Oleh: Al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.
Terjemahan: Humair.
Cara Kewajipan Puasa Mengalami Pemeringkatan.
Imam Ahmad radhiyallahu ‘anhu menerusi kitab beliau al Musnad meriwayatkan daripada Sayyiduna Mu’az bin Jabal radhiyallahu ‘anhu bahawasanya beliau berkata:
Sembahyang itu pernah melalui tiga peringkat. Begitu juga puasa telah melalui tiga keadaan. Adapun peringkat-peringkat yang pernah dilalui oleh sembahyang ialah:
1) Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah al Munawwarah, Baginda sembahyang dengan menghadap ke arah Baitul Maqdis selama 17 bulan. Kemudiannya, Allah Ta’ala menurunkan ayat yang berbunyi mafhumnya:
Seringkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) menengadahkan wajahmu ke langit. Kerana itu Kami (berkenan) untuk memalingkan engkau ke arah kiblat yang engkau sukai. [al Baqarah: 144]
Lalu Allah Ta’ala memalingkan Baginda ke arah Mekah al Mukarramah. Ini adalah peringkat pertama.
Sayyiduna Mu’az berkata lagi:
2) Para sahabat dahulunya ketika ingin berhimpun menunaikan sembahyang secara berjemaah, mereka akan saling memberitahu sesama mereka sehingga akhirnya memaksa mereka menggunakan loceng atau hampir-hampir menggunakannya (bertujuan untuk memaklumkan masuknya waktu sembahyang). Kemudian seorang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Abdullah bin Ziyad bin Abdul Rabbuh menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, “Rasulullah! Saya telah bermimpi. Tapi jika saya mengatakan saya tidak bermimpi, boleh jadi juga. Ketika saya berada dalam keadaan antara tidur dan jaga, saya melihat seseorang yang memakai dua helai baju berwarna hijau sedang menghadap kiblat lalu melaungkan:
Allahu Akbar Allahu Akbar
Asyhadu Alla Ilaha Illallah, sebanyak dua kali sehingga selesai azan. Kemudian dia berhenti seketika. Setelah itu, dia melaungkan sekali lagi kalimah yang sama cuma ditambah dengan kalimah ‘Qad qamatissolah’ sebanyak dua kali.” Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda, “Ajarkan kalimah-kalimah itu kepada Bilal supaya dia melaungkan azan dengannya.” Maka dengan itu, Bilal adalah orang pertama yang melaungkan azan. Setelah itu, Umar bin al Khattab radhiyallahu ‘anhu datang bertemu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, “Rasulullah! Saya juga mengalami perkara yang sama seperti dia (Abdullah bin Ziyad). Cuma dia telah mendahului saya (menceritakan mimpinya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam).” Ini adalah peringkat yang kedua.
3) Para sahabat dahulunya ketika datang untuk menunaikan sembahyang, mereka mendapati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah mendahului mereka. Lalu salah seorang bertanya secara isyarat, “Berapa rakaat telah berlalu” Maka akan dijawab, “Satu atau dua.” Maka mereka akan sembahyang terlebih dahulu, kemudian baru masuk ke dalam jemaah. Apabila Mu’az datang, beliau berkata, “Saya akan sembahyang secara berjemaah terlebih dahulu, kemudian saya akan mengqadha’ yang berbaki.” Lalu, suatu ketika beliau datang ke masjid dan mendapati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah sembahyang terlebih dahulu. Lantas beliau terus sembahyang bersama jemaah. Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam selesai sembahyang, Mu’az pun bangun untuk menyempurnakan baki sembahyangnya. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda, “Mu’az telah mengasaskan sunnah (yang bagus) buat kamu. Oleh itu, lakukan seperti yang beliau buat.” Ini adalah peringkat ketiga.
Adapun keadaan-keadaan yang dialami oleh puasa pula:
1) Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah al Munawwarah, Baginda berpuasa tiga hari setiap bulan ditambah dengan puasa pada hari ‘Asyura.
2) Kemudiannya, Allah Ta’ala mewajibkan puasa dengan menurunkan ayat yang berbunyi mafhumnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Difardhukan ke atas kamu puasa sebagaimana ianya difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu…. Sehinggalah firman Allah Ta’ala: Dan bagi mereka yang mampu berpuasa (tetapi tidak ingin berpuasa) maka mereka wajib mengeluarkan fidyah berupa hidangan makanan buat golongan miskin. [al Baqarah: 183-184]
Jadi, siapa yang ingin berpuasa, dia perlu berpuasa. Bagi sesiapa yang tidak ingin berpuasa, maka dia wajib memberi makanan kepada fakir miskin (sebagai fidyah). Setelah itu, Allah Ta’ala menurunkan pula ayat lain yang berbunyi mafhumnya:
Bulan Ramadhan itu adalah (bulan) yang diturunkan al Quran padanya sebagai petunjuk buat sekelian manusia dan penjelasan buat petunjuk tersebut serta sebagai pembeza (antara kebenaran dan kebatilan). Maka sesiapa di kalangan kamu yang menyaksikan (kemunculan) bulan itu (atau mengetahuinya) hendaklah berpuasa.. [al Baqarah: 185]
Allah Ta’ala mewajibkan puasa ke atas orang yang sihat dan bermukim. Dia meringankannya daripada orang yang sakit dan musafir serta mewajibkan ke atas orang tua yang tidak mampu berpuasa agar memberikan makanan kepada fakir miskin (sebagai fidyah). Ini adalah dua keadaan.
Sayyiduna Mu’az berkata lagi:
3) Pada malam puasa pula, dahulunya para sahabat boleh makan, minum dan menggauli isteri selagi mana mereka tidak tidur (sebelum masuk waktu berbuka). Jika mereka tidur (atau tertidur), maka mereka tidak boleh makan, minum dan menggauli isteri.
Umar pula telah menggauli isterinya selepas bangun dari tidur (pada malam puasa). Lalu beliau menceritakannya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lantas Allah Ta’ala menurunkan ayat yang berbunyi mafhumnya:
Dihalalkan bagi kamu untuk menggauli isteri pada malam puasa. Mereka adalah pakaian kamu dan kamu juga adalah pakaian mereka. Allah mengetahui bahawa kamu pernah mengkhianati diri kamu (dengan menggauli isteri) lalu Dia menerima taubat kamu dan sudi memaafkan kamu. Sekarang, gaulilah mereka dan carilah apa yang telah ditakdirkan Allah buat kamu (berupa zuriat) serta makan dan minumlah sehingga jelas kepada kamu benang putih daripada benang hitam di waktu fajar. Setelah itu, sempurnakan puasa kamu sehingga ke malam.. [al Baqarah: 187][1]
Riwayat ini turut dikeluarkan oleh Abu Daud dan al Hakim.[2]
Daripada hadith ini, jelas kepada kita bahawa puasa itu mengalami pemeringkatan dalam tiga keadaan:
1) Puasa ‘Asyura dan puasa tiga hari setiap bulan. Kemudian difardhukan puasa secara pilihan iaitu siapa yang ingin, boleh berpuasa dan siapa yang ingin, boleh tidak berpuasa serta memberi fidyah berupa makanan.
2) Pilihan dinasakhkan dan puasa itu diwajibkan ke atas setiap orang yang bermukim dan sihat. Manakala bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa, wajib memberi makan sebagai fidyah. Imam al Bukhari menerusi Sohihnya menyatakan bahawa orang tua yang tidak mampu berpuasa, hendaklah mengeluarkan fidyah. Ini adalah kerana Sayyiduna Anas telah memberikan makanan setiap hari kepada seorang miskin berupa roti dan daging selama setahun atau dua tahun apabila beliau telah tua (dan tidak mampu berpuasa lagi).[3] Demikian juga yang dilakukan oleh Imam Ato’ apabila beliau telah tua dan tidak berdaya untuk berpuasa lagi.
