08 Mac 2009

Maulidur Rasul

Saya sebenarnya tidak mempunyai idea untuk menulis tajuk yang sesuai sempena Rabi'ul Awwal kali ini. Maklumlah saban tahun kita menyambut Maulidur Rasul. Saban tahun kita akan berbicara tentang perkara yang sama. Saban tahun juga pasti timbul isu yang 'hangat' sekitar sambutan Maulidur Rasul ini. Adakah ianya diharuskan oleh syara' ataupun bida'ah sebagaimana dakwaan sesetengah pihak. Saya tidak berminat untuk berbicara mengenai soal ini kerana bagi saya ia adalah perkara yang telah lama diselesaikan oleh para ulama' silam menerusi kitab-kitab karangan mereka. Golongan yang menimbulkan isu ini hanyalah golongan yang sengaja ingin menimbulkan provokasi bertujuan untuk mencari publisiti murahan. Jadi golongan sebegini bagi saya tidak perlu dilayan. Hanya membazirkan masa sahaja sedangkan kita masih ada agenda lebih besar yang perlu kita fikir bersama dan cari jalan penyelesaiannya.

Namun secara peribadi saya menyatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul sememangnya perlu diteruskan. Bukan berdasarkan dalil kerana jika berdasarkan dalil, ternyata yang rojihnya sambutan Maulidur Rasul itu adalah harus bahkan mustahab (sunat). Inilah pendapat muktamad yang dikeluarkan oleh para ulama' yang hebat-hebat terdiri dari kalangan fuqaha', muhaddithin dan mujtahidin. Jadi kita tidak perlu terima pakai kata-kata golongan yang ilmu mereka tidak mencecah sedikit pun batas ilmu golongan ulama' yang hebat-hebat ini. Saya nyatakan sambutan ini perlu diteruskan berdasarkan realiti suasana sekarang. Apa tujuan kita menyambut Maulidur Rasul? Tujuan paling utama sekali ialah untuk memperkenalkan siapa sebenarnya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kepada umat Islam. Apatah lagi dalam zaman ini yang umatnya tidak mengenal siapa Rasulnya. Kerana itu bila pihak orientalis dan juga pendakyah-pendakyah ideologi sesat membuat tuduhan-tuduhan palsu berkaitan peribadi Baginda, kita hanya mampu terlopong. Bukan tidak ada yang menjawab, tetapi kita lemah kerana kita sendiri sebagai umat Baginda tidak kenal Baginda, apatah lagi pihak musuh. Justeru, sambutan Maulidur Rasul sememangnya sangat relevan dalam suasana sebegini. Bila Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dihina, kita kagum bila bantahan di seluruh dunia dilaungkan. Cuma ia sekadar tinggal demonstrasi. Tindakan susulan bagaimana? Umat Islam sendiri di tengah bantahan tersebut masih ada lagi yang tak kenal Rasul. Itulah peri pentingnya sambutan ini diteruskan. Bahkan tidak melampau jika saya katakan bahawa sambutan ini boleh mencapai hukum wajib (pada pandangan saya) kerana mengenali Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم itu wajib. Kewajipan mengenali Baginda itu membawa kepada kewajipan-kewajipan yang lain seperti cintakan Baginda, taatkan Baginda dan apa sahaja perkara yang berkaitan dengan risalah Baginda. Kaedah menyebutkan:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Ertinya: Apa sahaja perkara yang tidak sempurna kewajipan kecuali dengannya, maka perkara itu menjadi wajib.

Oleh itu sambutan Maulidur Rasul menjadi wajib kerana ia menyempurnakan kewajipan mengenali Baginda lebih-lebih lagi dalam zaman ini yang ahlinya lebih mengenali artis, pemain bola sepak atau bintang ternama berbanding mengenali Rasulnya sendiri. Tanya mereka tentang artis pujaan mereka, pasti mereka boleh menceritakannya secara panjang lebar berbanding jika kita minta mereka untuk menceritakan tentang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم walaupun hanya beberapa baris ayat, pasti tidak selebar apa yang mereka ceritakan tentang artis tadi. Itulah realitinya...

Konklusinya, sambutan Maulidur Rasul perlu diteruskan kerana ianya mempunyai nilai dakwah yang tersendiri. Nilai yang sangat bermanfaat untuk umat Islam kini yang semakin lalai dan leka. Cuma bagaimana untuk merealisasikan sambutan Maulidur Rasul yang boleh memberi kesan umum, saya nyatakan jangan lah terlalu rigid dengan cara yang ada. Pelbagaikan cara, yang penting matlamat tercapai dan dapat dirasai kesannya oleh semua. Salam Maulidur Rasul dari Perlembahan Nil.

p/s: Kebetulan Maulid jatuh pada hari Isnin, jadi marilah kita pakat puasa sunat sama-sama. Ikut cara Nabi yang berpuasa pada hari Isnin dengan alasan hari tersebut adalah hari kelahiran Baginda.

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.


23 Februari 2009

Malaikat: Lelaki Atau Wanita?

Hukum Menyatakan Malaikat Sebagai Lelaki Atau Wanita


Oleh: Sayyid Abul Fadhl Ahmad bin Qurtum al Husaini al Maliki.

Alih bahasa: Humair


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على أفضل المرسلين سيدنا محمد الصادق الأمين ورضي الله عن آله الطاهرين وصحابته الطيبين والتابعين لهم بإحسان الى يوم الدين.


Ini adalah jawapan terhadap soalan yang seringkali diajukan kepada saya daripada segolongan pelajar iaitu: Apakah hukumnya menyatakan malaikat sebagai lelaki atau wanita?


Saya menjawab sambil memohon taufiq daripada Allah Ta'ala:

Ketahuilah –semoga Allah merahmati anda- sesungguhnya sabit di dalam syara' bahawa para malaikat itu hanya menjelma dengan menggunakan bentuk lelaki, bukan dengan bentuk wanita. Oleh itu, sesiapa yang menyatakan bahawa para malaikat itu adalah wanita beerti dia telah menyalahi pemahaman syara' dari sudut nas dan makna serta menyalahi ijma' umat Islam. Allah Ta'ala berfirman:


إِنَّ الَّذِينَ َلا ُيؤْمِنُونَ بِاَلأخِرَةِ لَيُسَمُّونَ الْمَلآئِكَةَ تَسْمِيَةَ الأُنْثَى


Mafhumnya: Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman terhadap Akhirat menamakan para malaikat itu dengan nama wanita. [al Najm: 27]


Allah Ta'ala berfirman lagi:


أَمْ خَلَقْنَا الْمَلآئِكَةَ إِنَاثَا وَهُمْ شَاهِدُونَ


Mafhumnya: Adakah patut Kami menciptakan para malaikat itu berjantina wanita lalu mereka menyaksikan (kejadian tersebut)?! [al Soffaat: 150]


Firman-Nya lagi:


وَجَعَلُوا الْمَلآئِكَةَ الَّذِينَ هُمْ عِبَادُ الرَّحْمَنِ إِنَاثًا أَشَهِدُوا خَلْقَهُمْ سَتُكْتَبُ شَهَادَتُهُمْ وَيُسْأَلُونَ


Mafhumnya: Mereka (orang-orang yang tidak beriman) menjadikan para malaikat yang merupakan hamba-hamba Ar Rahman (Allah) sebagai wanita. Adakah mereka menyaksikan penciptaan para malaikat itu? (Jika benar mereka menyaksikannya) pasti kesaksian mereka itu akan dicatat dan dipersoalkan. [al Zukhruf: 19]


Daripada Sayyidah Aisyah رضي الله عنها bahawasanya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:


خُلِقَتِ الْمَلآئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَآنُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ


Mafhumnya: Malaikat itu dicipta daripada cahaya. Jin pula dicipta daripada lidah nyalaan api (yang tidak berasap). Manakala Adam dicipta daripada bahan yang telah disifatkan buat kamu (iaitu tanah).[1]


Sekiranya dia mendakwa bahawa kenyataannya itu (malaikat adalah wanita) sebagai takwil, maka ia adalah takwil yang jauh daripada maksud sebenar seolah-olah seperti tiada takwil. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa bahawa malaikat itu adalah wanita, dia dihukum sebagai kafir kerana menyalahi keterangan al Quran, Sunnah dan Ijma'. Tiada lagi penjelasan selepas penjelasan yang sebegini.


