29 Oktober 2010

Antara Dua Ajaran (Bhgn 4)

Sambungan daripada entri yang lepas...

Bersujud Di Dalam Sembahyang.

Menurut Injil, Nabi Isa 'alaihissalam dilaporkan bersujud di dalam sembahyang. Dalam satu peristiwa yang berlaku di sebuah tempat bernama Gethsemane ketika Nabi Isa dan para pengikut baginda berada di sana, Perjanjian Baru menyebut:

Dan baginda pergi ke tempat yang agak jauh sedikit, lalu baginda pun bersujud dan berdoa, "Bapa! Jika boleh, biarkan piala ini bergerak untukku, namun bukan dengan kehendakku tetapi dengan izin-Mu." [Matthew 26:39]

Apa yang dilakukan oleh Nabi Isa 'alaihissalam, ia juga turut dilakukan oleh para nabi yang lain sebagaimana yang dilaporkan oleh Injil. Ini menunjukkan bahawa sujud di dalam sembahyang itu adalah suatu perbuatan yang pernah disyariatkan. Di dalam Perjanjian Lama, beberapa orang nabi dilaporkan telah bersujud di dalam sembahyang. Antara mereka ialah:

- Nabi Ibrahim 'alaihissalam dicatat pernah bersujud di dalam sembahyang [Genesis 17:3]
- Nabi Musa dan Nabi Harun 'alaihimassalam juga pernah bersujud [Numbers 16:22 & 20:6]
- Nabi Joshua juga begitu [Joshua 5:14 & 7:6]
- Nabi Elijah turut bersujud [1 Kings 18:42]

Penganut Kristian berdoa.
Namun begitu, penganut Kristian pada hari ini tidak melakukan apa yang telah dilakukan oleh Nabi Isa. Mereka bersembahyang sambil berlutut dan menggenggam tangan mereka sendiri. Tidak ada perbuatan yang dinamakan sujud di dalam sembahyang mereka.

Di dalam ajaran Islam, sujud adalah salah satu rukun sembahyang. Malah di dalam al-Qur'an, banyak ayat yang menyebut tentang perintah supaya bersujud di dalam sembahyang. Firman Allah Ta'ala, mafhumnya:

Sebutlah nama Tuhanmu (wahai Muhammad) pada waktu pagi dan petang. Serta sujudlah kepada-Nya di samping bertasbih (memuji-Nya) di sepanjang malam. [Surah al-Insan: 25-26]

Menutup Aurat.

Golongan wanita pada zaman Nabi Isa 'alaihissalam adalah golongan yang menutup aurat. Mereka memakai pakaian yang menutupi seluruh tubuh serta memakai tudung. Malah ia adalah amalan para wanita yang hidup pada zaman nabi-nabi sebelum baginda. Perjanjian Lama mencatatkan:

Rebekah pun mengangkat pandangannya lalu ternampak Ishaq, lantas dia turun daripada untanya dan bertanya kepada si hamba, "Siapa lelaki itu yang sedang berjalan di padang untuk bertemu kita?" Si hamba menjawab, "Itu ialah tuan saya." Lantas Rebekah mengambil jubahnya dan menutup seluruh tubuhnya. [Genesis: 24:64-65]

Paul turut menulis di dalam sepucuk surat pertama beliau yang ditujukan kepada penduduk Corinthian:

Biarawati yang bertudung.
Mana-mana wanita yang bersembahyang atau menilik dengan tidak menutup kepala, bererti dia tidak memuliakan kepalanya. (Keadaannya) sama seperti dia mencukur kepalanya sendiri. Wanita yang tidak menutup kepalanya, sepatutnya dia memotong rambutnya. Tetapi berambut pendek atau kepala bercukur itu bukan suatu kebanggaan, maka sepatutnya wanita itu bertudung.

Namun jika kita melihat realiti wanita Kristian pada hari ini, mereka sewenang-wenangnya membuka aurat dan menunjukkan rambut untuk tatapan awam. Baik di khalayak ramai mahupun ketika menghadiri gereja untuk bersembahyang. Ini menunjukkan mereka sendiri tidak mengikut ajaran Injil.

Di dalam ajaran Islam, para wanita muslimah diperintahkan supaya menutup aurat dan bertudung. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:

Muslimah sejati.
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada wanita mukminah agar mereka menundukkan pandangan, memelihara kehormatan serta tidak mendedahkan perhiasan mereka (aurat mereka) kecuali yang biasa dilihat (muka dan tapak tangan) dan hendaklah mereka melabuhkan tudung sehingga menutupi dada. [Surah an-Nur: 31]

Allah Ta'ala berfirman lagi, mafhumnya:

Wahai Nabi! Perintahkan isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang yang beriman supaya melabuhkan pakaian mereka (menutupi seluruh tubuh). Itu adalah supaya mereka dikenali dan tidak diganggu (oleh lelaki yang jahat). Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [Surah al-Ahzab: 59]

Bersambung....

1 ulasan:

Unknown berkata...

Another proof that Christians women should also put on hijab, Deuteronomy 22:5