3) Keharusan makan dan minum sepanjang malam puasa baik sebelum tidur mahupun selepasnya. Sebelum berlakunya keharusan ini, sesiapa yang tertidur sebelum menjamah sebarang makanan, maka dia wajib menyambung puasanya hingga ke hari seterusnya. Sebab berlakunya keharusan ini adalah peristiwa yang berlaku terhadap lelaki Ansar dan Sayyiduna Umar sebagaimana yang tercatat di dalam hadith yang kita bicarakan ini. Kisah ini juga terdapat di dalam Sohih al Bukhari.[4]
Abu Qais Sirmah bin Abi Anas Qais bin Malik bin ‘Adiy bin ‘Amir bin Ghanm bin ‘Adiy bin al Najjar.
Ibnu Ishaq berkata:
Sirmah dahulunya adalah seorang rahib pada zaman jahiliah. Sering memakai pakaian berjalur, tidak menyembah berhala dan sering mandi janabah. Pada asalnya beliau ingin menganut agama Kristian, namun beliau membatalkan hasratnya. Beliau menjadikan rumahnya sebagai tempat ibadah yang tidak boleh dimasuki oleh perempuan yang haidh atau orang yang sedang berjunub. Beliau pernah menyatakan, “Saya menyembah Tuhan Nabi Ibrahim.” Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tiba di Madinah al Munawwarah, beliau lantas memeluk Islam dan menjadi Muslim yang baik. Seorang yang telah tua, sering berkata benar dan sangat mengagungkan Allah Ta’ala ketika beliau di zaman jahiliah dulu..
Bibliografi utama:
- Ghayatul Ihsan fi Fadhl Syahr Ramadhan, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari, cetakan kedua 1427 H (2006 M), Maktabah al Qohirah, Mesir.
Bibliografi sampingan:
- Al Musnad, Imam Ahmad bin Hambal, jilid kelapan, cetakan kedua 1414 H (1994 M), al Maktabah al Tijariyyah- Darul Fikr,
- Sohih al Bukhari, al Hafiz Imam Muhammad bin Ismail al Bukhari, jilid kedua & ketiga, cetakan keempat 1420 H (2000 M), al Maktabah al ‘Asriyyah, Beirut.
- Sunan Abi Daud, al Hafiz Imam Abu Daud Sulaiman bin al Asy’ath al Sijistani, jilid kedua, tanpa tarikh, Dar Ihya’ al Turath al ‘Arabi, Beirut- Lebanon.
- Al Mustadrak ‘ala al Sohihain, al Hafiz Imam Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al Naisaburi al Hakim, tahqiq Dr. Mahmud Matraji, jilid pertama, cetakan pertama 1422 H (2002 M), Darul Fikr, Beirut.
[1] Musnad Imam Ahmad bin Hambal, hadith no: 22185, m/s 263-265, jilid lapan.
[2] Riwayat yang dikeluarkan oleh kedua-dua Imam ini bukanlah cerita panjang sebagaimana yang terdapat dalam riwayat ini. Mereka hanya mengeluarkan sebahagian riwayat sahaja. Adapun Imam Abu Daud, riwayat daripada Al Barra’ bin ‘Azib, Salamah bin al Akwa’ dan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhum. Hadith no: 2313, 2314, 2315 & 2316, m/s 295-296. Manakala Imam al Hakim pula di dalam al Mustadrak daripada riwayat Salamah bin al Akwa’, hadith no: 1570, m/s 530.
[3] Sohih al Bukhari, bab firman Allah Ta’ala mafhumnya, “Selama beberapa hari yang boleh dikira…” [al Baqarah: 184], m/s 1362.
[4] Sohih al Bukhari, hadith no: 1915, m/s 569.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan