Muqaddimah.
Menerusi entri kali ini, saya hanya membicarakan mengenai hudud secara umum dan ringkas berserta olahan yang mudah difahami, insya Allah. Dengan erti kata lain, entri ini hanya sekadar pengenalan mengenai hukuman hudud.
Definisi.
Hudud dari sudut bahasa Arab: Merupakan plural (jama') kepada kalimah had yang bermaksud "penghalang".
Dari sudut syara', ia digunapakai untuk hukuman-hukuman yang dikenakan terhadap perbuatan-perbuatan maksiat tertentu.
Oleh itu, para ulama' mendefinisikan hudud sebagai: Hukuman yang ditentukan syara' terhadap kesalahan-kesalahan melanggar hak Allah Ta'ala serta disandarkan kepada sebab-sebabnya.[1]
Hukuman ini dinamakan hudud kerana ia boleh menghalang manusia daripada berterusan melakukan jenayah tersebut.
Perbuatan maksiat yang dikenakan hudud.
Perbuatan maksiat yang dikenakan hudud adalah tujuh:
1) Murtad.
Apabila seseorang Muslim murtad daripada Islam dengan ucapan atau perbuatan, maka dia akan diberi tempoh tiga hari untuk bertaubat tanpa sebarang paksaan mahupun seksaan dikenakan. Sekiranya dia enggan juga bertaubat selepas tempoh tersebut, maka dia dijatuhkan hukuman bunuh. Ini adalah berdasarkan hadith yang menyebut mafhumnya:
Sesiapa yang menukar agamanya (murtad daripada Islam), maka bunuhlah dia.[2]
2) Membunuh.
Seorang Muslim yang membunuh seorang Muslim lain dengan sengaja, maka hukumannya adalah bunuh. Ia juga disebut sebagai Qisas. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta'ala mafhumnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Qisas itu diwajibkan ke atas kamu dalam kes pembunuhan. [al Baqarah: 178]
3) Zina.
Seorang Muslim yang berzina, sedangkan dia belum berkahwin maka hukumannya adalah sebat seratus kali berdasarkan firman Allah Ta'ala mafhumnya:
Wanita dan lelaki yang berzina, maka hendaklah kamu sebat mereka berdua sebanyak seratus kali sebatan. [al Nur: 2]
Kemudian dibuang negeri selama setahun berdasarkan hadith mafhumnya:
Pemuda pemudi yang berzina hendaklah disebat seratus kali dan dibuang negeri selama setahun.[3]
Manakala bagi penzina yang telah berkahwin, maka hukumannya adalah rejam sehingga mati berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Sayyiduna Jabir radhiyallahu 'anhu bahawa seorang lelaki telah berzina dengan seorang perempuan. Lalu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan agar dia disebat. Kemudian lelaki tersebut mengaku bahawa dia telah berkahwin. Lantas Baginda memerintahkan agar dia direjam.[4]
4) Liwat.
Seorang Muslim yang meliwat, maka hukumannya adalah dibunuh. Begitu juga yang diliwat sekiranya dia baligh. Tidak kira yang melakukan perbuatan liwat ini telah berkahwin ataupun belum. Ini adalah berdasarkan hadith yang menyebut mafhumnya:
Sesiapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Lut (iaitu liwat) maka bunuhlah orang yang meliwat dan yang diliwat.[5]
5) Qazaf (menuduh orang lain berzina).
Sesiapa yang menuduh seorang Muslim atau Muslimah berzina, kemudian dia tidak mendatangkan empat saksi yang menyokong tuduhannya itu maka dia dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali, dihukumkan sebagai fasiq serta tidak diterima lagi kesaksiannya. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta'ala mafhumnya:
Orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang suci (dengan tuduhan zina) kemudian mereka tidak mendatangkan empat saksi (yang menyokong tuduhan itu), maka sebatlah mereka sebanyak 80 sebatan dan janganlah kamu menerima kesaksian mereka buat selama-lamanya dan mereka itu adalah golongan yang fasiq. Kecuali orang-orang yang bertaubat selepas itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [al Nur: 5]
6) Meminum arak.
Seorang Muslim yang meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, maka hukumannya adalah sebat sebanyak 80 kali.
7) Mencuri.
Seorang Muslim yang mencuri, maka hukumannya adalah dipotong tangan berdasarkan firman Allah Ta'ala mafhumnya:
Lelaki dan wanita yang mencuri, maka potonglah tangan mereka berdua sebagai balasan terhadap perbuatan mereka dan juga pencegahan daripada Allah. Dan Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. [al Maidah: 38]
Sunnah menjelaskan bahawa sekiranya barangan yang dicuri memiliki nilai sebanyak 1/4 dinar emas tulen (lebih kurang 1.0625 gram emas) atau lebih atau barangan yang seumpama dengannya, maka jika dia mencuri buat kali pertama hukumannya adalah dipotong tangan kanan pada pergelangannya. Sekiranya dia mencuri buat kali kedua, dipotong pula kaki kiri pada pergelangannya. Jika dia masih lagi mencuri, dipotong tangan kirinya. Jika masih mencuri, dipotong pula kaki kanannya. Namun sekiranya dia masih lagi mencuri, maka hukumannya adalah ta'zir dan ia bergantung kepada ijtihad pemerintah ketika itu.
Hukuman buat kesalahan-kesalahan selain di atas.
Adapun bagi kesalahan-kesalahan selain yang dinyatakan di atas, maka hukumannya adalah berbentuk ta'zir. Ia bergantung kepada ijtihad pemerintah berdasarkan kemaslahatan. Hukuman tersebut boleh jadi pukulan, sebatan, buang negeri dan sebagainya.
Hikmah disyariatkan hudud.
Hudud disyariatkan bagi kesalahan-kesalahan yang dinyatakan di atas adalah kerana hikmah-hikmah yang berkait rapat dengan perkara-perkara asasi yang disebut sebagai al Maqosid al Syar'iyyah iaitu:
1) Agama.
Agama adalah suatu keperluan bagi individu bahkan ia adalah keperluan masyarakat. Bagi mengekalkan kelangsungan agama Islam, maka kita diwajibkan untuk berjihad memerangi golongan kuffar dan membunuh golongan murtad.
2) Nyawa.
Nyawa adalah asas kehidupan. Maka wajib dijatuhkan hukuman qisas ke atas orang yang mencabutnya tanpa alasan yang benar. Dengan qisas, keselamatan nyawa akan terjamin dan ia menghalang berlaku pertumpahan darah tanpa sebab yang kukuh lagi benar. Kerana itu Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:
Dan pada Qisas itu, terdapat kehidupan bagi kamu wahai orang-orang yang memiliki akal fikiran agar (dengan qisas itu) kamu memelihara (nyawa-nyawa yang tidak berdosa). [al Baqarah: 179]
3) Keturunan.
Keturunan adalah aspek yang membezakan manusia dengan hidupan lain. Kerana itu, Islam sangat menitik beratkan keturunan dengan memelihara kesuciannya. Melalui keturunan, manusia meneruskan kelangsungan kewujudannya di muka bumi ini. Disebabkan zina membawa kepada pencemaran nasab dan kekeliruannya, maka dijatuhkan hukuman sebat dan rejam. Begitu juga dengan liwat. Selain menjijikkan, ia juga adalah perbuatan songsang yang menyumbang kepada kekurangan kewujudan manusiawi. Kerana itu, hukuman bunuh dijatuhkan terhadap orang yang melakukan perbuatan songsang ini.
4) Maruah.
Sudah menjadi fitrah, manusia sangat mementingkan maruah. Islam sangat mengambil berat tentang maruah kerana manusia itu hidup terhormat jika maruahnya terpelihara. Disebabkan qazaf adalah tuduhan yang melibatkan maruah, maka dijatuhkan hukuman sebat bagi sesiapa yang mencemarkan maruah orang lain tanpa bukti.
5) Akal.
Akal adalah anugerah terbesar buat umat manusia. Dengannya, manusia menilai buruk dan baiknya sesuatu perkara. Dengan akal jua, kita ditaklifkan oleh Allah Ta'ala dengan taklifan-taklifan tertentu. Maka ia adalah anugerah yang sangat besar nilainya serta perlu dijaga keutuhannya. Oleh kerana meminum minuman yang memabukkan boleh menyebabkan kehilangan akal seterusnya membawa kepada perbuatan-perbuatan yang menjatuhkan martabat kemanusiaan, maka Islam menjatuhkan hukuman sebat buat mereka yang sengaja meminumnya.
6) Harta.
Harta adalah pendokong kehidupan. Islam menggalakkan umatnya untuk berkerja mengumpul harta yang halal dengan tujuan untuk menyara kehidupan serta menyumbang kepada jalan Allah Ta'ala. Untuk memelihara harta, dikenakan hukuman potong tangan bagi pencuri.
Benarkah hudud tiada di dalam al Quran?
Sebagaimana yang telah saya nyatakan di atas, sidang pembaca jelas mendapati bahawa hukuman hudud disebut secara terang nyata di dalam al Quran dan Sunnah. Saya sengaja menimbulkan pertanyaan ini kerana saya pernah mendengar suara-suara sumbang (di kalangan mereka ada yang belajar di al Azhar!) menyatakan bahawa hudud tidak disebut di dalam al Quran. Saya tidak pasti bagaimana mereka boleh berfikiran begitu. Sama ada mereka tidak pernah membaca al Quran atau buta huruf. Boleh jadi juga mereka buat-buat bodoh. Mungkin juga mereka ada kepentingan peribadi yang menjadikan akal mereka bingung seketika. Cuma persoalan yang timbul adalah mengenai perlaksanaannya. Hudud disebut di dalam al Quran dan Sunnah. Adapun perlaksanaannya, bergantung kepada suasana. Wallahu 'alam.
Penutup.
Konklusinya, jika hukuman hudud dilaksanakan ia akan membawa kepada kesejahteraan hidup. Islam adalah agama kesejahteraan. Kerana itu, Islam mensyariatkan hudud bagi menjamin kesejahteraan hidup sebagaimana yang telah disebut menerusi hikmah-hikmahnya di atas. Segala puji bagi Allah, pengatur hukuman buat sekelian alam.
Bibliografi:
- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah bin Siddiq al Ghumari al Hasani, bahagian pertama, cetakan ketiga 2004 (1425), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.
- Al Mu'tamad fil Fiqh al Syafi'i, Prof. Dr. Muhammad al Zuhaili, jilid kelima, cetakan pertama 2007 (1428), terbitan Darul Qalam, Damsyik.
- Nailul Autor min Asrar Muntaqol Akhbar, al Imam al Qadhi Muhammad bin Ali al Syaukani al Yamani, jilid 13, cetakan pertama 2006 (1427), terbitan Dar Ibni Jauzi, Arab Saudi.
[1] Al Mu'tamad fil Fiqh al Syafi'i, hal: 145, jilid 5, Darul Qalam, Damsyik.
[2] Nailul Autor, hadith 3215, halaman 509, jilid 13, Dar Ibnu Jauzi.
[3] Nailul Autor, hadith 3095, halaman 226, jilid 13.
[4] Nailul Autor, hadith 3096, halaman 226, jilid 13.
[5] Nailul Autor, hadith 3131, halaman 298, jilid 13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan