24 Oktober 2010

Danial

Nabi Daniel (Daniyyel, Daniyal atau Danial, juga disebut Dani, Danyal; menurut Bahasa Hebrew Tabaria, ia bermaksud 'Tuhan ialah hakimku') ialah tokoh yang disebut dalam sejarah sebagai salah seorang utusan Allah Ta'ala dalam tiga agama samawi (Islam, Kristian dan Yahudi). Namun begitu, maklumat mengenai baginda lebih banyak tertumpu kepada catatan yang terdapat di dalam Kitab Daniel agama Kristian Katolik dan Yahudi.

Al-Hafiz Ibnu Kathir (700H-774h) rahimahullah menulis (selepas beliau menyebutkan sanad riwayat sehingga sampai kepada Abdullah bin Abi Huzail):

Nebuchadnezar (605 SM-562SM) mengurung dua ekor singa di dalam sebuah ruang bawah tanah. Kemudian dia mencampakkan Danial ke dalam ruang bawah tanah tersebut. Namun begitu, kedua-dua singa itu tidak menyerang baginda. Lalu baginda tinggal di ruang tersebut sehingga masa yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala. Kemudian, baginda mengidam untuk mencicipi makanan dan minuman. Lantas Allah Ta'ala mewahyukan kepada Armiya (juga seorang nabi dan disebut sebagai Jeremiyah) yang ketika itu sedang berada di Syam (dengan firman-Nya), "Siapkan makanan dan minuman untuk Danial!" Armiya pun berkata, "Tuhanku! Aku berada di bumi Syam sedangkan Danial berada di Babil, Iraq!" Lalu Allah Ta'ala mewahyukan lagi kepada baginda, "Siapkan saja apa yang telah Kami perintahkan kepadamu kerana Kami akan mengutuskan malaikat yang akan membawamu dan makanan yang engkau sediakan itu."

Danial dan Singa. Manchester Art Gallery 1890.
Armiya pun melaksanakan perintah tersebut. Lalu Allah Ta'ala mengutuskan malaikat yang membawa baginda dan makanan yang disediakan itu sehingga akhirnya baginda berdiri di permukaan ruang bawah tanah itu. (Apabila menyedari kedatangan seseorang) Danial pun bertanya, "Siapa itu?" Armiya menjawab, "Saya Armiya." Danial bertanya lagi, "Mengapa kamu datang ke sini?" Armiya menjawab, "Tuhanmu mengutuskan saya untuk bertemu dengan kamu." Danial bertanya lagi, "Tuhan saya menyebut nama saya?" Armiya menjawab, "Ya!" Lantas Danial pun berkata, "Segala puji bagi Allah yang tidak lupakan orang yang mengingati-Nya. Segala puji bagi Allah yang menunaikan harapan orang yang mengharapkan-Nya. Segala puji bagi Allah yang dijadikan kepercayaan oleh orang yang tidak bergantung kepada selain-Nya. Segala puji bagi Allah yang membalas kebaikan dengan kebaikan. Segala puji bagi Allah yang memberi kebebasan dengan sebab kesabaran. Segala puji bagi Allah yang menyingkap kesusahan kami. Segala puji bagi Allah yang memelihara kami setelah kami merasa buruk sangka terhadap amalan kami. Segala puji bagi Allah yang merupakan harapan kami ketika semua jalan menjadi buntu di hadapan kami." [Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya]

Danial enggan makan bersama Raja. Ilustrasi Bible awal 1900-an.
Menurut Wikipedia Bahasa Arab:

Nabi Danial adalah salah seorang yang turut ditawan dan dibawa ke Babylon ketika peristiwa penawanan Baitul Muqaddis yang dilakukan oleh bangsa Babil di bawah pemerintahan Nebuchadnezar.

Bangsa Babil mempunyai adat untuk bersukaria iaitu dengan cara menggali suatu lubang yang besar dan dalam kemudian mereka meletakkan seorang lelaki Bani Israil di dalamnya. Setelah itu, mereka melepaskan dua ekor singa untuk memakan lelaki tersebut. Apabila tiba giliran Danial pula untuk dicampakkan ke dalam lubang tersebut, berlaku peristiwa sebaliknya pula. Dua ekor singa itu tidak pula memakan baginda malah singa-singa tersebut bermesra dengan baginda dan menjilat-jilat baginda seakan-akan memohon maaf. Kemudian bangsa Babil cuba melakukan perkara yang sama kepada Danial. Namun peristiwa yang sama juga berlaku. Lalu bangsa Babil pun menyedari bahawa Danial ialah seorang lelaki suci dan juga seorang nabi. Maka mereka pun memuliakan baginda.

Nabi Danial memakai cincin yang berukirkan gambar baginda bersama dua ekor singa sebagai tanda untuk mengingati nikmat Allah Ta'ala yang telah menyelamatkan baginda daripada peristiwa kejam tersebut. 

[Dipetik secara ringkas berserta sedikit olahan]

Menurut Wikipedia Bahasa Melayu:

Daniel dilantik sebagai penasihat Nebuchadnezar. Baginda juga mempunyai kebolehan untuk mengubati pesakit, mentafsir mimpi dan tanda-tanda Ilahi serta boleh memberitahu tentang beberapa peristiwa akan datang. (Ini semua dipetik daripada Kitab Daniel).

[Dipetik secara ringkas berserta olahan]

Makam Nabi Danial di Susa, Iran.
Lokasi makam Nabi Danial.

Nabi Danial disemadikan di Kirkuk, Iraq. Di samping pusara baginda, terdapat pusara para nabi yang lain iaitu Hananiya, Ezra (juga disebut Azariah) dan Mikail (disebut juga Meshail). Terdapat sebuah makam di Susa, Iran yang juga dikatakan sebagai makam Nabi Danial. Adapun makam Danial yang dikatakan wujud di Iskandariah, Mesir sebenarnya menurut pendapat yang rajih adalah makam seorang ulama' yang bernama Syeikh Muhammad Danial al-Mausili yang berasal dari Iraq.

Wallahu a'lam.

Bibliografi:

- Qososul Ambiya', halaman 461, karangan al-Hafiz 'Imaduddin Abul Fida' Ismail bin Kathir ad-Dimasyqi, terbitan Maktabah al-Mujallad al-'Arabi, Kaherah.
- Wikipedia Bahasa Melayu.
- Wikipedia Bahasa Inggeris. Pautannya di sini dan di sini.

p/s: Nama saya Danial Farhan bin Dolmat...




1 ulasan:

insan... berkata...

salam...mencari hikmah disebalik nama yang diberi...pemberian ibubapa yang dibawa kemana sahaja sehinngalah kite meninggal dunia...