12 September 2008

Risalah Tentang Puasa (7)

Oleh: Al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.
Terjemahan: Humair.

Orang Yang Diharamkan Dari Rahmat Allah Adalah Orang Yang Mengharamkan Kebaikan Ramadhan

Imam al Hakim meriwayatkan daripada Sayyiduna Ka’ab bin ‘Ajrah radhiyallahu ‘anhu bahawasanya pada suatu hari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Bawakan mimbar!” Lalu kami pun membawakan mimbar. Apabila Baginda melangkah naik tangga pertama, Baginda mengucapkan, “Amin.” Kemudian Baginda melangkah lagi ke tangga kedua lalu mengucapkan, “Amin.” Kemudian Baginda menaiki tangga ketika pula dan turut mengucapkan, “Amin.” Setelah Baginda selesai berkhutbah dan turun dari mimbar, kami pun berkata, “Rasulullah! Hari ini kami telah mendengar tuan mengucapkan sesuatu yang belum pernah kami dengar.” Baginda menjawab, “Jibril telah memperlihatkan diri kepada saya lalu berdoa: Jauhlah (daripada rahmat) orang yang melalui Ramadhan, namun dosanya tidak diampunkan!

Lantas saya pun mengucapkan ‘Amin’. Apabila saya menaiki tangga kedua pula, Jibril berdoa lagi: Jauhlah orang yang apabila disebutkan namamu, dia tidak berselawat ke atasmu! Saya pun menyahut ‘Amin’. Kemudian apabila saya menaiki tangga ketiga pula, Jibril berdoa lagi: Jauhlah orang yang sempat bersama kedua ibu bapanya yang telah tua atau salah seorang daripada mereka, namun kedua-duanya tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke syurga! Saya pun mengucapkan ‘Amin’. [1]

Hadith ini disohihkan oleh Imam al Hakim.[2] Hadith ini turut mempunyai turuq (jalan-jalan periwayatan) yang lain dengan kepelbagaian lafaz.

Yang dimaksudkan dengan kalimah ‘jauhlah’ ialah ‘semoga dijauhkan Allah’ sebagaimana yang terdapat dalam riwayat yang lain. Sesiapa yang dijauhkan Allah Ta’ala daripada rahmat-Nya, maka neraka jualah tempatnya.

Kalimah ‘orang yang melalui Ramadhan, namun dosanya tidak diampunkan’ membawa maksud orang yang tidak mengendahkan kemuliaan bulan ini dengan mengerjakan maksiat, kemudian dia tidak diberi ilham untuk bertaubat sehingga berakhirnya Ramadhan lantas tidak diampunkan dosanya.

Manakala kalimah ‘jauhlah orang yang apabila disebutkan namamu, dia tidak berselawat ke atasmu’ dalam riwayat lain ‘orang yang apabila disebutkan nama namun dia tidak berselawat ke atasmu, semoga Allah menjauhkannya daripada rahmat’ menunjukkan bahawa berselawat ke atas Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam apabila disebut nama Baginda adalah wajib. Sekiranya nama Baginda disebut beberapa kali di dalam suatu majlis, maka memadailah sekali sahaja ucapan selawat.

Perkataan ‘jauhlah orang yang sempat bersama kedua ibu bapanya yang telah tua atau salah seorang daripada mereka, namun kedua-duanya tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke syurga’ membawa maksud bahawa dia tidak melaksanakan hak ibu bapanya yang telah tua dengan melakukan kebaikan, maka layaklah dia dijauhkan daripada rahmat Allah dan masuk ke neraka.

Kita memohon keselamatan dan kesejahteraan daripada Allah Ta’ala..

Bibliografi utama:

- Ghayatul Ihsan fi Fadhl Syahr Ramadhan, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.

Bibliografi sampingan:

- Al Mustadrak ‘ala al Sohihain, al Hafiz Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al Naisaburi al Hakim, tahqiq Dr. Mahmud Matraji, jilid kelima, cetakan pertama 1421 H (2001 M), Darul Fikr, Beirut.
_______________________

[1] Al Mustadrak, hadith no: 7414, 80/5.
[2] Imam al Hakim berkata, “Ini adalah hadith yang sohih sanadnya tetapi tidak diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim.” Hukum ini turut dipersetujui oleh al Hafiz al Zahabi.

Tiada ulasan: