakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sambil berkata, "Muhammad mencemuh agama kami, tapi sembahyang menghadap ke kiblat kami. Ini bukti kebenaran agama kami!"


Justeru itu, dalam diam Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sebenarnya ingin agar Allah Ta'ala menurunkan wahyu agar kiblat sembahyang ditukar ke arah Masjid al Haram. Kiblat ayahanda Baginda, Sayyiduna Ibrahim al Khalil 'alaihissalam. Namun begitu, Baginda hanya mendiamkan diri sahaja tanpa mengungkapkan doa memohon agar Allah Ta'ala mewahyukan perintah peralihan kiblat. Baginda hanya menengadahkan pandangannya ke langit setiap kali bersembahyang. Para ulama' menyatakan ini menunjukkan kesempurnaan adab Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Walaupun Baginda sangat berkeinginan agar berlaku peralihan kiblat ke arah Masjid al Haram, namun Baginda hanya berdiam diri tidak berdoa. Hanya melihat langit dengan harapan. Ini adalah kerana para Nabi hanya boleh berdoa jika mereka diizinkan Allah Ta'ala untuk berdoa. Ayat ini menunjukkan bahawa Baginda hanya memandang langit sahaja tanpa berdoa kerana jika Baginda berdoa, pasti akan dinyatakan oleh Allah Ta'ala. Daripada ayat ini, ada beberapa kesimpulan yang boleh diambil antaranya:


a) Ayat ini menunjukkan kesempurnaan adab Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dengan Allah Ta'ala sebagaimana yang telah saya jelaskan di atas.

b) Bagi memuliakan Baginda, maka Allah Ta'ala berkenan mengalihkan kiblat ke arah Masjid al Haram bahkan Allah Ta'ala menjadikan peralihan kiblat tersebut disebabkan oleh keinginan Baginda. Kerana itu Allah Ta'ala mengungkapkan 'maka Kami palingkan engkau ke arah yang engkau sukai' seakan-akan keinginan Baginda adalah keinginan Allah Ta'ala juga!

c) Allah Ta'ala juga menyebut wajah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di dalam ayat ini. Ayat ini juga menunjukkan bahawa perhatian Allah Ta'ala terhadap Baginda adalah lebih. Kerana itu Allah Ta'ala mengungkapkan 'Seringkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad)..


2) Adab Nabi Ibrahim al Khalil 'alaihissalam.


Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Dan ingatlah peristiwa ketika Ibrahim meninggikan dasar-dasar al Bait (Kaabah) dan (dibantu oleh) Ismail (sambil mereka berdua berdoa): Wahai Tuhan kami! Terimalah amalan kami ini. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar (doa kami) lagi Maha Mengetahui (isi hati kami).
[al Baqarah: 127]


Ayat ini juga merakamkan ketinggian adab Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'alaihimassalam. Walaupun mereka adalah golongan yang paling ikhlas dalam melaksanakan perintah Allah Ta'ala, namun dengan jiwa yang penuh tawadhu', mereka masih khuatir sekiranya pembinaan Kaabah ini dilakukan dengan hati yang kurang ikhlas. Lantas mereka berdoa dengan hati yang tulus ikhlas agar amalan mereka ini diterima oleh Allah Ta'ala. Allah Ta'ala Maha Mengetahui keikhlasan jiwa mereka lalu Dia memperkenankan doa mereka dan menerima amalan mereka dengan menjadikan Kaabah sebagai kiblat sembahyang buat umat yang beriman kepada Allah Ta'ala. Ada sebahagian ulama', apabila mereka membaca ayat ini lantas mereka menangis keharuan sambil berkata, "Wahai Nabi Allah! Tuan adalah manusia yang paling ikhlas dalam ibadah kepada Allah. Namun tuan masih mengharap agar Allah menerima amalan tuan. Aduh! Bagaimana pula dengan kami ini yang belum tentu lagi diterima amalan kami ini!!"


3) Adab Nabi 'Isa Ruhullah 'alaihissalam.


Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:


Dan ketika Allah berfirman, "Wahai 'Isa putera Maryam! Adakah engkau pernah mengatakan kepada manusia: Jadikan saya dan bonda saya sebagai tuhan selain Allah?" 'Isa menjawab, " Maha Suci Engkau! Tidak sepatutnya aku mengatakan perkara yang tidak benar. Jika aku mengatakannya, pasti Engkau mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang terkandung dalam diriku sedangkan aku tidak mengetahui apa yang terkandung dalam diri-Mu. Engkau Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Aku tidak mengatakan kepada mereka selain perkara yang Engkau perintahkan iaitu: Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu."
[al Maidah: 116-117]


Ayat ini adalah sanggahan terhadap dakwaan golongan Kristian bahawa Nabi 'Isa dan bonda Baginda Sayyidah Maryam merupakan tuhan selain Allah Ta'ala. Allah Ta'ala mendedahkan kepalsuan dakwaan golongan Kristian dengan menceritakan dialog antara-Nya dan Nabi 'Isa 'alaihissalam. Ayat ini juga memperlihatkan ketinggian adab Nabi 'Isa 'alaihissalam ketika menjawab pertanyaan Allah Ta'ala. Jika kita perhatikan ayat ini, sepatutnya memadai jika Nabi 'Isa 'alaihissalam hanya menjawab dengan jawapan yang ringkas iaitu: Aku tidak mengatakannya! Namun begitu, sebagai adab kepada Allah Ta'ala, Baginda memulakan jawapannya dengan memuji Allah Ta'ala sambil mengakui kelemahan diri. Setelah itu barulah Baginda menjawab pertanyaan Allah Ta'ala dengan jawapan yang beradab juga.


Maha Suci Allah yang memilih para Rasul-Nya dari kalangan insan terpilih untuk menjadi contoh tauladan buat umat manusia.


Beradablah dengan Allah Ta'ala wahai sidang pembaca! Hanya dengan adab, barulah kita akan sampai kepada Allah Ta'ala sebagaimana yang ditegaskan oleh golongan sufi.


Segala puji bagi Allah yang memberi taufiq dan ilham kepada sesiapa yang dikehendakinya.


Nota
: Saya mendapat idea untuk menulis tajuk ini ketika mendengar khutbah Jumaat. Kemudian saya diberi taufiq oleh Allah Ta'ala ketika meneliti ayat-ayat daripada surah al Baqarah. Segala puji bagi Allah Ta'ala..

Tiada ulasan: