12 Oktober 2010

Petikan Ucapan Syeikhul Azhar

Syeikhul Azhar ketika berucap sempena konvokesyen 2010.
Menerusi entri kali ini, saya menterjemahkan petikan ucapan Syeikhul Azhar al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Muhammad at-Toyyib yang disampaikan sempena upacara konvokesyen graduan Malaysia al-Azhar asy-Syarif 2010 bertempat di Pusat Persidangan al-Azhar (ACC), Madinah Nasr pada hari Ahad 10 Oktober 2010 (10/10/10). 

Ucapan Syeikhul Azhar:

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Saya hadir untuk turut serta menyaksikan upacara konvokesyen kamu sebagai graduan Universiti al-Azhar asy-Syarif. Saya mengucapkan tahniah buat para mahasiswa di atas usaha mereka selama ini dalam menuntut ilmu di Universiti al-Azhar asy-Syarif sehingga akhirnya mereka berjaya menjadi graduan dengan penuh kehebatan dan kebanggaan.

Pertamanya, apa yang ingin saya sampaikan kepada kamu ialah janganlah kamu menyangka bahawa kamu telah sampai ke penghujung jalan dan kemuncak matlamat daripada pengembaraan kamu ini. Sijil yang kamu perolehi ini walaupun memiliki kepentingannya yang tersendiri, namun ia hanyalah sebagai mewakili langkah pertama kamu dalam mengharungi perjalanan jauh yang sangat sukar iaitu perjalanan menuntut ilmu. Sebagaimana yang kita maklum bahawa seseorang itu sebenarnya masih lagi belajar sehinggalah dia menyangka bahawa dia telah menjadi alim. Apabila dia menyangka sedemikian, maka sebenarnya dia masih lagi jahil. Di hadapan kamu terbentangnya jalan panjang yang masih perlu kamu lalui secara berterusan dengan mengikut jejak langkah golongan terdahulu yang solihin iaitu para ulama' muslimin yang pernah melalui jalan ini. Kamu perlu tahu bahawa ilmu itu sukar. Ketika kami kecil, guru-guru kami pernah menyatakan bahawa jika anda memberi seluruh diri anda untuk ilmu, maka ilmu hanya memberi separuh dirinya kepada anda. Namun jika anda hanya memberi separuh diri anda untuk ilmu, maka ilmu tidak akan memberi apa-apa pun kepada anda. Kamu semua bukanlah pelajar yang biasa. Walau apapun jawatan kamu nanti ketika pulang ke tanah air kelak, kamu bukan sekadar itu sahaja malah sekaligus kamu adalah pemilik risalah. Risalah utama yang perlu kamu sampaikan ialah dengan mempamerkan kepada masyarakat model al-Azhar yang berunsur wasatiyyah, seimbang serta jauh sama sekali daripada fahaman pelampau dan tindakan yang boleh mencetuskan fitnah dan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Jangan kamu menjadi ulama' fitnah dan perpecahan tetapi jadilah ulama' al-Azhar. Sentiasa pamerkan kepada negara kamu contoh tauladan Islam yang bertoleransi, mudah dan seimbang. Jangan sekali-kali kamu menjadi penyeru fitnah. Al-Azhar tidak mengenali cara yang mempamerkan Islam dalam bentuk yang tercemar. Al-Azhar sangat mengambil berat supaya masyarakat mendapat pengetahuan yang sohih. Kamu adalah duta al-Azhar asy-Syarif yang terbaik untuk mempamerkan model ini di Malaysia.

Oleh itu wahai anak-anak saya, kamu berperanan untuk memelihara dengan baik apa yang telah kamu pelajari di al-Azhar asy-Syarif serta menyampaikannya kepada masyarakat dalam bentuk yang terbaik serta mudah buat kaum muslimin.

Saya menasihatkan kamu supaya sentiasa berhubung dengan universiti kamu ini selepas kepulangan kamu nanti.

Saya juga menasihatkan kamu supaya ikhlas dan bertaqwa kepada Allah secara rahsia mahupun terang-terangan serta berbakti kepada kedua ibubapa.

Saya menasihatkan kamu supaya terus menuntut ilmu serta membaca kitab-kitab yang bermanfaat dan memberi faedah. Kamu mesti menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sedaya mungkin sama ada di Universiti al-Azhar atau di universiti-universiti selain al-Azhar.

Saya juga menasihatkan agar kamu sentiasa memelihara peringkat penguasaan Bahasa Arab kamu dengan baik malah kamu mesti berusaha sebaik mungkin untuk memperkemaskannya lagi ketika berada di negara kamu nanti.

Saya turut menasihatkan agar kamu berterusan mengkaji al-Quran serta berterusan belajar dan mengajar. Sebagaimana yang sering disebutkan, "Penyakit ilmu adalah lupa."

Tidak dapat saya gambarkan betapa gembiranya saya apabila melihat kamu berpakaian al-Azhar. Saya mendoakan agar kamu menempuh masa depan yang lebih gemilang serta dipimpin oleh Allah Ta'ala.

Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


2 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.