Manakala sesiapa yang mengatakan bahawa para malaikat itu adalah lelaki, dia juga tersalah dalam memahami nas syara'. Cuma takwilnya adalah takwil yang hampir dengan maksud sebenar kerana ia mempunyai asal ditambah pula dengan kewujudan syubhah yang dipegang oleh orang yang menyatakan pendapat ini serta hadith-hadith yang menyebutkan mengenai penjelmaan malaikat dalam bentuk lelaki di antaranya hadith Sayyiduna Umar رضي الله عنه yang berbunyi:


بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ.... ثم قال فى آخره: قال- أى رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم: ( فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِيْنَكُمْ).


Mafhumnya: Ketika kami sedang duduk di samping Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , tiba-tiba muncul seorang lelaki…… kemudian Sayyiduna Umar berkata di penghujung hadith ini: Baginda pun menjawab,"Itu adalah Jibril yang datang untuk mengajar kamu tentang urusan agama kamu."[2]


Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim. Oleh itu, sesiapa yang menyatakan bahawa malaikat itu adalah lelaki, dia hanya dihukum fasiq sebagai permulaan bukannya kafir berdasarkan kepada syubhah yang dijadikannya sebagai sandaran. Namun jika kita memperincikan kepada mereka bahawa malaikat itu bukan lelaki dan kita hilangkan syubhah yang dipeganginya berdasarkan dalil-dalil daripada al Quran, Sunnah dan Ijma' yang memberikan keyakinan dengan menyatakan bahawa malaikat itu adalah makhluk yang dicipta daripada cahaya. Mereka itu tidak disifatkan sebagai lelaki, wanita mahupun jantina yang lain. Mereka tidak makan, minum, berkahwin, membuang kotoran, letih dan tidak melanggar perintah Allah Ta'ala dan berdasarkan kaedah yang berbunyi:


لاَزِمُ الْمَذْهَبِ الْبَيِّنِ لاَزِمٌ


Ertinya: Kelaziman mengikut pendapat yang jelas itu adalah lazim juga (wajib)


Maka hukum fasiq tadi boleh berubah menjadi kafir kerana kaedah menyatakan:


اَلْحُكْمُ يَدُورُ مَعَ الْعِلَّةِ وُجُودًا وَعَدَمًا


Ertinya: Kewujudan atau ketiadaan sesuatu hukum itu berlegar bersama-sama 'illah (sebab).


Cuma kita menyatakannya sebagai fasiq supaya kita tidak terlalu cepat menjatuhkan hukuman kafir kepada orang ramai yang merupakan majoriti umat Islam hanya dengan pendapat yang telah kami jelaskan ini kerana boleh jadi ia merupakan masalah yang tidak diketahui ramai. Oleh itu, kita wajib menjelaskan kepada mereka hukum yang sebenar dengan mendirikan hujah. Kerana itu kami memperincikan penjelasan hukum mengenai mereka (yang berpendapat bahawa malaikat itu lelaki). Adapun orang yang mendakwa dirinya sebagai alim dan mengatakan bahawa malaikat itu berjantina wanita, maka dia sememangnya dihukum kafir tanpa perlukan perincian lagi berdasarkan pendapat pertama yang telah kami nyatakan di atas. Ini adalah mazhab Ahli Sunnah wal Jama'ah. والله ورسوله أعلم

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين. وصل اللهم على سيدنا محمد وعلى آله الطيبين الطاهرين.


Ditulis oleh:

Yang faqir terhadap rahmat Tuhannya,

Abul Fadhl Ahmad bin Mansur Qurtum al Husaini al Maliki al Falestini,

Semoga Allah merahmatinya, kedua ibu bapanya dan sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan terhadapnya.


Bibliografi:

1) Musnad Imam Ahmad bin Hambal, tahqiq Sidqi Muhammad Jamil al 'Attor, jilid 9, cetakan tahun 1414 H (1993 M), terbitan Darul Fikr, Beirut dengan kerjasama al Maktabah al Tijariyyah.

2) Sohih Muslim, Imam Muslim bin al Hajjaj al Naisaburi, tahqiq Syeikh Kholil Makmun Syiha, cetakan tahun 1426 H (2005 M), terbitan Darul Ma'rifah, Beirut-Lubnan.

3) Al Arba'in al Nawawiyyah, Imam Abu Zakariyya Muhyiddin Yahya bin Syaraf al Nawawi, tahqiq Mahmud al Arnaut, cetakan tahun 1418 H (1997 M), terbitan Darul Basyair, Damsyiq.



[1] Musnad Imam Ahmad, 9/25249. Sohih Muslim, 60/2996_ 7420.

[2] Sohih Muslim daripada hadith yang panjang, 1/8 _ 93, Kitab Iman. Imam al Nawawi meletakkan hadith ini sebagai hadith kedua di dalam kitab beliau yang terkenal al Arba'in al Nawawiyyah.

06 Februari 2009

Karnival Jualan Kitab Antarabangsa

Alhamdulillah, semalam berakhirnya karnival jualan kitab antarabangsa sesi 2009 di Mesir. Tahun ini, saya berasa sangat puas hati membeli belah kitab-kitab menarik yang dijual di karnival kali ini. Berbaloi juga habiskan beribu LE dengan jumlah kitab yang agak banyak. Maklumlah, kitab-kitab yang dijual di Mesir memang murah-murah belaka walaupun rata-rata harga kitab naik tahun ini. Namun masih boleh dikira murah juga. Banyak juga kitab menarik yang saya temui. Memang tabiat saya bila mengunjungi karnival jualan buku antarabangsa setiap tahun, saya akan beli buku-buku yang payah ditemui di Mesir atau mungkin pelik tajuknya. Sebab itu saya biasanya akan mengunjungi gerai-gerai buku yang datang dari Arab Saudi, Yaman, Syria, Beirut, Morocco dan negara-negara selain Mesir. Rasa puas hati sangat bila ketemu buku-buku yang menarik dan jarang didengar. Saya juga berkesempatan singgah di gerai-gerai yang menjual kitab-kitab fiqh pelbagai mazhab khususnya mazhab Syiah Zaidiyyah dan Imamiyyah. Memang ini yang menjadi tumpuan saya. Maklumlah, saya belajar Fiqh Perbandingan Mazhab, jadi memang perlukan rujukan daripada mazhab lain khususnya dua mazhab Syiah ini. Berbanding kitab-kitab mazhab empat yang mudah didapati di Mesir, kitab-kitab mazhab Zaidiyyah dan Imamiyyah agak kurang dijual. Jadi kesempatan yang ada hanyalah ketika karnival tahunan saja. Insya Allah, mungkin dalam ruang waktu yang ada kelak, saya berminat untuk menulis tentang ulasan buku pula bertujuan untuk berkongsi bersama sidang pembaca. Bagi saya, suasana yang paling menyeronokkan di Mesir ini adalah ketika berlangsungnya karnival jualan buku setiap tahun. Seronok kerana boleh beli kitab yang pelbagai dengan harga yang murah pula. Suasana yang tiada di Malaysia..

Apapun, saya hanya ingin mengajak sidang pembaca supaya teruskan menyemai tabiat membaca. Membaca akan membantu kita untuk meneguhkan jati diri di samping menambahkan ilmu pengetahuan. Mari bercinta dengan buku!

p/s: Tahun ini habis paling banyak duit untuk buku sebab kebetulan pula zakat masuk bertepatan dengan karnival tahun ini. Apalagi, kita belanja lah untuk buku!

09 Januari 2009

Jangan Tanya Apa Yang Anda Perlu Buat!!

Zionis semakin lama semakin mengganas. Mungkin target mereka ialah menghapuskan terus Gaza daripada peta dunia. Setiap hari, hati kita semakin sedih dan pilu mendengar dan melihat apa yang menimpa saudara-saudara kita di sana. Namun dalam situasi ini, kita sepatutnya jangan bertanya apa yang boleh kita buat untuk membantu meringankan kesengsaraan mereka. Soalan ini tidak sepatutnya timbul! Jangan tanya apa yang boleh anda buat!! Jika anda seorang muslim dan memiliki secebis sensitiviti terhadap nasib sesama muslim, maka sepatutnya anda tahu apa yang perlu dibuat. Soalan ini hanya timbul daripada orang yang kosong otaknya dan tidak ada rasa sensitiviti langsung terhadap nasib saudara se-Islam sendiri.

Setiap orang boleh menyumbang berdasarkan kemampuan. Apa saja sumbangan yang anda hulurkan baik berbentuk material mahupun sokongan moral, semuanya akan dinilai oleh Allah Ta'ala. Anda tetap dikira tergolong dalam golongan Muslimin kerana anda masih peka terhadap saudara anda. Allah Ta'ala tidak mempertanggungjawabkan sesuatu ke atas hamba-hamba-Nya melainkan dengan perkara yang mampu untuk dilakukan berdasarkan keadaan diri masing-masing.

Namun jika anda masih lagi terpinga-pinga, tak tahu nak buat apa.. Saya beri cadangan berikut:

1) Jika anda berkemampuan dari sudut harta, maka hulurkan bantuan berbentuk material. Duit, makanan, pakaian atau apa saja barang keperluan yang difikirkan perlu dan boleh membantu mereka.

2) Jika anda seorang yang kedekut, maka tahan duit anda supaya jangan mengalir ke dana Zionis Israel dan kroni-kroni mereka. Boikot barangan atau produk keluaran mereka. Apa barangan yang perlu diboikot, itu anda boleh dapatkan maklumat daripada laman-laman web atau blog-blog yang khusus mengenai perkara ini.

3) Tolong dirikan sembahyang hajat buat mereka. Sertakan sekali qunut nazilah setiap kali sembahyang lima waktu. Doakan bantuan Allah buat mereka dan kehancuran buat Israel Zionis dan sekutu-sekutu mereka.

4) Jika anda memiliki blog, tolong terbitkan maklumat-maklumat mengenai Gaza serta berikan motivasi buat para pembaca supaya mereka turut menyumbang berdasarkan kemampuan masing-masing.
5) Jika anda seorang yang petah bercakap, maka tolong sampaikan tazkirah atau ceramah bertujuan untuk meniupkan semangat serta memberikan kesedaran tentang peri pentingnya kita menyokong saudara-saudara kita di Gaza sekarang ini.

6) Dan apa saja yang difikirkan perlu. Ini sekadar cadangan yang terlintas dalam benak pemikiran saya setakat ini. Semuanya berdasarkan kemampuan masing-masing. Yang penting, anda kena pastikan yang anda turut menjadi penyumbang. Bukan sekadar duduk goyang kaki dan bertanya, "Apa yang perlu saya buat???" Ini adalah soalan paling bodoh yang pernah dilontarkan dalam situasi genting seperti ini.

Akhir kalam, jangan putus-putus menyumbang buat saudara-saudara kita di Gaza. Jangan putus-putus berdoa buat mereka. Setiap kali dalam sembahyang, selepas sembahyang, ketika tahajud di tengah malam dan bila-bila masa yang dimustajabkan doa. Berdoa dengan penuh perasaan. Ketika berdoa, cuba rasai penderitaan mereka. Biarkan air mata anda mengalir kepiluan. Moga Allah Ta'ala memperkenankan doa anda...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr,
Kaherah, MESIR.

07 Januari 2009

Sempena 'Asyura

'Asyura tiba lagi. Namun 'Asyura kali ini suram bila mendengar saudara se-Islam di Palestin diserang bertubi-tubi. Bilangan syuhada' semakin meningkat. Kita sudah bosan mendengar kenyataan-kenyataan mual yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang hanya tahu bercakap tetapi tidak bertindak apa-apa. Kita pula menyambut 'Asyura kali ini dengan diam membisu juga. Bila terkenang hari 'Asyura, teringat bila Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan para sahabat supaya berpuasa. Kemudian Baginda ingin berpuasa pada hari Tasu'a pula kerana ingin bersalahan dengan golongan Yahudi. Dalam kes ini, ada pengajaran penting yang perlu kita ambil iaitu jangan sekali-kali bersetuju dengan Yahudi! Walaupun dalam perkara remeh. Puasa 'Asyura hanyalah sunat saja, namun Baginda berhasrat untuk berpuasa pada hari sebelum itu hanya kerana ingin bersalahan dengan Yahudi. Kalaulah dalam perkara sunat sekalipun atau dengan ungkapan lain perkara kecil pun Baginda ingin bersalahan dengan Yahudi, apatah lagi perkara besar! Apa yang ingin saya sampaikan ialah: Boikot Yahudi! Jangan sekali-kali tiru dan setuju dengan mereka.

Sahabat-sahabat!

Tolong sumbangkan doa untuk saudara-saudara kita di Palestin. Kalau boleh, sumbangkan harta untuk membantu mereka. Kalau susah sangat nak hulurkan sumbangan, pastikan duit anda jangan mengalir ke dana Yahudi Israel. Jangan terlalu pemurah sangat dengan Yahudi bangsat, tapi kedekut sangat dengan saudara sendiri!!

Semoga 'Asyura yang akan datang membawa sinar cemerlang buat saudara kita di Palestin.

p/s: Terkenang juga syahidnya Imam Husain 'alaihissalam. Semoga para syuhada' Palestin dihimpunkan bersama-sama beliau...

02 Januari 2009

Selamat Tahun Baru

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 dan Selamat Tahun Baru Masihi 2009 saya ucapkan buat semua sidang pembaca. Semoga tahun baru yang mendatang akan merancakkan lagi perjalanan hidup serta menambahkan lagi sikap optimis kita dalam meneruskan perjuangan. Buat sidang pembaca yang sering mengikuti blog ini, saya mohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini. Saya kini disibukkan dengan pengajian sama ada belajar atau mengajar. Bulan ini pula adalah musim peperiksaan fasa pertama. Diharap sidang pembaca sudi mendoakan kejayaan saya. Terima kasih. Kullu sanah wa antum toyyibun wa fi ri'ayatillah. (semoga kamu berada dalam keadaan baik dan dilindungi Allah sepanjang tahun.)

20 Oktober 2008

Persoalan Tentang Kesempurnaan Rasulullah

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang sempurna. Itu adalah suatu hakikat yang diterima oleh umat Islam yang beriman dengan Baginda. Kesempurnaan risalah Islam itu memerlukan kepada kesempurnaan penyampainya. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sebagai utusan Allah yang bertanggungjawab untuk menyampaikan risalah tersebut telah dilengkapkan oleh Allah Ta'ala dengan kesempurnaan yang mengukuhkan kesempurnaan risalah Islam.

Jika kita merujuk kembali sirah Baginda, kita dapati Baginda adalah manusia yang sempurna dalam semua aspek. Baik lahiriah mahupun batiniah. Kesempurnaan rupa Baginda dan bentuk kejadiannya menimbulkan kekaguman setiap orang yang melihat Baginda sehingga mendorong Sayyiduna Hassan bin Thabit radhiyallahu 'anhu meluahkan ungkapan hatinya yang berbunyi:

Engkau dicipta suci daripada kecacatan;
Seolah-olah engkau dicipta mengikut kehendakmu sendiri!

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam juga sempurna pada akhlaknya. Ini adalah perkara yang diakui oleh kawan dan lawan. Allah Ta'ala menghimpunkan dua kesempurnaan pada diri Baginda iaitu kesempurnaan lahiriah yang berupa kecantikan rupa bentuk dan batiniah yang berupa kemurnian akhlak dan budi. Ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi kesempurnaan risalah Islam.

Cuma di sini boleh timbul beberapa persoalan. Saya cuma fokuskan dua sahaja. Ia timbul daripada andaian saya bahawa persoalan ini berkemungkinan timbul. Maka saya sediakan jawapannya sekali.

Soalan pertama:

Boleh jadi timbul persoalan; jika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam seorang yang sempurna, maka mengapa Baginda seorang ummi (tidak tahu menulis dan membaca) atau dengan erti kata lain buta huruf? Sedangkan sifat ini adalah suatu kecacatan serta boleh menghalang pertumbuhan tamadun yang cemerlang. Maka Baginda tidak sempurna jika dipandang dari aspek ini..

Kami menjawab:

Tidak tahu menulis dan membaca tidak bererti seseorang itu akan jahil selama-lamanya. Ilmu itu bukan diperolehi melalui penulisan dan pembacaan semata-mata bahkan melalui pengalaman. Apatah lagi kita dapati praktikal itu lebih berkesan berbanding teori semata-mata. Umminya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bukanlah suatu kekurangan apalagi kecacatan bahkan umminya Baginda adalah suatu kesempurnaan buat diri Baginda. Hikmahnya adalah untuk memelihara al Quran daripada tuduhan bahawa ia adalah daripada hasil karya Baginda. Apabila kita mengetahui bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam seorang yang ummi dan ianya disokong oleh fakta sejarah, maka yakinlah kita bahawa al Quran itu bukan hasil karya Baginda bahkan ia adalah wahyu daripada Allah Ta'ala. Namun kita melihat umminya Baginda tidak menghalang Baginda daripada membina generasi Islam yang gemilang bahkan generasi yang diakui kewibawaannya sepanjang sejarah. Baginda adalah seorang yang ummi, tidak pernah belajar daripada mana-mana guru dan bukannya graduan dari mana-mana universiti namun sejarah mengakui Baginda adalah tokoh yang paling hebat sepanjang sejarah kemanusiaan. Baginda adalah pemimpin yang berwibawa, pengatur strategi yang pintar, pentadbir yang dikagumi dan mahaguru cemerlang yang lahir daripada didikannya generasi yang cerdik pandai serta mampu mengubah dunia. Bukankah ini adalah bukti bahawa umminya Baginda adalah suatu kesempurnaan bukannya suatu kecacatan dan kekurangan. Bahkan generasi demi generasi sehingga hari ini mengambil ilmu bersumberkan petunjuk Baginda yang hanyalah seorang ummi! Maka dimana kurangnya jika Baginda seorang ummi sedangkan umat Islam yang pandai menulis dan membaca sekalipun mengambil ilmu bersumberkan petunjuk Baginda. Bahkan jika ilmu itu tidak bersumberkan petunjuk Baginda yang ummi, pasti ilmu tersebut pincang dan menyesatkan! Justeru, umminya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah suatu kesempurnaan yang sangat mengkagumkan..

Persoalan kedua:

Jika Baginda sempurna, mengapa Baginda boleh lupa? Lupa adalah sifat kekurangan..

Kami menjawab:

Kerana Baginda adalah manusia. Antara sifat manusia adalah lupa sehingga terdapat ungkapan yang berbunyi:

Tidaklah dinamakan insan itu insan melainkan kerana sifat lupanya!

Walaupun Baginda terlupa, namun ianya bukan suatu kecacatan bahkan suatu kesempurnaan. Baginda bukannya selalu terlupa sehingga boleh disifatkan sebagai pelupa. Lupanya Baginda adalah berdasarkan kehendak Allah Ta'ala jua. Bukan disebabkan kecacatan atau kekurangan pada pemikiran Baginda. Hikmahnya ialah untuk menunjukkan bahawa Baginda adalah manusia seperti kita jua. Namun di sebalik lupanya Baginda, adanya syariat. Kita sedia maklum bahawa setiap perkataan dan perbuatan Baginda adalah syariat yang diwahyukan oleh Allah Ta'ala. Maka lupanya Baginda dalam sesuatu perkara adalah berdasarkan kehendak Allah Ta'ala kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak berbicara mahupun bertindak melainkan dengan gerakan Allah Ta'ala. Ini adalah suatu kesempurnaan yang luar biasa. Baginda adalah kekasih Allah. Makhluk yang paling rapat dengan-Nya. Allah Ta'ala mencintai Baginda dengan cinta yang mendalam. Maka segala tingkah laku Baginda dikawal oleh Allah Ta'ala sehingga ianya menjadi pedoman dan tauladan buat umat manusia sehinggakan sifat lupa itu sendiri adalah mengikut kehendak Allah Ta'ala. Ianya mengandungi hikmah yang tersendiri. Subhanallah! Sememangnya Baginda adalah manusia yang sempurna walaupun ianya kelihatan cacat pada pandangan zahir kita yang lemah ini.

Akhir kalam, kesempurnaan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam adalah suatu perkara yang tidak boleh dipertikaikan. Semakin anda kuat mengikut sunnah Baginda, maka semakin jelas kesempurnaan Baginda di mata anda. Sehingga akhirnya anda sampai ke penghujungnya, lalu anda berteriak, "Ya Rasulullah! Alangkah sempurnanya tuan!"

Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam yang sempurna ke atas junjungan-Nya, penghulu kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam, penghimpun segala kesempurnaan...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Kaherah,
MESIR.


19 Oktober 2008

Naruto: Pada Pandangan Saya...


Saya bukanlah peminat kartun secara total. Cuma ada beberapa kartun yang menarik perhatian saya. Kalau dulu saya pernah menulis komentar tentang kartun The Law Of Ueki, kali ini saya ingin mengulas tentang kartun Naruto pula. Pada asalnya, saya tidak berminat pun tentang kartun ini. Saya pelik melihat gelagat sebahagian kawan-kawan yang memberi perhatian serius terhadap kartun ini sama ada dengan membaca komik atau menonton siri-siri kartun ini. Namun setelah saya pun terlibat sama dalam memberi tumpuan terhadap kartun ini, saya sedar ada beberapa aspek yang membuatkan rakan-rakan saya menjadi peminatnya. Saya tidak pasti adakah sesiapa pernah menulis ulasan tentang Naruto. Jika ada, saya mungkin sekadar menambah ulasan tersebut daripada perspektif saya sendiri. Saya juga tidak pasti adakah faktor minat saya terhadap Naruto sama seperti faktor minat rakan-rakan lain yang membuatkan mereka menjadi peminat kartun ini. Yang pasti, faktor minat setiap orang adalah berbeza. Bagi saya, kartun Naruto memiliki beberapa aspek yang menarik minat saya. Cuma saya menulis tentang Naruto di sini sekadar untuk meluahkan beberapa perkara menarik tentang kartun ini berdasarkan penelitian saya sepanjang menonton kartun ini.

Saya tidak berminat untuk mengulas tentang watak utamanya, Naruto. Begitu juga tentang watak-watak lain yang tidak kurang menariknya. Tidak juga berminat untuk membicarakan tentang apa itu genjutsu, ninjutsu dan taijutsu serta beberapa teknik dan aksi-aksi yang dipertontonkan menerusi siri-sirinya. Saya hanya mengulas tentang positif dan negatifnya kartun ini. Juga cuba membaca pemikiran pencipta kartun ini menerusi plot yang dipaparkan.

Positifnya kartun ini adalah nilai-nilai murni yang ditonjolkan. Ini dapat kita lihat menerusi watak utamanya sendiri, Naruto yang tidak mengenal erti putus asa. Sanggup melakukan apa saja termasuk mengorbankan diri sendiri untuk melindungi kawan-kawannya yang pada prinsipnya adalah perkara yang sangat penting dalam hidupnya setelah sekian lama dipinggirkan dan hidup dalam kesunyian. Menerusi watak Naruto, Kishimoto Masashi (penciptanya) cuba memberitahu kita bahawa usaha yang gigih itu lebih berkesan berbanding bakat yang ada tapi tidak diasah. Ada beberapa watak yang genius (atau memiliki bakat istimewa) seperti Sakura, Sasuke, Shikamaru dan Neji. Namun usaha gigih yang ditunjukkan oleh Naruto kelihatannya berjaya mengatasi kesemua watak ini. Sikap ini juga ada pada Rock Lee yang tidak berbakat dalam menggunakan genjutsu dan ninjutsu namun usahanya yang gigih membuatkan beliau berjaya memanipulasi taijutsunya dengan baik dan berkesan. Naruto, dilihat sebagai seorang yang memiliki sikap luar biasa baik dalam latihan mahu pun sifat setiakawan. Saya berpandangan Kishimoto ingin menonjolkan kepada penonton bahawa inilah sikap yang wujud dalam diri rakyat Jepun sendiri. Apa yang ditonjolkan dalam kartun ini, semuanya untuk memberitahu kita tentang watak orang Jepun dan kebudayaan mereka. Saya juga berpandangan bahawa jika Kishimoto ingin menonjolkan usaha gigih itu mampu mengatasi bakat yang terpendam, maka yang sewajarnya bagi kita di alam realiti adalah bakat dan usaha perlu dikombinasi bersama untuk menghasilkan natijah yang luar biasa. Setiap orang dilahirkan dengan bakat terpendam sama ada dia sedar atau tidak. Bakat ini baik berbentuk mental mahu pun fizikal perlu diasah dan dikembangkan lagi serta diletak pada tempatnya. Maka usaha gigih diperlukan bagi merealisasikan bakat tersebut. Jika tiada usaha gigih, maka bakat tersebut akan terus terpendam dan akan lenyap begitu saja.

Saya melihat Kishimoto membahagikan sifat-sifat positif pada setiap watak secara saksama. Naruto dengan sikap gigih dan setiakawan. Begitu juga Lee. Shikamaru dengan ketajaman akalnya. Sasuke dengan sikap tenangnya. Begitu juga beberapa sikap yang jika digabungkan pasti akan menghasilkan satu watak lain yang luar biasa. Namun, Kishimoto seolah-olah ingin memberitahu kita bahawa manusia itu tidak sempurna. Ini adalah suatu hakikat. Kerana itu perlu wujudnya kerjasama bagi menampung kekurangan yang wujud dalam diri setiap insan di samping menyokong sesebuah kumpulan dengan bakat yang wujud. Sebagai contoh dalam kumpulan 7 (kumpulan Kakashi) yang terdiri daripada Naruto, Sasuke dan Sakura. Jika kita analisis setiap watak yang ada dalam kumpulan ini, kita akan dapati setiap kelebihan yang ada pada setiap watak membuatkan kumpulan ini menyerlah. Naruto yang gigih, tidak mengenal putus asa dan sanggup berkorban tetapi memiliki otak yang lembap telah disokong oleh Sasuke dan Sakura yang memiliki otak yang genius. Namun sikap gigih yang ada pada Naruto kurang dilihat ada pada dua watak ini tetapi ia menjadi pencetus semangat buat Sasuke dan Sakura bahkan buat watak-watak yang lain. Begitu juga watak-watak yang wujud dalam kumpulan-kumpulan yang lain. Menyedari bahawa setiap orang memiliki bakat yang berbeza dan kekurangan yang tersendiri, maka gerak kerja perlu dilakukan secara kolektif. Itulah peri pentingnya sesebuah misi itu dilaksanakan secara 'teamwork' sebagaimana yang sering diwarwarkan oleh kartun ini.

Saya juga sebenarnya menganalisis pembawaan kartun ini. Adakah ianya benar-benar sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak ataupun bagaimana. Saya dapati ianya mengandungi plot yang berat dan tidak sesuai untuk kanak-kanak. Saya kurang pasti apa tujuan sebenar Kishimoto mencipta kartun ini untuk tontonan kanak-kanak sedangkan ada beberapa plot yang agak berat serta sesuai ditonton oleh golongan dewasa. Seperti masalah politik yang berlaku di antara negara-negara yang diwujudkan dalam kartun ini. Ia dibicarakan bukan dengan bahasa yang mudah tapi ada unsur-unsur berat juga. Ada juga aksi ganas yang berakhir dengan pertumpahan darah. Apa yang saya fikirkan ialah Kishimoto bukan sekadar ingin menjadikan kartun ini ditonton oleh golongan kanak-kanak sahaja, bahkan boleh diterima oleh golongan dewasa juga. Mungkin ini adalah faktor yang mendorong beliau mencipta plot yang sebegini. Cuma saya melihat kartun ini lebih sesuai ditonton oleh golongan dewasa berbanding kanak-kanak walaupun ia adalah kartun!

Dari segi negatifnya kartun ini khususnya buat penonton yang beragama Islam adalah kedapatan unsur-unsur agama Buddha yang diterapkan dalam kartun ini. Ada juga unsur syirik dan tahyul seperti hikmat-hikmat yang boleh mengubah lanskap alam semulajadi menjadi sebuah lanskap yang lain. Ada satu siri yang terdapat dalam Naruto Shiipuuden yang mana Kapten Yamato telah mencipta air terjun dan menumbuhkan pokok dengan menggunakan gabungan elemen air dan tanah. Ertinya manusia ada kemampuan untuk mencipta alam. Ini sudah pasti bercanggah dengan pegangan umat Islam yang mempercayai kewujudan satu pencipta sahaja. Ada juga teknik-teknik lain ditonjolkan yang kesemuanya mengundang kepada kepercayaan karut. Namun kita sedia maklum kartun ini dicipta oleh individu yang bukan beragama Islam. Bahkan saya melihat kartun ini lebih banyak menonjolkan watak yang tidak percayakan tuhan. Jadi nampaknya kita perlu mengawal pemikiran kanak-kanak kita apabila mereka menonton kartun ini. Inilah akibat jika kartun yang ada nilai murni tetapi dicipta oleh golongan yang bukan beragama Islam atau tidak pasti status agamanya (beragama atau atheis).

Konklusinya, kartun boleh menjadi medium yang baik untuk memperkenalkan kebudayaan dan sikap sesebuah kaum. Disamping percubaan untuk menerapkan nilai-nilai murni. Ini memang dapat kita lihat dengan jelas menerusi kartun Naruto. Cuma nasihat saya buat peminat-peminat Naruto; ambil yang jernih dan buang yang keruh daripada kartun ini khususnya buat peminat-peminat yang beragama Islam. Akhir kalam saya tutup dengan kata-kata Naruto yang cukup terkenal, "Saya tidak bagus dalam berputus asa. Itu adalah cara saya sebagai ninja!"



29 September 2008

Muhasabah Ramadhan

Ramadhan hampir meninggalkan kita. Syawal pula bakal menjelma. Bila Ramadhan hampir melabuhkan tirainya, bermacam-macam perasaan yang menimpa. Boleh jadi ada yang berduka, boleh jadi juga ada yang gembira. Walau apa pun perasaan yang menerpa, Ramadhan sememangnya akan berlalu juga.

Justeru, mari kita koreksi bersama, sejauh mana kita telah mentarbiah diri di madrasah Ramadhan. Banyak yang perlu kita muhasabah bersama. Persoalan-persoalan yang perlu dijawab ialah:

1) Adakah puasa kita telah menjadikan kita mencapai taqwa? Jika belum, apa yang perlu kita lakukan?

2) Adakah bacaan al Quran berjaya melembutkan hati kita? Adakah penghayatan terhadap ajaran al Quran berjaya diterapkan di dalam jiwa?

3) Adakah qiyam kita di sepanjang Ramadhan berkesan untuk menjernihkan kolam hati yang keruh ini? Adakah kebesaran Allah, keagungan dan kasih sayang-Nya terasa di sanubari kita?

4) Adakah zakat fitrah kita keluarkan dengan hati yang ikhlas dan penuh peka terhadap nasib saudara seislam? Adakah ia mampu menginsafkan kita betapa kita ini sudah terlalu mewah berbanding saudara-saudara kita yang lain?!

5) Yang terakhir, adakah kita yakin puasa dan amalan kita diterima oleh Allah Ta'ala? Adakah kita akan keluar dari Ramadhan dalam keadaan telah diampunkan atau kita menjadi lebih malang kerana tidak diberi taufiq untuk bertaubat?

Semua persoalan ini saya tinggalkan kepada sidang pembaca untuk dijawab. Sama-sama kita muhasabah. Akhir kalam, Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin dari perlembahan Nil.

p/s: Syahdu juga di Hari Raya ni, lama tak pulang ke Malaysia...

Humair,
Hayyu Sabi', Madinah Nasr, Kaherah,
MESIR.

15 September 2008

Objektif Puasa: Taqwa!

Allah Ta'ala berfirman mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia pernah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kamu agar kamu bertaqwa. [al Baqarah: 183]

Ada beberapa kesimpulan boleh dipetik daripada ayat ini:

  • Puasa itu difardhukan sebagai taklif (bebanan) dan tasyrif sekaligus. Ia sebagai taklif buat kita kerana kita dibebankan dengan kefardhuan bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba. Ia merupakan tasyrif (kemuliaan) kerana kita dimuliakan dengan kefardhuan ini. Kita juga dimuliakan jika kita berjaya melaksanakan kefardhuan ini dengan sempurna. Kerana itu Allah Ta'ala memulakan ayat ini dengan menujukan firman-Nya terhadap orang-orang yang beriman kerana kalimah iman itu adalah suatu kemuliaan. Disebabkan ia merupakan ungkapan kemuliaan, maka hanya golongan ini yang layak menerima taklifan ini dan memperolehi kemuliaan sebagai natijah daripada perlaksanaan kefardhuan ini. Justeru, kita seharusnya berbangga dan bersyukur kerana dimuliakan oleh Allah Ta'ala dengan iman. Maka sepatutnya kita menerima serta melaksanakan kefardhuan puasa ini dengan hati terbuka, rela dan pasrah. Bukan kerana terpaksa. Kita perlu menyedari bahawa kefardhuan yang dibebankan ke atas kita bukanlah bertujuan untuk menyusahkan kita bahkan ia sebenarnya adalah untuk memuliakan kita. Sedarlah kita bahawa kemuliaan itu adalah dengan iman dan perlaksanaan segala kewajipan. Bukan dengan harta, pangkat, keturunan dan rupa paras.
  • Puasa itu pernah difardhukan ke atas umat-umat sebelum kita. Ini menunjukkan bahawa puasa adalah salah satu ibadah yang lama dan pernah melalui sejarah yang panjang sebagaimana kefardhuan sembahyang. Namun dalam isu ini, terdapat juga beberapa perselisihan ulama' mengenainya. Sila rujuk salah satu risalah yang saya kirimkan menerusi blog ini di bawah tajuk: Adakah Puasa Ramadhan Difardhukan Ke Atas Umat Sebelum Kita?
  • Objektif puasa Ramadhan difardhukan adalah untuk mencapai taqwa. Taqwa adalah tingkatan tertinggi yang perlu dicapai oleh seseorang hamba. Para ulama' memiliki pandangan yang pelbagai ketika mendefinisikan kalimah taqwa. Ini menunjukkan kepada kita bahawa taqwa itu adalah sesuatu yang halus. Ianya difahami melalui perspektif yang pelbagai berdasarkan tahap kehalusan jiwa seseorang. Setiap ulama' mendefinisikan taqwa berdasarkan kerangka pemahaman dan pengalaman kerohanian yang mereka alami. Cuma dalam definisi taqwa, saya lebih suka meminjam kata-kata Amirul Mukminin Imam Ali bin Abi Talib 'alaihissalam ketika beliau mentakrifkan taqwa iaitu:

1) Takutkan Allah Ta'ala.

2) Mengamalkan isi kandungan al Quran dan Sunnah.
3) Merasa redha dan cukup dengan harta yang sedikit.
4) Melakukan persediaan yang rapi dalam perjalanan menuju kematian.


Jika diteliti definisi ini, ternyata ia merupakan definisi yang kemas. Taqwa itu adalah takutkan Allah Ta'ala. Ini adalah pengertian yang biasa kita gunakan. Bila kita menyebut tentang taqwa, maka kita akan kaitkan ia dengan takut kepada Allah Ta'ala. Namun sifat takut ini tidak akan terhasil jika kita tidak mempunyai makrifah tentang Allah Ta'ala. Allah Ta'ala itu dikenali melalui kitab-Nya dan sunnah Rasul-Nya sallallahu 'alaihi wasallam. Apabila kita mengenali Allah Ta'ala, maka kita akan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ia terhasil apabila kita menjadikan al Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup. Apabila kita mengenali Allah Ta'ala dengan sebenar-benar pengenalan, maka kita akan menyedari bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Tiada yang kekal. Semuanya menuju kebinasaan. Maka ketika itu, kita merasa redha dan cukup dengan dunia yang ada. Apa gunanya mengumpul harta kekayaan bertompok-tompok, sedangkan ianya tidak kekal dan tidak dibawa mati bersama. Menyedari bahawa hidup ini hanya sementara, sedangkan perjalanan menuju akhirat itu panjang dan berliku-liku, maka kita perlu mengambil tindakan untuk melakukan persediaan rapi dalam menempuh kematian. Kematian itu hanya gerbang menuju ke akhirat. Jalan menuju ke akhirat itu sukar. Maka persiapan yang secukupnya perlulah dilakukan. Tidak lain dan tidak bukan ia adalah amalan. Kesemuanya ini adalah konklusi taqwa. Puncanya adalah takut. Buahnya adalah amalan kebajikan sebagai persediaan menuju negeri yang kekal abadi.

  • Ayat ini juga memberikan gambaran kepada kita bahawa Islam itu adalah agama yang memiliki dua sifat; idealistik dan realistik.

Idealistik kerana taqwa itu adalah sesuatu yang abstrak. Ia seolah-olah merupakan cetusan idea. Namun untuk mencapainya, ia melalui jalan dan cara yang realistik iaitu puasa. Puasa itu pula bukanlah sesuatu yang sukar sebagaimana yang disangka. Hanya sekadar menahan diri daripada makan, minum, menggauli isteri dan perkara-perkara lain yang membatalkannya. Bukankah ianya mudah? Namun untuk menjadikan ianya lebih cantik, kemas dan sempurna maka pancaindera turut dipuasakan daripada melihat yang haram, mendengar yang haram, bercakap yang haram, mengambil yang haram dan melalui tempat yang haram. Pemikiran dikawal daripada berfikir yang haram dan perut dikawal agar tidak menghadamkan yang haram. Adakah ianya sesuatu yang sukar? Adakah ia hanya sekadar idealistik? Sudah pasti tidak! Hanya orang yang hatinya berpenyakit sahaja mengatakan ia adalah sukar!!

Realistiknya lagi ialah ia hanya dilakukan dalam tempoh yang tertentu iaitu selama 30 hari setahun. Lihat betapa indahnya kefardhuan yang Allah Ta'ala tetapkan! Tujuannya idealistik, namun cara untuk mencapainya adalah sangat realistik dan bersesuaian dengan kemampuan manusia. Allahu Akbar!! Bahkan terdapat kelonggaran pula bagi mereka yang sakit dan bermusafir untuk tidak berpuasa. Cuba ceritakan kepada saya, manakah agama yang lebih mudah daripada Islam? Mana fahaman ataupun ideologi yang lebih realistik serta mampu direalisasikan selain daripada Islam? Jawapan saya; tidak ada!! Sampai bila-bila!

Kefardhuan puasa boleh diumpamakan seperti sebuah program. Jika kita ingin melaksanakan sesuatu program, antara perkara asasi yang perlu kita lakukan ialah menyediakan sebuah kertas kerja. Dalam kertas kerja, kita akan menyebut objektif program dan teknikal untuk mencapai objektif tersebut. Objektif program walaupun ianya berbentuk idealistik, namun mesti mudah dan boleh dicapai. Untuk mencapainya, teknikal yang digerakkan pula mestilah realistik serta mampu digembleng untuk memastikan objektif tercapai dengan baik sekurang-kurangnya pada tahap 90 %. Demikian juga puasa. Ia adalah program Allah Ta'ala. Objektifnya adalah taqwa. Teknikalnya adalah menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa di samping beberapa syarat lain yang dikenakan bertujuan untuk memperkemaskannya. Mana program yang lebih baik daripada program Allah Ta'ala?? Bahkan program-Nya jualah yang terbaik dan sempurna.

Konklusinya, berpuasa itu adalah suatu tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Ta'ala ke atas kita. Bukan untuk menyusahkan kita tetapi untuk memuliakan kita. Bukan sia-sia bahkan mempunyai matlamatnya yang tersendiri. Matlamat itu hanyalah menjurus kepada kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Itulah taqwa..

Humair,
Madinah Nasr, Kaherah, MESIR.

12 September 2008

Risalah Tentang Puasa (7)

Oleh: Al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.
Terjemahan: Humair.

Orang Yang Diharamkan Dari Rahmat Allah Adalah Orang Yang Mengharamkan Kebaikan Ramadhan

Imam al Hakim meriwayatkan daripada Sayyiduna Ka’ab bin ‘Ajrah radhiyallahu ‘anhu bahawasanya pada suatu hari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Bawakan mimbar!” Lalu kami pun membawakan mimbar. Apabila Baginda melangkah naik tangga pertama, Baginda mengucapkan, “Amin.” Kemudian Baginda melangkah lagi ke tangga kedua lalu mengucapkan, “Amin.” Kemudian Baginda menaiki tangga ketika pula dan turut mengucapkan, “Amin.” Setelah Baginda selesai berkhutbah dan turun dari mimbar, kami pun berkata, “Rasulullah! Hari ini kami telah mendengar tuan mengucapkan sesuatu yang belum pernah kami dengar.” Baginda menjawab, “Jibril telah memperlihatkan diri kepada saya lalu berdoa: Jauhlah (daripada rahmat) orang yang melalui Ramadhan, namun dosanya tidak diampunkan!

Lantas saya pun mengucapkan ‘Amin’. Apabila saya menaiki tangga kedua pula, Jibril berdoa lagi: Jauhlah orang yang apabila disebutkan namamu, dia tidak berselawat ke atasmu! Saya pun menyahut ‘Amin’. Kemudian apabila saya menaiki tangga ketiga pula, Jibril berdoa lagi: Jauhlah orang yang sempat bersama kedua ibu bapanya yang telah tua atau salah seorang daripada mereka, namun kedua-duanya tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke syurga! Saya pun mengucapkan ‘Amin’. [1]

Hadith ini disohihkan oleh Imam al Hakim.[2] Hadith ini turut mempunyai turuq (jalan-jalan periwayatan) yang lain dengan kepelbagaian lafaz.

Yang dimaksudkan dengan kalimah ‘jauhlah’ ialah ‘semoga dijauhkan Allah’ sebagaimana yang terdapat dalam riwayat yang lain. Sesiapa yang dijauhkan Allah Ta’ala daripada rahmat-Nya, maka neraka jualah tempatnya.

Kalimah ‘orang yang melalui Ramadhan, namun dosanya tidak diampunkan’ membawa maksud orang yang tidak mengendahkan kemuliaan bulan ini dengan mengerjakan maksiat, kemudian dia tidak diberi ilham untuk bertaubat sehingga berakhirnya Ramadhan lantas tidak diampunkan dosanya.

Manakala kalimah ‘jauhlah orang yang apabila disebutkan namamu, dia tidak berselawat ke atasmu’ dalam riwayat lain ‘orang yang apabila disebutkan nama namun dia tidak berselawat ke atasmu, semoga Allah menjauhkannya daripada rahmat’ menunjukkan bahawa berselawat ke atas Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam apabila disebut nama Baginda adalah wajib. Sekiranya nama Baginda disebut beberapa kali di dalam suatu majlis, maka memadailah sekali sahaja ucapan selawat.

Perkataan ‘jauhlah orang yang sempat bersama kedua ibu bapanya yang telah tua atau salah seorang daripada mereka, namun kedua-duanya tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke syurga’ membawa maksud bahawa dia tidak melaksanakan hak ibu bapanya yang telah tua dengan melakukan kebaikan, maka layaklah dia dijauhkan daripada rahmat Allah dan masuk ke neraka.

Kita memohon keselamatan dan kesejahteraan daripada Allah Ta’ala..

Bibliografi utama:

- Ghayatul Ihsan fi Fadhl Syahr Ramadhan, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.

Bibliografi sampingan:

- Al Mustadrak ‘ala al Sohihain, al Hafiz Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al Naisaburi al Hakim, tahqiq Dr. Mahmud Matraji, jilid kelima, cetakan pertama 1421 H (2001 M), Darul Fikr, Beirut.
_______________________

[1] Al Mustadrak, hadith no: 7414, 80/5.
[2] Imam al Hakim berkata, “Ini adalah hadith yang sohih sanadnya tetapi tidak diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim.” Hukum ini turut dipersetujui oleh al Hafiz al Zahabi.

Risalah Tentang Puasa (6)

Oleh: Al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.

Terjemahan: Humair.



Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa



Imam al Nasaie meriwayatkan daripada Sayyiduna Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:

Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dalam keadaan iman dan mengharapkan ganjaran pahala, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu. Sesiapa yang menghidupkan malam al Qadr dalam keadaan iman dan mengharapkan ganjaran pahala, juga akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.[1]



Hadith ini turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal dengan tambahan, “dan dosa-dosanya yang akan datang.[2] Sanad hadith yang memiliki lafaz tambahan ini adalah sohih. Hadith ini turut diriwayatkan di dalam Sohih al Bukhari dan Muslim[3] tanpa lafaz tambahan ini.



Imam al Khattabi berkata:



Kalimah “dalam keadaan iman dan mengharapkan ganjaran pahala (ihtisab)” membawa maksud: Niat dan keazaman iaitu jika dia berpuasa dengan niat yang benar serta bersungguh-sungguh mengharapkan ganjaran pahala disertai kerelaan hati tanpa merasa terdesak. Juga tanpa merasa keberatan dalam berpuasa atau merasa susah hati dengan waktunya yang panjang bahkan dia memanfaatkan waktu puasa yang panjang ini untuk melipat gandakan pahala.



Imam al Baghowi pula berkata:



Kalimah “ihtisab” bermaksud; mencari keredhaan Allah Ta’ala dan pahala-Nya..[4]



Para ulama’ berselisih pendapat tentang dosa-dosa yang dihapuskan dengan puasa Ramadhan: Adakah dosa kecil dan besar? Atau dosa kecil sahaja?



Imam Ibnu al Munzir berpegang dengan pendapat yang pertama. Imam al Ubbi turut cenderung kepada pendapat ini.



Manakala Imam al Haramain pula berpegang dengan pendapat yang kedua. Pendapat ini turut disandarkan oleh Imam al Nawawi kepada beberapa orang fuqaha’.[5] Dalil golongan yang berpegang dengan pendapat ini ialah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sohihnya daripada Sayyiduna Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda mafhumnya:



Sembahyang lima waktu, sembahyang Juma’at hingga ke Juma’at yang akan datang dan puasa Ramadhan hingga ke Ramadhan yang akan menjelang adalah penghapus dosa-dosa yang dilakukan di antara waktu-waktu tersebut selagimana dosa-dosa besar dijauhi.



Di dalam hadith ini, penghapusan dosa diikat dengan syarat menjauhkan dosa-dosa besar.



Al Hafiz Ibnu Hajar al ‘Asqolani berkata:



Penghapusan itu diperolehi oleh orang yang melakukan dosa kecil dan dosa besar. Jika dia hanya mempunyai dosa besar sahaja, maka dosanya itu akan diringankan sehingga menjadi sekadar dosa kecil. Jika dia tidak mempunyai dosa kecil mahupun besar, maka ditambah kebaikannya.



Perhatian:



Puasa Ramadhan itu menghapuskan dosa sama ada secara keseluruhannya atau sebahagiannya berdasarkan perselisihan ulama’ dengan syarat iaitu sekiranya orang yang berpuasa itu memelihara batas-batas dan syarat-syaratnya berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Sayyiduna Abu Sa’id al Khudri radhiyallahu ‘anhu daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bahawasanya Baginda bersabda mafhumnya:



Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan sambil mengerti batas-batasnya serta memelihara perkara-perkara yang perlu dipelihara, akan dihapuskan dosa-dosanya yang silam.[6]



Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Hibban di dalam sohihnya dan Imam al Baihaqi di dalam Sunannya.



Bibliografi utama:


v Ghayatul Ihsan fi Fadhl Syahr Ramadhan, al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.



Bibliografi sampingan:


v Sohih al Bukhari, al Hafiz Muhammad bin Ismail al Bukhari, jilid kedua, cetakan keempat 1420 H (2000 M), al Maktabah al ‘Asriyyah, Beirut.

v Sohih Muslim, al Hafiz Muslim bin al Hajjaj al Qusyairi al Naisaburi, berserta syarahnya oleh Imam Yahya bin Syaraf al Nawawi al Dimasyqi al Syafi’I, jilid 6, cetakan pertama 1421 H (2000 M), Darul Kutub al ‘Ilmiyyah.

v Al Musnad, al Imam al Mujtahid al Hafiz Ahmad bin Hambal, jilid ketiga, cetakan kedua 1414 H (1994 M), Darul Fikr/al Maktabah al Tijariyyah, Beirut/Mesir.

v Al Ihsan bi Tartib Sohih Ibni Hibban, al Amir ‘Alauddin Ali bin Balban al Farisi, jilid keempat, cetakan pertama 1417 H (1996 M), Darul Fikr, Beirut.

v Syarh al Sunnah, al Imam Abu Muhammad al Husain bin Mas’ud al Baghowi, jilid 4, cetakan 1425/26 H (2005 M), Darul Fikr, Beirut.

v Sunan al Nasaie, al Hafiz al Nasaie berserta syarah al Hafiz Jalaluddin al Suyuti dan hasyiah al Sindi, jilid kedua, cetakan 1415 H (1995 M), Darul Fikr, Beirut.

v Al Sunan al Kubra, al Imam al Hafiz Abu Bakar Ahmad bin al Husain bin Ali al Baihaqi, jilid keenam, cetakan pertama 1425/26 H (2005 M), Darul Fikr, Beirut.



[1] Sunan al Nasaie, 2203/4, halaman 161.

[2] Al Musnad, 9011/3, halaman 333.

[3] Sohih al Bukhari, 2014/2, halaman 597. Sohih Muslim, 175_ (760)/6, halaman 36.

[4] Syarh al Sunnah, halaman 129/4.

[5] Syarh Sohih Muslim, halaman 36/6.

[6] Sohih Ibnu Hibban, 3432/4, halaman 132 & 133. Al Sunan al Kubra, 8590/6, halaman 395.