23 Jun 2008

Mesej Berantai

Saya diminta oleh seorang teman untuk mengulas mengenai mesej-mesej berantai yang biasanya di'forward'kan melalui Yahoo Messenger (YM). Antaranya seperti mesej berikut:


Ya Allah!! Sebagaimana Engkau pernah menghantar burung-burung Ababil menghancurkan tentera bergajah musyrikin, maka kami memohon kepada-Mu ya Allah.... Turunkanlah bantuan-Mu kali ini kepada orang-orang Islam di Lebanon, hancurkanlah rejim Zionis... Amin...


(Lalu bacalah surah al Fiil/ membayangkan kehancuran tentera Yahudi- dengan izin Allah)
Surah al Fiil:


"A'lam tara kayfa fa'ala rabbuka bi as-hab al-fil"
"A'lam yo'jal kaydahum fi tadlil"
"Wa arsala alayhim tayran ababil"
"Tarmihim bi hijaratin min sijjil"
"Fa ja'alahum ka 'asfin ma'kul"


Lipat gandakan doa ini. Kirim kepada 7 orang rakan anda yang lain. Maka 7 x 7 x7 x7 x 7 x7 x7= 823 453 orang akan berdoa, kemudian 823 453 x 7= 5.8 juta orang.... Insya Allah.


Begitulah isi kandungan mesej berantai yang diterima. Saya juga pernah menerima mesej yang sama. Namun kebiasaannya, saya abaikan saja. Bukan tidak sensitif dengan nasib umat Islam yang lain, tetapi saya ada pandangan tersendiri mengenai mesej ini dan yang seumpama dengannya.


Di sini saya sertakan sekali ulasan teman saya ini mengenai mesej di atas menerusi surat yang beliau kirimkan kepada saya:


Sikit ulasan tentang message ni:
- Saya dapat message ni dekat YM yang mana dikirim oleh seorang sahabat.
- Mula-mula baca message ni, okay jela sebab tujuan ianya di'forward'kan ialah untuk sama-sama mengajak orang ramai berdoa membantu umat Islam khususnya di Lebanon.
- Tapi yang tak bestnya, bila baca ayat al Quran dari surah al Fiil yang turut sama diletakkan dalam mesej ni.
- Bagi orang yang tahu baca al Quran dan orang yang ahlinya, dah terang nyata lagi bersuluh ada kesilapan ejaan pada ayat tersebut.
- Sepertimana yang kita tahu, kalam dari al Quran jika salah sebutannya, salah maksudnya. So mesej ni asalnya memang bertujuan baik, akhirnya boleh terpesong kalau dapat pada orang yang bukan ahlinya.
- Tu jela sikit ulasan @ pendapat. Sebenarnya banyak lagi tapi saya serah pada ustaz untuk ulas dan kembangkan lagi isi seterusnya..


Ulasan saya.


Berdasarkan kepada ulasan teman saya ini, bagi saya ianya sudah memadai. Beliau hanya mengulas mengenai kesilapan ejaan pada ayat al Quran tersebut. Kesilapan tersebut berlaku kerana ia ditulis menggunakan tulisan rumi. Jadi sebutannya juga pastilah berlaku perubahan. Saya mencadangkan jika terdapat mesej yang mengandungi ayat-ayat al Quran, maka mestilah dinyatakan dalam bentuk huruf Arab. Jika tidak boleh, hanya nyatakan mafhumnya sahaja. Benar pendapat beliau bahawa tujuan asal mesej ini memang baik, tetapi dikhuatiri berakhir dengan natijah yang kurang baik jika sampai pada yang bukan ahlinya. Bahkan boleh jatuh kufur jika dibaca oleh orang yang tahu, tetapi dengan sengaja menyebutnya atas tujuan untuk bermain-main.


Itu satu sudut. Sudut yang lain, saya hairan kenapa mesej ini masih lagi di'forward'kan kerana peperangan di Lebanon telah lama berakhir. Seingat saya peperangan tersebut berlaku pada tahun 2006. Jadi isi kandungan mesej ini kurang relevan. Yang tinggal sekarang adalah isu Palestin yang masih belum selesai tetapi semakin dilupakan. Saya melihat mesej ini di'forward'kan oleh mereka yang kurang peka tentang isu yang berlaku. Kalau mereka peka, mereka akan perasan bahawa setakat ini isu Lebanon telah selesai. Namun sayangnya, mesej ini terus di'rantai'kan hanya kerana ingin merebut janji yang menyebut agar di'forward'kan mesej ini kepada 7 orang lagi untuk dikembangkan. Ini semua kerja yang mudah.


Namun suka saya nyatakan, semasa kita mem'forward'kan mesej ini, adakah ia dikirim dengan perasaan peka tentang nasib umat Islam yang ditindas atau sekadar 'forward'kan saja tanpa merasa apa-apa? Saya yakin kebanyakan kita bersikap begitu. Ada yang lebih penting lagi daripada mesej ini. Kenapa kita tidak boikot saja Amerika, Zionis Yahudi dan sekutu-sekutu mereka? Boikot ekonomi sebagaimana yang pernah saya nyatakan menerusi blog ini. Kita hanya sibuk mem'forward'kan mesej ini, tetapi dalam masa yang sama rupa-rupanya kita adalah penyumbang dana untuk menanam sebutir peluru dalam dada saudara kita sendiri khususnya di Palestin dengan membeli produk musuh kita Amerika, Zionis dan sekutu-sekutu mereka. Ini menunjukkan kita hanya sibuk mem'forward'kan mesej tetapi dengan jiwa yang kosong daripada sensitiviti terhadap saudara kita. Kita suka kerja yang mudah, tetapi bila kerja tersebut melibatkan pengorbanan terhadap sedikit kepentingan peribadi kita, kita tak sanggup. Sayang sekali jika begini sikap kita..


Saya bukan bermaksud agar mesej-mesej sebegini dihentikan walaupun saya sendiri mengabaikannya. Elok juga diteruskan. Sekurang-kurangnya ia menyumbang untuk kita bersama berdoa dan berfikir tentang nasib saudara seIslam. Cuma isinya biarlah lebih relevan dan kita menumpukan kepada perkara yang lebih penting daripada mesej ini. Ataupun 'forward'kan mesej ini, tetapi dengan jiwa yang penuh dengan sensitiviti terhadap nasib umat Islam yang ditindas di seluruh dunia. Ingatlah, jika kita tidak mengambil berat tentang umat Islam, maka kita bukan dari kalangan mereka. Jika bukan dari kalangan mereka, kita dari kalangan mana??


Nota: Kesilapan sebutan pada ayat al Quran, saya boldkan.

Tiada ulasan: