30 Jun 2008

Taksub Yang Dicemuh

Berpegang dengan kebenaran serta berusaha keras mempertahankannya merupakan sifat yang terpuji. Sifat ini ditunjukkan oleh para Nabi 'alaihimussalam dan tokoh-tokoh pejuang Islam sebagaimana yang dicatit di dalam lembaran sejarah.


Adapun berpegang dengan kebatilan serta berusaha mempertahankannya tanpa dalil yang kukuh apatah lagi bertentangan dengan kebenaran, maka ini yang dinamakan taksub atau fanatik dan ia merupakan sifat yang tercela. Sifat ini juga mengundang dosa sekiranya terus dipertahankan tanpa memperdulikan kewujudan kebenaran.


Menurut Kamus Dewan, fanatik membawa maksud: Orang yang keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian (biasanya berkaitan dengan agama).[1]


Pada saya, definisi ini terlalu umum. Saya menambah: Tanpa dalil dan secara membuta tuli.


Taksub/fanatik biasanya berkait rapat dengan sikap taqlid. Sememangnya taksub merupakan sifat yang dicemuh kerana ia boleh membutakan mata hati. Kerana itu, al 'Allamah al Muhaddith Sayyid Muhammad Zaki Ibrahim radhiyallahu 'anhu pernah menegaskan:


Semoga Allah melaknat sikap taksub kerana dengan sikap ini, ada sebahagian orang yang sanggup mengubah maksub sebenar ayat ini[2] dengan menjadikan golongan yang membina masjid di sisi gua tempat Ashabul Kahfi disemadikan sebagai musyrik pelampau![3]


Dalam entri kali ini, saya menyenaraikan beberapa contoh sikap taksub yang sepatutnya dijauhi oleh kita semua. Saya turut sertakan jawapan balas terhadap dakwaan-dakwaan yang timbul berpunca daripada sikap taksub ini agar kita semua jelas dengan permasalahan sebenar. Sesungguhnya taufiq dan hidayah itu datang dari Allah Ta'ala jua.


1) Sebahagian ulama' qiraat mendakwa bahawa di Syurga kelak, al Quran akan dibaca menurut riwayat Warasy. Dengan erti kata lain, bacaan riwayat lain seolah-olah tidak benar kerana ianya tidak dibaca di Syurga kelak.[4]


Kami mengatakan: Dakwaan ini tidak berdalil. Tidak terdapat dalil sama ada daripada hadith yang sohih mahupun dho'if sekalipun yang menyokong dakwaan ini. Kita sedia maklum bahawa kesemua jenis qiraat al Quran yang dibaca sejak daripada zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sehingga sekarang merupakan bacaan yang diriwayatkan secara mutawatir daripada Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Mengapa hanya riwayat Warasy sahaja yang dibaca di Syurga kelak? Mengapa tidak semua riwayat dibaca sekali di Syurga? Atau penghuni Syurga yang membaca riwayat-riwayat tertentu ketika mereka di dunia dahulu, membacanya kembali di Syurga? Pelik, hanya riwayat Warasy sahaja yang dipilih. Ini tidak lain dan tidak bukan berpunca daripada sikap taksub terhadap riwayat Warasy dengan anggapan bahawa ia adalah bacaan terbaik. Ini dakwaan kosong! Jika begitu, maka umat Islam yang berada di Morocco, Algeria dan negara-negara Afrika beruntung kerana mereka membaca al Quran dengan riwayat Warasy. Manakala umat Islam di negara lain pula kurang beruntung kerana umat Islam di Tunis dan Libya membaca al Quran dengan riwayat Qalun. Yaman pula dengan riwayat Nafi'. Sudan dengan riwayat Abu 'Amru. Manakala baki negara-negara umat Islam yang lain membaca al Quran dengan riwayat Hafs. Persoalannya, adakah begitu? Jawapannya, sudah pasti tidak sama sekali!


2) Sebahagian ulama' Hanafiyyah memfatwakan bahawa jika seseorang yang bermazhab Hanafi berkahwin dengan seseorang yang bermazhab Syafi'i, maka perkahwinannya tidak sah kerana iman orang yang bermazhab Syafi'i diragui! Ini disebabkan golongan Syafi'iyyah mengharuskan kita mengucapkan begini, "Saya mukmin, insya Allah." Maka justeru itu, iman mereka ini diragui![5]


Kami mengatakan: Subhanallah! Disebabkan terlalu taksub kepada mazhab Hanafiyyah, sanggup mereka memfatwakan sebegini. Sedangkan perkahwinan ini berlaku di antara dua orang Muslim, cuma berlainan mazhab. Bagi menjawab dakwaan bahawa iman golongan Syafi'iyyah diragui kerana mereka mengharuskan kita untuk menyebut, "Kami mukmin, insya Allah.", kami menyatakan: Kalimah 'insya Allah' disebut dalam pernyataan ini bukan membawa maksud ragu-ragu adakah kita beriman atau tidak. Tetapi ianya disebut atas dasar tabarruk (mengambil berkat) dan untuk merealisasikan perintah Allah Ta'ala mafhumnya:


Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) mengatakan, "Saya akan melakukannya esok." (tetapi ucapkan sekali) sekiranya dikehendaki Allah (iaitu ucapan insya Allah).. [al Kahfi: 23 & 24]


Ayat ini menunjukkan bahawa kita dituntut mengucapkan 'insya Allah' ketika berhasrat ingin melakukan sesuatu walaupun kita yakin mampu untuk melakukannya. Selain ianya sebagai tuntutan, ia juga berupa zikir agar kita sentiasa mengingati Allah Ta'ala dalam setiap ucapan dan perbuatan supaya ianya membuahkan keberkatan. Kerana itu Allah Ta'ala berfirman dalam ayat yang sama selepas itu:


Dan ingatilah Tuhan-mu ketika engkau lupa serta ucapkanlah (doa), "Semoga Tuhan-ku memberiku petunjuk ke arah yang lebih terang daripada ini. [al Kahfi: 24]


Bahkan Sunnah juga menyokong kenyataan ini. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Sayyiduna Abu Hurairah radhiyyallahu 'anhu bahawa pada suatu hari Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menziarahi tanah perkuburan bersama para sahabat lalu Baginda mengucapkan, "Selamat sejahtera buat kamu wahai penghuni negeri kaum Mukminin! Insya Allah, kami akan menyusuli kamu kelak.."


Prof. Dr. Musa Syahin ketika mengulas hadith ini menyatakan:


Kalimah 'insya Allah' di sini diucapkan bukan disebabkan keraguan kerana kematian itu bukan perkara yang diragui. Bahkan kalimah ini diucapkan sebagai tabarruk (mengambil berkat) serta bertujuan untuk merealisasikan firman Allah Ta'ala mafhumnya:


Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) mengatakan, "Saya akan melakukannya esok." (tetapi ucapkan sekali) sekiranya dikehendaki Allah (iaitu ucapan insya Allah).. [al Kahfi: 23 & 24][6]


Lihat bagaimana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengucapkan kalimah 'insya Allah' dalam menyebut kematian sedangkan kematian itu adalah perkara yang diyakini berlaku bahkan lebih diyakini daripada keimanan seseorang. Adakah kita boleh menjamin bahawa kita akan terus beriman dan mati dalam keadaan beriman? Mengapa kita begitu berani mempertikaikan keimanan saudara seislam, sedangkan kita sendiri belum pasti akan terus beriman. Kemudian zahir satu lagi jawapan lain buat saya iaitu: Golongan Syafi'iyyah mengharuskan perkara ini sebagai doa dan harapan agar diizinkan oleh Allah Ta'ala untuk terus hidup dan mati dalam keadaan beriman. Wallahu 'alam. Semoga kita semua dimatikan dalam iman. Amin..


3) Dakwaan sebahagian golongan Hanafiyyah bahawa apabila Nabi 'Isa 'alaihissalam turun kelak, Baginda akan menganut mazhab Hanafiyyah. Begitu juga Imam al Mahdi 'alaihissalam. Apabila muncul kelak, beliau akan berpegang dengan mazhab Hanafiyyah.


Kami menyatakan: Inna lillah wainna ilaihi roji'un (Kita adalah milik Allah dan kepada-Nya jua kita akan kembali)! Dakwaan apakah ini?! Sehingga membabitkan seorang Nabi Allah dan seorang bakal mujtahid.


Adapun Nabi 'Isa Ruhullah 'alaihissalam, apabila turun kelak maka Baginda akan melaksanakan syariat Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bahkan pangkat Kenabian dan Kerasulan Baginda masih kekal. Maka bagaimana seorang Nabi dan Rasul mengikut mana-mana mazhab? Sekali lagi: Dakwaan apakah ini??


Manakala Imam al Mahdi 'alaihissalam pula, beliau dikurniakan oleh Allah Ta'ala dengan tiga darjat iaitu darjat Khalifah, Mujaddid dan Mujtahid. Sebagaimana yang tercatat di dalam ilmu Usul Fiqh, seseorang yang telah mencapai darjat ijtihad maka tidak harus baginya untuk bertaqlid bahkan wajib baginya beramal dengan ijtihadnya sehingga zahir dalil sohih yang bertentangan dengan ijtihadnya maka ketika itu wajib pula baginya mengikut dalil sohih tersebut. Bukan mengikut mana-mana mazhab! Sila fahami betul-betul!


4) Dakwaan sebahagian golongan Syafi'iyyah bahawa Imam Abu Hanifah radhiyyallahu 'anhu wafat sebelum kelahiran Imam Muhammad bin Idris al Syafi'i disebabkan tokoh tersebut tidak berani berdepan dengan Imam Syafi'i.


Kami menyatakan: Adakah kematian itu terletak di tangan Imam Abu Hanifah sehingga beliau mampu untuk menentukan tarikh kewafatannya? Sedangkan urusan hidup dan mati terletak di tangan Allah Ta'ala. Kemudian, apakah munasabahnya beliau perlu merasa gentar untuk berhadapan dengan Imam Syafi'i? Sedangkan beliau sendiri tidak tahu bahawa Imam Syafi'i akan lahir selepas kewafatannya. Jika beliau mengetahuinya sekalipun melalui firasat yang dikurniakan Allah Ta'ala buat beliau, untuk apa beliau merasa gentar? Logiknya, beliau pasti bergembira kerana akan munculnya seorang tokoh yang akan meneruskan perjuangan beliau menegakkan Islam. Imam Syafi'i sendiri memandang tinggi kedudukan Imam Abu Hanifah bahkan masyhur di sisi golongan Syafi'iyyah bahawa apabila Imam Syafi'i menyebut nama Imam Abu Hanifah, beliau tidak menyebutnya secara terang tetapi dengan berkias kerana memuliakan nama yang agung ini! Allahu Akbar! Alangkah tingginya adabmu wahai Imam!


5) Berkata sebahagian ulama': Tidak boleh bertaqlid pada mazhab selain mazhab yang empat walaupun mazhab tersebut bertepatan dengan pendapat sahabat, hadith sohih dan ayat suci al Quran! Sesiapa yang keluar daripada mazhab yang empat, maka dia adalah sesat lagi menyesatkan bahkan boleh membawa kepada kekufuran kerana berpegang kepada zahir al Quran dan Sunnah adalah daripada asas kufur!![7]


Kami menyatakan: Subhanallah!! Ini kes berat. Ketika menukilkan dakwaan ini, saya menukilkannya dengan perasaan kesal..


Kami menjawab secara umum: Yang benar di sisi golongan muhaqqiqin, bermazhab itu bukan suatu kewajipan. Inilah pegangan majoriti ulama' muhaqqiqin seperti al Hafiz al 'Iraqi, Imam Nawawi dan selain mereka. Lagi pun, jika kita mewajibkan umat Islam supaya berpegang dengan salah satu mazhab bererti kita telah mewajibkan mereka dengan perkara yang tiada dalil. Kita juga telah menyempitkan mereka daripada keluasan Islam. Sedangkan Islam adalah agama rahmat dan mudah. Kebenaran itu pula berada pada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala walaupun pada mazhab selain mazhab yang empat selagimana kebenaran itu berpaksikan al Quran dan Sunnah. Jika kita mengimbau kembali sejarah perundangan Islam, kita akan dapati bahawa mazhab itu tidak terbatas pada yang empat sahaja bahkan kita boleh katakan banyak mazhab telah tumbuh. Bermula dengan mazhab Zaidiyyah, Ja'afariyyah, Jaririyyah, Zohiriyyah, Auza'iyyah, Ibadhiyyah, Abu Thur, Abu 'Ubaid al Qosim bin Salam dan banyak lagi. Bila kita melakukan kajian perbandingan mazhab, kadangkala ternyata pendapat yang benar itu bersama mazhab selain mazhab yang empat. Ini hakikat yang perlu diterima. Namun apakan daya, mata hati yang buta kerana ditimpa penyakit 'katarak taksub' sukar melihat kebenaran..


Kemudian bagaimana pernyataan yang menyebut: Tidak boleh bertaqlid pada mazhab selain mazhab yang empat walaupun mazhab tersebut bertepatan dengan pendapat sahabat, hadith sohih dan ayat suci al Quran! Ini boleh diterima?? Seolah-olah pendapat mazhab yang empat lebih tinggi daripada al Quran, Sunnah dan pendapat sahabat yang lebih mengenali sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam!


Kemudian dihukumkan pula sebagai sesat lagi menyesatkan bahkan kufur! Allah Akbar! Ya Allah! Adakah sebegini sempit agama-Mu?! Agama-Mu tidak sempit, tetapi disempitkan oleh hamba-hamba-Mu yang taksub..


6) Dakwaan sebahagian pengamal tariqat Tijaniyyah yang jahil bahawa tariqat mereka adalah yang terbaik berbanding tariqat yang lain bahkan sesiapa yang memasuki tariqat selain tariqat Tijaniyyah, maka dia akan mati dalam Su'ul Khatimah (mati dalam kufur)!![8] Mereka juga mendakwa bahawa selawat al Fatih yang menjadi amalan tariqat ini lebih afdhal (mulia) daripada al Quran.


Kami menyatakan: Allah.. Allah.. Ini antara punca mengapa tariqat tasawuf ditohmah, dibenci dan dimusuhi. Sedangkan tariqat tasawuf tidak bersalah sama sekali. Pengamalnya yang jahil sepatutnya dipersalahkan. Dakwaan bahawa tariqat Tijaniyyah lebih baik daripada tariqat yang lain adalah dakwaan kosong tanpa dalil. Kemudian sesiapa yang tidak memasuki tariqat ini, akan mati dalam keadaan buruk. Adakah golongan ini menerima wahyu? Kami tidak menyalahkan pengasas tariqat ini iaitu Syeikh Ahmad al Tijani kerana kami yakin beliau adalah wali yang sejati. Beliau mengasaskan tariqat ini di atas paksi al Quran dan Sunnah. Namun para pengikut beliau yang taksub, telah menyimpang daripada dasar yang telah beliau tetapkan.


Adakah mereka menerima wahyu bahawa selawat al Fatih lebih mulia daripada al Quran? Saya tanpa ragu-ragu menyatakan, ini adalah kalam kufur! Astaghfirullahal 'azim (saya memohon keampunan Allah).


Kesimpulan.


Al Quran dan Sunnah adalah sumber perundangan yang sejati. Kebenaran sentiasa bersama al Quran dan Sunnah. Selagi mana kita berpegang dengan al Quran dan Sunnah, maka selagi itu kita akan sentiasa berada di atas jalan kebenaran. Ijtihad-ijtihad para ulama' itu boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Namun kita menghormati ijtihad-ijtihad mereka lebih-lebih lagi mereka ini dijanjikan pahala walaupun ijtihad mereka tersalah. Cuma kita dituntut untuk menurut ijtihad yang bersesuaian dengan al Quran dan Sunnah. Adapun ijtihad mereka yang salah, kita kritik dengan kritikan yang membina dan secara beradab. Diingatkan juga, bukan sebarangan orang boleh mengkritik ijtihad mereka. Hanya golongan mujtahid sahaja yang boleh mengkritiknya disertai dengan adab yang tinggi. Bukan sewenang-wenangnya oleh golongan jahil yang kononnya mendakwa sebagai mujtahid tapi masih lagi bertaqlid pada pendapat yang telah nyata kebatilannya! Semoga Allah Ta'ala sentiasa memimpin kita ke arah kebenaran. Amin. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.


Nota: Buat pengetahuan sidang pembaca, dakwaan-dakwaan yang dinyatakan di sini dikemukakan oleh ulama'. Namun sebagai beradab dengan mereka, saya tidak menyebut nama mereka. Bukan peribadi yang kita perlu kritik kerana mereka adalah golongan yang berperibadi mulia, tetapi pendapat mereka yang perlu kita perhatikan. Benarlah, kesempurnaan itu hanya milik Allah Ta'ala dan sifat maksum itu hanya dikhususkan oleh Allah buat para Nabi dan Rasul-Nya sahaja.


Bibliografi:


- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari, bahagian pertama, cetakan ketiga 2004 (1425), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

- Khawatir Diniyyah, al Hafiz Sayyid Abdullah Siddiq al Ghumari, bahagian kedua, cetakan pertama 1998 (1419), terbitan Maktabah al Qohirah, Mesir.

- Fiqh al Sunnah, al 'Allamah Sayyid Sabiq, jilid pertama, cetakan pertama 2003 (1423), terbitan al Fath lil 'Ilam al 'Arabi, Mesir.

- Fathul Mun'im Syarh Sohih Muslim, Prof. Dr. Musa Syahin Lasyin, jilid kedua, cetakan pertama 2002 (1423), terbitan Dar al Syuruq, Mesir.

- Kamus Dewan, edisi keempat 2005, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.



[1] Kamus Dewan, halaman 406, perkataan: fanatik.

[2] Ayat yang dimaksudkan ialah ayat 21 daripada surah al Kahfi yang menyebut mafhumnya:

Berkata pula golongan yang menguasai mereka, "Kami akan membina masjid di sisi gua mereka (tempat mereka disemadikan)."

[3] Al Ifham wal Iqham, halaman 71 pada nota kaki.

[4] Khawatir Diniyyah, halaman 18, bahagian kedua.

[5] Fiqhus Sunnah, halaman 15, jilid pertama.

[6] Fathul Mun'im Syarh Sohih Muslim, halaman 148, jilid kedua.

[7] Khawatir Diniyyah, halaman 123, bahagian pertama.

[8] Khawatir Diniyyah, halaman 22, bahagian kedua.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam...ustaz..boleh tumpang tanya...

bolehkah kita menggelarkan ulama. muhaddith dan sebagainya sebagai radiyallahu anhu..

bukankah ianya hanya dikhususkan kepada para sahabat Nabi berdasarkan firman Allah "wallazi nattabaúhum biihsanin radiyallahuanhu waradhuánh "...

kedua :

Mengikut nukilan yang dipetik oleh ustaz terutamanya daripada sayid sabiq kitab fiqh sunnah..yang saya maklumi di Malaysia kitab ini dikatakan kitab Wahabi dan ianya tidak sesuai di Malaysia kerana jelas kewahabiannya..wallahua'alam..

Minta bantuan ustaz...